Penulis: Khaliq G
Ketika perkhabaran bahawa Stadium Malawati, Shah Alam bakal digegarkan dengan kembalinya konsert berskala besar dari figura kesayangan ramai – Anuar Zain, peminatnya yang tidak sedikit begitu teruja. Masing-masing tidak mahu melepaskan peluang untuk menyaksikan kehebatan jejaka idaman Malaya itu beraksi secara langsung.
Kali terakhir berpentas mega ketika menyambut ulang tahun ke-30 beliau 10 tahun lalu, pemilik nama penuh Shahrul Anuar Zain masih memilih venue yang sama untuk menghadiahkan kenangan manis buat seluruh peminatnya. Anuar Zain 40th Anniversary Concert berlangsung cemerlang pada tanggal 28 Oktober lalu.
Anuar seperti diketahui ramai, cukup teliti dan cerewet dalam menghasilkan karya, baik ketika rakaman album, mahupun kemunculan di atas pentas. Dan setelah cukup lama beliau tidak berpencak di panggung besar, Anuar bersama bala tenteranya ternyata berjaya menjelmakan persembahan cukup memukau. Baik dari segi sound system mahupun lighting pada malam tersebut, semuanya dijelmakan dan dikendalikan dengan sempurna.
Tepat jam 9 malam, suasana stadium pada awalnya yang dingin lantaran hujan lebat turun sebelum konsert berlangsung, tiba-tiba menjadi gegak gempita dan mula membahang. Kemunculan Anuar Zain dibawa naik dari bawah pentas disambut dengan sorakan gemuruh kira-kira 8,000 penonton!
Kaulah Satunya dan Sesucinya Cintamu dipilih menjadi lagu pemanas panggung. Penonton diminta untuk berdiri dan menari bersama-sama, membuatkan masing-masing ligat bergembira. 40 tahun mengabdikan diri sebagai penghibur dihormati, membuatkan Anuar Zain bijak mengawal suasana.
Konsert ini penulis kira menjadi bukti bahawa seniman-seniman besar juga manusia biasa, ada masa persembahan tidak berjalan seperti yang direncana. Anuar Zain pantas memohon maaf kepada peminatnya, lantaran keadaan kesihatannya belum lagi pulih sehingga pada hari konsert berlangsung. Anuar kehilangan suara empat hari sebelum tarikh konsert diadakan, dan masih tidak pulih sepenuhnya pada malam tersebut.
Pujian tinggi seharusnya perlu diberikan kepada beliau kerana terus bertahan sehingga penghujung konsert. Sesekali, selepas menyudahkan lagu, Anuar akan menggunakan nebulizer untuk meredakan kesakitan. Ini pasti menjadi momen manis yang tidak akan penonton lupakan – melihat kesungguhan Anuar Zain merawat sakit demi para peminat.
Menyelak discography muzik adik kesayangan Ziana Zain ini, ternyata tidak sukar untuk beliau merencana graf persembahannya. Deretan lagu-lagu popular dalam katalog muzik Anuar Zain menjadikan konsert selama tiga jam itu terasa sekejap berlalu. Penonton seakan terbuai-buai apabila Anuar Zain menyanyikan lagu-lagu balada indahnya. Dan ketika lagu rancak dinyanyikan, satu dewan menari bersama!
Antara lagu lain yang dibawakan pada malam tersebut ialah Perpisahan, Bila Resah, Permata, Mungkin, Ketulusan Hati dan Sedetik Lebih. 20 lagu dibawakan pada malam tersebut ternyata membuatkan peminat setia Anuar Zain pulang dengan perasaan bahagia. Ketika penulis melangkah keluar dari stadium usai konsert, kelihatan orang ramai masih menyanyikan lagu Kau Bunga Cintaku sambil menari dan berjalan keluar, masing-masing masih tidak puas rupanya. Entah apa mantera yang telah Anuar Zain jampikan pada peminat dan penyokong setia dia agaknya!
Konsert yang diarahkan oleh legenda industri muzik tanah air, Jennifer Thomson diindahkan dengan iringan muzik secara live oleh 25 orang pemuzik handalan tanah air diketuai oleh Sze Wan selaku pengarah muzik. Usik Anuar Zain, jangan terpedaya dengan kecomelan dan manisnya Sze Wan, kerana ketika bekerja dia pantas bertukar menjadi seperti singa. Garang dan tegas, namun semuanya kerana mahukan kesempurnaan.
Tanggal 28 Oktober lalu menjadi bukti buat Anuar Zain bahawa jika dia dikurniakan kudrat dan upaya untuk berada di atas panggung untuk menghiburkan penonton 50 tahun lagi pun, peminat setianya tidak akan pernah berkurang. Malam tersebut menjadi saksi bahawa walau beribu bakat muda datang menyertai gelanggang seni, namun Anuar Zain tetap selesa berada di takhtanya sendiri. Tidak tergugat dengan sesiapa, bahkan cukup humble dan disayangi jagatraya.