5 Band Berpotensi Namun Kini Menyepi

oleh Firz Shukri
5.5K bacaan

Lumrah band-band di Malaysia, sukar untuk bertahan lama sebagai sebuah kumpulan. Mengambil kira banyak factor, kemunculan band-band berbakat saban tahun tidak pernah berhenti, namun untuk kekal bertahan, ia merupakan satu rezeki, satu cabaran. Ini merupakan 5 band pilihan penulis, yang mana memiliki potensi untuk berkembang jauh, namun terhenti dengan alas an mereka tersendiri. Ada yang secara rasminya sudah dibubarkan, ada yang berhiatus sangat lama, ada yang masih wujud namun sudah tidak dihiraukan peminat da nada juga yang hanya aktif bermain show namun sudah bertahun-tahun tidak mengeluarkan sebarang produk. Ayuh kita telusuri…

1. Tres Empre :

Kemunculan mereka benar-benar meninggalkan kesan yang besar dalam scene underground sehingga berulang kali video muzik mereka Defiance yang rilis pada tahun 2011 disiarkan oleh Astro Htz Tv kerana sambutan yang sangat menggalakkan. Video muzik mereka, Antagonist pula sehingga hari ini sudah mencecah tontonan sebanyak 255 ribu di laman Youtube. Satu pencapaian yang sangat sukar dikecap oleh mana-mana band rock pada hari ini.

Antara tarikan utama bagi band ini adalah kelebihan vokalis mereka, Eddie Edzuan yang memiliki nada vocal yang tinggi, dikatakan mirip dengan vokalis band Saosin, Cove Reber dan juga band The Used, Bert McCracken. Tres adalah perkataan di dalam bahasa Perancis yang bermaksud ketiga, manakala Empre itu adalah sebuah empayar. Dalam kata lain Tres Empire memberi makna empayar ketiga di dalah Bahasa Melayu.

Mereka sempat merilis album tunggal mereka berjudul Antagonist. Ya, Antagonist juga adalah judul lagu Melayu pertama mereka yang dijadikan single untuk album ini. Tidak melampau jika diangkat album Antagonist ini sebagai salah sebuah album alternative rock terbaik bagi dekad 2010’an dan sememangnya Tres Empre layak mendapat pengiktirafan tersebut. Mengangkat kembali muzik alternative rock di era yang mana muzik rock itu sendiri semakin jatuh adalah satu usaha yang gigih. Hanya jiwa kental yang mampu melawan arus yang semakin deras.

Album Antagonist ini sendiri membawa arah tuju sebenar Tres Empre di dalam penghasilan karya mereka dengan jiwa yang lebih rebeliios. Sedikit sentuhan politik, kehidupan sekeliling yang rosak menjadikan tema yang lebih bersifat personal dan beremosi. “Semua rockstar seperti itu, semakin rockstar seseorang itu, semakin besar taman di dalam hati mereka.” Ujar Eddie sewaktu ditemubual laman web Masses.

Sebelum mereka menutup pintu secara rasmi, mereka sempat berkerjasama dengan Screwthebox untuk meriliskan video muzik single terbaru yang juga terakhir mereka, Khayalan Kaca. Hari ini video berkenaan sudah mendapat jumlah tontonan sebanyak 194,900 yang mana ianya ternyata sangat memberangsangkan. Bukan saja video berkenaan begitu berkualiti, malahan muzik yang mereka tampilkan juga semakin terkehadapan.

Jika sebelum ini peminat sering mengaitkan mereka dengan band seperti Saosin, namun melalui lagu Khayalan Kaca mereka sudah mula mengorak langkah untuk lebih maju dari dibayangi genre post hardcore dan emo era 2000’an. Sayangnya jika perjalanan band ini diteruskan, pastinya album kedua mereka nanti akan memberi kejutan yang lebih besar. Dengan pengaruh mereka yang sangat besar, kembalinya mereka di dalam scene sudah pastilah sangat dinanti-nantikan.

2. Dichi Michi :

Sebelum menyebut tentang Dichi Michi, perlu terlebih dahulu mengetahui serba-sedikit kelebihan Kajang. Kajang adalah sebuah daerah yang sangat popular pada awal 2010’an dahulu dikalangan peminat muzik alternative kerana banyak juga band-band popular yang datang dari sana. Paling terkenal sudah tentulah The Padangs, gergasi Metalcore yang pernah menggegarkan scene Kuala Lumpur yang mana nama mereka berjaya menembusi sempadan negara jiran kita, Indonesia.

Selain The Padang, nama-nama seperti Arsonist, Avalon’s Whisper, dan Starting Fight tidak ketinggalan mencipta nama pada waktu tersebut. Dan sudah tentu yang paling penting adalah band pop punk bernama Dichi Michi , sebuah unit yang tidak dikenali pada asalnya, namun tiba-tiba mendapat tempat dikalangan peminat sehingga berpeluang beraksi dipentas utama Rock The World. Satu pencapain membanggakan untuk band kecil seperti mereka.

Band ini asalnya ditubuhkan oleh Ariff dan Achong yang sangat meminati muzik pop punk dan punk rock pada sekitar tahun 2008. Selepas menemui rakan-rakan yang serasi, maka tertubuhlah sebuah band yang nama asalnya adalah Gergia’s Love, namun tidak lama kemudian mereka sepakat menukar kepada Dichi Michi yang ternyata lebih unik dan menarik perhatian.

Mereka sempat meriliskan enam buah lagu yang boleh didengarkan dalam laman Reverbnation. Kesemua lagu mereka dijamin memuaskan hati, kerana terlampau catchy dan enak ditelinga, terutama bagi peminat pop punk dan alternative rock. Kemunculan mereka dahulu juga bertepatan dengan populariti easycore yang merupakan gabungan antara genre pop punk dan post hardcore.

Antara nama yang cukup popular dengan terma easycore pada waktu berkenaan adalah band seperti A Day To Remember, Chunk! No, Captain Chunk!, Mayday Parade dan seangkatannya. Mereka juga dipanggil sebagai popcore untuk nama lain bagi bunyian ini. Sebenarnya pada awal kemunculan mereka, terdapat juga suara-suara sumbang yang ingin menyamakan mereka dengan band Pee Wee Gaskin dari Indonesia yang turut memiliki bunyi yang mirip dengan Dichi Michi, terutama suara-suara dari peminat muzik seberang.

Bagaimanapun kontroversi tersebut adalah kecil dan terpencil memandangkan peminat di Malaysia tetap berbangga dan mengangkat Dichi Michi melebihi band dari luar. Dengarkan single mereka, Sempurna hasil kolaborasi dengan Noh Hujan , cukup segar dan moden. Sayang kerja seni mereka tidak berpanjangan kerana mereka mampu mengorak langkah lebih jauh.

3. Sleeping Sorrow

Apabila membicarakan mengenai band-band metalcore dan post hardcore yang pernah membanjiri scene underground lebih kurang 10 tahun lepas, satu nama yang mungkin ramai sudah terlupa pasti salah satunya adalah Sleeping Sorrow. Jika masih lagi ingat, bermula detik 9 Jun, 2011, scene gig telah didatangi sebuah single berjudul Beguier dari band muda yang menggelarkan diri mereka, Sleeping Sorrow dan kedatangan mereka didalam scene agak hype memandangkan mereka sememangnya sudah dikenali sejak awal dan memiliki kenalan yang ramai. Bermula sebagai enam orang remaja dari Ampang dan Damansara yang menjadi kaki gig sekitar Kuala Lumpur, akhirnya sepakat mendirikan sebuah band bernama Sleeping Sorrow pada tahun 2010.

Berkonsepkan muzik heavy yang catchy dan mudah dicerna, band ini dengan mudah menempah nama dengan lagu-lagu yang hebat. Tidak cukup sekadar di Malaysia, lagu-lagu mereka turut menarik perhatian penggemar metalcore di Indonesia. Mereka sangat aktif bermain live show, dan salah sebuah persembahan yang sempat penulis saksikan adalah di Kuala Lumpur Big Party 3 pada tahun 2018, seleppas lebih kurang empat tahun mereka menyepikan diri.

Apatah lagi mereka diberi peluang membuat persembahan pada waktu kemuncak bersama nama besar seperti Massacre Conspiarcy, The Times dan Restraint. Juga antara gig yang mereka sempat beraksi adalah menjadi opening kepada band metal, antarabangsa, Skeletonwitch disamping gergasi metal tempatan, Suffercation, Sekumpulan Orang Gila, Saka, dan lain-lain sewaktu Skeletonwicth beraksi di Johor Bahru pada tahun 2014.

Mereka sempat meriliskan banyak karya-karya yang boleh dikatakan agak gempak seperti lagu-lagu Mag//Neto, Parainfinitum, Lementos De Vamppiro, dan yang paling top pastilah Desert Fire, yang mana turut menampilkan vocal dari Acap (ex SOG) dan juga Nash Muhandes (Caladrius).

Konsep muzik mereka yang ke arah metal dan post hardcore ini sebenarnya sangat pop dan ringan bersesuaian dengan scene alternative yang dahagakan bunyian-bunyian baru dan berpotensi untuk diketengahkan kepada khalayak. Walaupun kebanyakan anggota band ini sudah memiliki projek muzik masing-masing secara berasingan, namun jika mereka kembali semula dengan buah tangan baru, pastinya akan mendapat sambutan dari peminat yang sudah lama tidak disajikan dengan buah tangan Sleeping Sorrow.

4. Misgive

Kali pertama penulis mengenali band ini adalah sewaktu mereka melakukan persembahan di U-Rock Studio, Subang Jaya dalam rangka promosi debut EP mereka, Short Skirts, Shot Guns pada tahun 2014. Terdiri dari empat orang anak gadis iaitu Reen, Brenda, Yen dan Pinpin, kesemua mereka berasal dari Kota Kinabalu, Sabah. Mereka memiliki pakej menarik kerana kesemua ahli terdiri dari gadis muda yang rugged dan rock sesuai dengan trend masa itu.

Selain memiliki rupa dan penampilan yang menaik, mereka mampu bermain muzik dengan bagus meskipun ketika membuat persembahan live. Kalau sekalipun ada yang rabak sana-sini, berpadananlah dengan konsep punk rock, ye tak? Kebetulan pada masa itu, band hardcore dari Borneo, Dance On Your Gave yang menampilkan vokalis wanita juga sedang rancak disemenanjung, jadi kehadiran Misgive ini sedikit-sebanyak memberi imej positif berkenaan scene Borneo kepada peminat muzik di semenanjung.

Sebenarnya ketika Misgive ini muncul, ia agak mengingatkan kepada band punk rock dari Singapura, iaitu Psycho Sonic yang turut terdiri dari anak-anak gadis yang muda dan lincah. Band tersebut agak popular dengan lagu I Don’t Give A Damn dan I’m Gonna Crash sekitar 1995 dahulu sebelum mereka berpecah pada tahun 1997.

Konsep punk rock kedua band ini hampir sama, lebih dekat dengan skate punk ala-ala NOFX dan No Use For A Name. atau di Malaysia kita lebih kenal dengan band seperti Subculture. Lagu-lagu Misgive ini sangat ringan dan bermelodik, boleh dikatakan lagu Don’t Need No Words dan lagu Short Skirts, Shot Guns merupakan contoh terbaik bagi menggambarkan keseluruhan muzik mereka. Bertenaga, agresif namun tidak meninggalkan sifat kiut yang bersesuaian dengan imej mereka.

Band mereka ini sebenarnya masih lagi hidup, tidak pernah dibubarkan. Cumanya mereka nampaknya tidak aktif lagi dengan band. Mungkin juga pada bila-bila masa sahaja jika mereka berniat untuk mahu kembali semula ke persada gig-gig seperti dahulu, mereka akan terus mencapai instrument masing-masing dan melepaskan rindu dendam kepada peminat mereka. Sama-sama kita nantikan saja.

5. 66roads

Ini bukan sembarangan punya band. Mereka antara pejuang terawal genre deathcore sekitar awal 2010’an lalu. Dibarisi pemuzik-pemuzik handalan dalam scene metal dan hardcore, 66Roads masih lagi wujud sebagai sebuah band dan kali terakhir dilihat mereka bermain gig adalah pada tahun 2019. Cumanya mereka sudah agak lama tidak mengeluarkan sebarang rekod baru untuk peminat, sebagai buah tangan yang segar di era muzik heavy sedang diabaikan oleh kebanyakan anak-anak muda.

Gandingan dua orang vokalis dari band ini benar-benar mengingatkan kepada band barat seperti Despised Icon. Malah muzik mereka juga tidak kurang gempak, berat dan keras tanpa meninggalkan elemen modern metal yang memang sedang menjadi trend pada masa tersebut.

Mereka pernah meriliskan debut EP berjudul Dendam Mantra pada tahun 2014. Sebuah ep yang dibarisi lagu-lagu padu tanpa sebarang kompromi. Dari Ep ini, lagu berjudul Fight Are Not To Be Remember dan lagu Dendam Mantra merupakan lagu yang menyerlahkan kehebatan muzik mereka, juga menjadi pilihan peminat yang setia mengikuti perjalanan karier mereka. Terutama bagi peminat yang menunggu aksi live 66Roads untuk memecahkan pentas dengan kegarangan yang tidak terbatas.

EP Dendam Mantra antara karya berharga dalam genre deathcore di Negara kita, kerana memang genre ini tidak berapa menyerlah melainkan dari beberapa band sahaja seperti Upon Arrival, Kiss The Fallen dan Behind The Death. Dan dalam beberapa band deathcore yang wujud ini, 66Roads antara band yang sempat merekodkan lagu-lagu mereka di dalam sebuah EP fizikal. Selain mereka ada beberapa band lain seperti Shadow Child dari Perak, Exhale My Ozone dari Sarawak dan juga Upon Arrival dari KL yang pernah meriliskan album atau EP secara fizikal.

66Roads ini sebenarnya bermula sebagai sebuah band metalcore/screamo yang agak aktif dengan penampilan vokalis wanita sebelum mereka senyap beberapa ketika. Sekitar 2010 atau 2011 mereka membuat comeback dengan rombakan line up lalu tampil dengan muzik serta imej yang lebih segar. Kali pertama penulis menyaksikan live performance mereka adalah sewaktu menyertai sebuah gig di Rumah Api lama, Ampang dan memang agak terpegun dengan perubahan ketara dari band ini.

Muncul sebagai sebuah unit deathcore/death metal yang tidak mampu dibendung lagi, 66Roads mengorak langkah dengan menyertai dari sekecil-kecil gig hingga ke pentas festival yang lebih besar. Serta-merta nama mereka dengan mudah mendapat perhatian peminat muzik melalui kehebatan mereka diatas pentas. Ketika awal kemunculan mereka pada tahun 2011, mereka mempertaruhkan single Fight Are Not To Be Remember versi asal melalui sebuah single CD yang cukup mengujakan. Cumanya, adakah mereka akan kembali aktif kembali selepas ini? Dengan penghasilan karya baru selepas ini?

Tinggalkan Komen Anda

Anda juga mungkin meminati

Ala... Ada pasang Adblocker Eh?

Support la kitorang dengan benarkan ads di pelayar web korang. Kitorang faham memang sakit mata tengok ads ni. Tapi, kasi chance lah. 😅