20 Lagu Melayu Paling Sedih dan Tragik (Bukan Lagu Cinta)

oleh Rahmat Mohd Did
99K bacaan

Jika kita telusuri kutubkhanah muzik popular Malaysia, boleh dikatakan lebih 90 peratus daripadanya terdiri daripada koleksi lagu-lagu cinta. Untuk mengasingkan sebahagiannya dalam kategori hiba, tragik, derita, kecewa dan putus harapan yang tidak berkait dengan cinta adalah amat sukar sekali. Setelah diperhalusi dengan bantuan ahli-ahli grup Music Addicts Malaysia Community di Facebook, inilah dapatan penulis. Jika ada yang terlepas pandang atau tidak menepati selera kalian, bolehlah ditambah di ruangan komen.

Lagu-lagu ini tidak dibuat mengikut ranking, ia lebih kepada senarai putar atau kompilasi pilihan penulis sendiri.


1. Zaiton Sameon – Menaruh Harapan (1987) – (A. Ali/ Habsah Hasan)

Bagi penulis, opus yang memenangi Anugerah Juara Lagu 1987 ini mengisi kesemua kriteria yang diperlukan dalam senarai ini; derita, tragik, kecewa, putus harapan dan memang tepat sekali jika diletakkan sebagai trek pembuka kompilasi bertema sebegini.

Magis Menaruh Harapan bukan sahaja terlahir daripada komposisi lagu dan liriknya yang merobek jiwa, malah persona seorang Zaiton Sameon itu sendiri. Ia kemudian diperkasakan lagi dengan latar belakang dan kisah sedih yang menimpa primadona ini di saat kemuncaknya. Membawa latar hidup sang penyanyinya secara harfiah, ia adalah testamen lagu paling sedih yang pernah tercipta dalam sejarah muzik tempatan.

2. Revolvers – Namun Ku Punya Hati (1982) – (Freddie Fernandez/ Mohd Alif)

Berapa ramai daripada kita yang direntap-rentap jiwanya di waktu muda dengan baris lirik “Tidakku minta/ Lahir ke dunia/ Tidakku duga/ Cacat begini/ Bukanku minta/ Kasih dan manja/Bukan ku rayu bantu simpati”?

Tidak perlu diterangkan panjang lebar kerana keseluruhan intipati lagu ini membawa semangat jiwa yang tepat dengan tema kesedihan dan derita hidup paling dalam.

3. S. Jibeng – Musafir di Aidilfitri (1966) – (Ismail H.S/ K. Amir)

Ya, memang benar kebanyakan lagu Melayu bertema tragik boleh ditemukan di lagu Hari Raya Aidilfitri dan salah satu yang terbaik adalah lagu ini. Kelebihan penyanyi-penyanyi 60an adalah kekuatan suara dan jiwa mereka yang luhur dan tulen tidak terkalahkan. Walau dengan serba kekurangan, S. Jibeng berjaya mengoyak jiwa jutaan pendengar dengan sebuah kisah sedih di hari bahagia umat Islam dengan baris lirik “Oh, Tuhan Yang Maha Kaya/ Hamba menangis di pagi raya/ Aidilfitri, hari bahgia/ Tapi hamba dilanda derita.”

4. NowSeeHeart – Damai Yang Hilang (1998) – (Mujahid/ Arab, Ito Lara)

Crescendo sebelum masuknya korus kedua lagu ini mungkin komposisi paling epik pernah dibikin produksi tempatan. Damai yang Hilang membawa tema kemanusian global yang universal dengan baris lirik mencengkam seperti “Anak anak kecil/ Menggoncangkan ibunya/ Yang lemah longlai/ Tak lagi bernyawa” memberi gambaran jelas penderitaan kanak-kanak kesan peperangan yang melanda dunia. Ia adalah sebuah lagu indah dengan lirik yang sangat bermakna.

5. Zainal Abidin – Hijau (1991) – (Mukhlis Nor)

Selain produksi bertaraf antarabangsa, Hijau juga membawa tema global tentang kemusnahan dunia yang memberi kesan kepada ekosistem manusia dan masa depan anak-anak kecil.

Dari segala aspek, ia adalah sebuah naskah sempurna yang mampu sampai ke jiwa nurani sesiapa pun yang mendengarnya. Soalnya, adakah kita mahu berubah?

6. Sudirman – Salam Terakhir (1986) – (Manan Ngah/ Habsah Hasan)

Susunan lagu yang genius dari Manan Ngah berbekalkan nukilan Habsah Hasan ini mampu meruntun jiwa sesiapa pun yang meminati Sudirman. Mungkin kebetulan, tetapi Habsah Hasan adalah seorang penulis lirik yang istimewa kerana tulisannya untuk artis seperti Zaiton Sameon dan Sudirman secara harfiah membawa kisah hidup penyanyi-penyanyi tersebut.

7. P. Ramlee – Kalau Sudah Malang (1968) – (P. Ramlee)

Runut bunyi filem Ahmad Albab (1968) ini membawa sepotong lirik yang sangat ‘kuat’ iaitu “Andainya malang sudah menimpa/ Siapa pun tak sangka/ Dirundung duka dibuang kerja/ Nasibku cilaka.. hai…” menceritakan kisah hidup P. Ramlee sebagai pemegang peran yang sudah malang ditimpa tangga.

8. Exist – Untukmu Ibu (1991) – (Rahim Othman/ Megat Ismail Ibrahim)

Kalau diikutkan, lirik lagu ini tidaklah sama tragiknya dengan lagu-lagu lain dalam senarai. Namun, faktor Exist dan Mamat sendiri yang masih sangat muda ketika itu, lengkap dengan permainan instrumen sempurna dan lantunan suara Mamat yang sangat beremosi, menjadikannya salah satu lagu paling sedih pernah ditulis sekaligus memberi kesan mendalam kepada kanak-kanak yang membesar di era 90an. Sebuah lagu yang ditulis dengan idea ‘epik’ di dalam fikiran.

9. Black Dog Bone – Cahaya Aidilfitri (N/A) – (S.Atan/ Haron Abdul Majid)

Satu lagi lagu Raya dengan tema tragis. Mengisahkan seorang pemuda sebatang kara yang tidak punya apa-apa dan mampu melihat sahaja semua orang bergembira, lebih kurang kisah yang pernah disampaikan oleh S. Jibeng. Susunan muzik S.Atan sangat cemerlang dalam naskah ini.

10. Siti Musliha – Hujan Air Mata (1995) – (Adnan Abu Hassan/ Amran Omar)

Siti Musliha pernah menggegar industri muzik Malaysia pada dekad 90an dengan lagu ini. Nyanyiannya memang istimewa, antara sampai dan tak sampai, seperti menyanyi dalam tangisan, membawa jutaan rakyat Malaysia ke lembah simpati dan kesedihan. Penulis tertanya-tanya, mungkinkah ada lagi tempat untuk penyanyi-penyanyi sebegini muncul di era yang hanya melihat rupa dan jumlah pengikut sekarang?

11. Kembara – Impian Seorang Nelayan (1982) – (M. Nasir)

Lagu ciptaan M. Nasir dan dinyanyikan oleh S. Sahlan yang membawa suara kehidupan nelayan. Selain membawa maksud harfiah, ia juga mengandungi isi tersurat tentang perjuangan hidup, seperti majoriti lagu-lagu Kembara yang lain. Sebuah tesis kehidupan rakyat luar kota yang dipersembahkan dalam bentuk lagu.

12. Eddy Nor Ali – Manusia Miskin Kaya (1973) – (P. Ramlee)

Ada banyak versi lagu ini, sejak versi runut bunyi filem Salah Siapa (1953) lagi namun yang paling popular adalah versi ini. Ditulis oleh P. Ramlee, ia membawa perasaan hiba dan duka kerana terpaksa berhari raya serba kekurangan akibat kemiskinan.

13. A. Ramlie & The Click 4 – Dendang Anak Tani (1969) – (A. Ramlie/ Abdul Ghani Isa)

A. Ramlie mungkin boleh diletakkan di tempat tiga teratas penyanyi lelaki terbaik yang pernah ada di Malaysia. Suaranya yang merdu dan menggejolak jiwa sering tampil dengan lagu-lagu sedih yang sampai ke jiwa pendengar. Dalam Dendang Anak Tani, ia berada di garisan kelabu antara suka dan duka seorang petani kerana di awal lagu ia seperti merintih dengan nasib, namun di akhirnya seperti bersyukur dengan kehidupan.

14. Handy Black – Natrah (1989) – (Ozen Ann)

Sebuah naskah tragedi menyayat hati tentang nasib yang menimpa seorang gadis Belanda di Singapura (dibesarkan dengan agama Islam) yang dipaksa balik ke negara asalnya dan kembali memeluk agama Kristian.

Lagu epik ini ditinta oleh Ozen Ann (JS Kevin) dan sisi istimewanya adalah bagaimana Handy Black memberi komposisi mendayu-dayu dan merentap jiwa dengan paduan suara Isa Rahman yang amat nyaring dan beremosi. Solo gitar  Rosli Jantan dengan sound yang sangat unik pula memberi sakti malar segar kepada salah sebuah lagu rock paling sedih pernah ditulis ini.

15. Republic of Brickfields – Terima Kasih (2007) – (Aru Pheruzza)

Nah, ini mungkin lagu paling underrated dalam senarai ini, namun tidak bermakna ia tidak mampu merobek jiwa pendengarnya. Kepada yang mengenali Aru, beliau adalah seorang legenda dalam scene metal dan reggae, namun tak disangka-sangka, trek terakhir dalam album Ganjaran (2007) ini membawa nuansa balada yang tersasar jauh daripada apa yang pernah ditulisnya sebelum ini.

Jika diteliti, ia adalah sebuah penghormatan kepada ibunya yang telah pergi, tetapi dijelmakan dengan amat sayu melalui emosi suara yang lemah dan tidak berdaya, sehingga hampir menangis di penghujungnya. Kepada pendengar muzik arus perdana, mungkin impak lagu ini tidak serupa dengan pendengar muzik alternatif yang mengenali Aru dan perjuangannya.

16. Ismail Haron – Seniman Menangis (1973) – (Johari Salleh/ Ismail Haron)

Penyanyi yang mendapat jolokan Tom Jones Singapura ini dikenali kerana suaranya yang besar dan jantan, ditambah dengan vibrato yang sangat mantap. Benar, umum mengenali lagu ini dalam versi yang lebih popular nyanyian Jamal Abdillah, namun versi tersebut telah ditukar sebaris liriknya yang benar-benar menggambarkan kehidupan dan perjuangan Ismail sebagai penyanyi kelab malam ketika itu: “Aku minum, aku minum hingga mabuk.”

17. Shy 8 – Terasing di Bumi Sendiri (1996) – (Shy 8/ Zulika)

Nama Shy 8 mungkin ‘asing’ bagi kebanyakan orang, tapi rasanya semua mengenali Usop Wilcha. Terasing di Bumi Sendiri terkandung dalam satu-satunya album beliau yang dirilis pada tahun 1996 dan mengisahkan tentang penyesalan diri akibat tersalah langkah di usia muda. Ia turut dijadikan sebagai lagu tema kempen melawan AIDS pada waktu tersebut.

18. Ramli Sarip & A. Romzi – Bukan Kerana Nama (1986)(Bakri Johari)

Tiada tragedi atau derita dalam lagu ini, namun ia menjadi medium berpesan kepada pendengar untuk mengelak daripada sifat-sifat negatif dan sentiasa berkasih sayang sesama insan kerana “Kita sama/ Semuanya sama/ Apa yang ada hanyalah kehidupan.”

Paduan suara antara Ramli Sarip dan A. Romzi bagaikan satu kontra hitam putih yang akhirnya menghasilkan titik tengah, kelabu. Sebuah karya yang amat menginsafkan.

19. Saleem – Maaf (1998) – (Roshid Somantri)

Lagu penyesalan dan suara serak basah Saleem, perlukah kita kupas lebih lanjut lagi pakej ini?

20. Halim Yazid – Bangkit Asal (Diri Ambo) (2003) – (Halim Yazid)

Kita akhiri senarai ini dengan karya penyanyi Dikir Barat terkenal Kelantan, Halim Yazid. Lagu ini merupakan sebuah retrospeksi kemiskinan dan cabaran hidup seorang anak kampung yang diceritakan dengan penuh ‘visual’ dan terperinci. Penulis percaya, liriknya telah berjaya menyentuh hati ramai pendengar yang mengalami nasib sama.

Tinggalkan Komen Anda

Anda juga mungkin meminati

Ala... Ada pasang Adblocker Eh?

Support la kitorang dengan benarkan ads di pelayar web korang. Kitorang faham memang sakit mata tengok ads ni. Tapi, kasi chance lah. 😅