7 Sebab Kemenangan SOG di AJL 36 Bakal Mengubah Lanskap Muzik Negara

oleh Rahmat Mohd Did
9.2K bacaan

Kali terakhir artis berkumpulan jadi juara Anugerah Juara Lagu (AJL) adalah pada tahun 2015. Akim & The Majistret menerusi lagu hits mereka, Potret berjaya menewaskan Faizal Tahir, Dayang Nurfaizah, Caliph Buskers dan ramai lagi. Itu pun sudah tujuh tahun sebenarnya berlalu dalam pada kita tidak sedar. Belum lagi kalau kita kira band independen terakhir yang memenangi AJL iaitu Meet Uncle Hussein pada tahun 2008. Dah 14 tahun!

Kemerosotan minat masyarakat tempatan terhadap muzik rock ini sebenarnya penat kalau kita nak rungkai. Yang masih mengikuti jejak muzik independen memang tahulah bagaimana meriahnya skena ini, namun tidak bagi orang kebanyakan. Jadi berlapang dada sahajalah dengan selera orang yang pastinya turut berubah mengikut zaman. Kalau ada penaja yang sanggup menaja dengan jumlah besar, buat sahaja anugerah baharu yang memfokuskan kepada muzik rock dan alternatif. Itu lebih baik.

Pejam celik, Sekumpulan Orang Gila (SOG) dan Shila Amzah dinobatkan sebagai juara AJL 36 pada tahun ini menerusi lagu Pelukan Angkasa, yang digubah oleh Raja Nazrin Shah manakala liriknya ditinta oleh Fazleena Hishamuddin. Betapa besarnya perubahan muzik Malaysia kalau kita kenangkan bagaimana AJL 1989 hingga 1991 yang didominasi oleh band rock hingga tahun ini tinggal SOG sahaja satu-satunya band yang bertanding di pentas AJL sehingga nampak janggal pula di kaca TV.

Namun, apa yang berlaku adalah sesuatu yang tidak dijangka. Penganut muzik arus perdana ketawa apabila mengetahui nama penuh SOG, tiada siapa yang kenal sosok komposer bernama Raja Nazrin Shah, tiada siapa yang sedar kelibat Fazleena Hishamuddin dalam babak puisi dan teater, tetapi karya mereka akhirnya diangkat sebagai yang terbaik dalam majlis anugerah muzik paling berprestij di Malaysia kali ini.

Ironinya, Pelukan Angkasa itu sendiri sebenarnya sudah lama diterbitkan. Tahun 2019 lagi ia telah menjadi runut bunyi filem KL Vampires dan video muzik (MV) nya di YouTube telah diulang tonton hampir 600,000 kali sehingga kini. Namun, daripada komen-komen di media sosial, boleh kita lihat betapa ramai yang baru pertama kali mendengar nama SOG dan lagu Pelukan Angkasa pada jam 10.50 malam, 7 Mac 2022.

Kemenangan SOG ini sebenarnya sangat monumental dalam menyambung legasi dan kelestarian muzik rock tempatan. Boleh kata mereka sebenarnya telah memahat satu ultimatum bahawa muzik rock TELAH kembali dan ia akan lebih garang berbanding sebelumnya. Lebih tepat lagi, SOG kini adalah muka hadapan muzik rock negara!

Walau bagaimanapun, penganut muzik bebas janganlah terlalu ego dan berbangga sangat. Sebaliknya, berterima kasihlah kepada barisan juri Datuk Mokhzani Ismail, Datuk Habsah Hassan, Datuk Syafinaz Selamat, Datuk Acis, Edrie Hashim, Helen Yap, LY, Altimet dan Faizal Tahir yang telah membuat pilihan tepat. Tanpa mereka, tiadalah SOG mampu menjulang trofi dan membawa pulang hadiah wang tunai RM100 ribu sekaligus melakar sejarah, sehingga ramai peminat muzik independen yang menitiskan air mata kegembiraan. Dah macam peristiwa Pilihan Raya Umum 2018 pulak.

Sambil menangis tu, mari kita telusuri apa impaknya kemenangan SOG ini kepada masa hadapan industri muzik Malaysia. Jangan lupa tambah juga pendapat kalian di ruangan komen.


Membuka jalan kepada lebih ramai pemuzik independen ke pentas arus perdana

Tidak dinafikan, peminat muzik bawah tanah sekarang banyak yang dah tak kisah dengan arus perdana. “F**k mainstream, f**k radio, f**k TV” katanya. Maklumlah, seiring dengan zaman, sumber mendengar dan meneroka muzik baharu kini dah terbentang luas menerusi platform-platform strim digital yang pelbagai. Tetapi pandangan mereka itu tidak semestinya dipersetujui oleh pemuzik-pemuzik yang telah lama bergelumang dalam sepak terajang dunia “indie” yang tidak terlepas daripada kontroversi dan “politiknya” yang tersendiri.

Jauh di sudut hati mereka sebenarnya sangat mengharapkan dapat bermain muzik sepenuh masa, menulis lagu-lagu sendiri yang boleh diketengahkan di pasaran lebih besar selain mengubah stereotaip masyarakat terhadap pemuzik secara keseluruhan.

Kemenangan SOG pastinya akan jadi buah mulut media, penggiat industri, makcik bawang, geng Tik Tok malahan mungkin kerajaan dan mereka akan mula membuka mata terhadap satu “dunia” yang terselindung daripada pandangan selama ini. Bayangkan, band independen yang main muzik pop pun susah nak tembus pasaran arus perdana, apatah lagi yang lebih keras. Tetapi SOG telah membuktikan tiada apa yang mustahil. Selepas ini, penulis pasti lebih banyak nama-nama lain akan berpeluang mengikuti jejak SOG dan menakluki carta-carta radio tempatan selain keterbukaan masyarakat terhadap sesuatu yang bernilai ‘alternatif’ akan lebih diterima.

Letusan muzik independen bakal berulang dengan wajah baharu

Kali terakhir kita dapat merasa kemeriahan muzik independen di Malaysia ini adalah pada lewat 2000an dan mula pudar selepas tahun 2010 dan pastinya ramai yang masih merindui era tersebut. Waktu itu, pemuzik memang boleh cari makan dengan bermain muzik sepenuhnya.

Kini, budaya menubuhkan band dan jamming pun dah hampir mati. Cuba periksa di Shah Alam tu ada berapa lagi studio jamming yang tinggal? 10 ke 15 tahun lepas, ada 20 studio pun sentiasa penuh. Selain tu, kalau kita perasan, kitaran muzik independen sekarang hanya tertumpu ke kawasan bandar dan urban, jauh berbeza dengan dahulu di mana tanpa internet pun, lagu-lagu seperti Shizuka – Redline ada di setiap telefon anak muda Felda dan kampung.

Kita ketepikan dahulu pemuzik dan peminat muzik independen sedia ada. Cuba fikirkan, kemunculan SOG di pentas akhir AJL 36 itu sendiri telah menginspirasi berapa ramai anak muda di segenap ceruk negara yang pertama kali mengenali mereka lantas terpukau dengan persembahan mereka dan menggenggam penumbuk seraya berkata, “Yes! Aku nak ajak kawan-kawan aku buat band jugak dan jadi lebih baik daripada SOG!”

Hasilnya mungkin anda tak nampak sekelip mata, tetapi perkara sekecil ini bakal memberi impak besar dalam tempoh 10 tahun mendatang. Selain itu, mungkin aktiviti jamming juga akan kembali meriah dan lebih banyak studio akan dibuka kembali.

Mengubah perspektif pendengar terhadap komposer dan penulis lirik upahan

Industri muzik Malaysia ni sangat cakna dengan nama-nama komposer dan penulis lirik, lebih-lebih lagi bila tibanya musim Juara Lagu. Sebab itu nama-nama seperti M. Nasir, Pak Ngah, Habsah Hasan, Loloq, Saari Amri dan ramai lagi sering disebut-sebut. Kalau generasi baharu ni pastinya nama-nama seperti Audi Mok, Ezra Kong dan lain-lain akan jadi sebutan.

Jadi, sedikit sebanyak kemenangan SOG memperkenalkan sosok Raja Nazrin Shah, Fazleena Hishamuddin dan katalog-katalog lagu mereka. Ia juga bakal mewujudkan diskusi sihat dalam kalangan penggiat seni dan peminat selain memberi amaran kepada nama-nama besar sedia ada bahawa anak-anak seni yang selalu dipandang rendah ini sebenarnya jauh lebih kreatif dan berwawasan berbanding apa yang mereka sangka selama ini. Tanpa bantuan komposer upahan, susunan muzik mereka selalunya lebih kompleks dan berlapis berbanding muzik pop arus perdana yang selalunya hanya mengikut templat berulang-ulang.

Persaingan juga akan berlaku kepada pemuzik-pemuzik lain tak kira di arus perdana atau bawah tanah. Sekarang mereka perlu jadi lebih baik dalam setiap komposisi jika menyimpan niat untuk mengikut jejak SOG. SOG bukan general perang yang berjaya membantai musuhnya dan membuka pagar untuk konco-konconya menjarah hasil bumi sesuka hati. Semuanya berbalik kepada kualiti keseluruhan lagu itu sendiri.

Kolaborasi dua dunia

Pertama sekali, penulis harap ia tidak jadi trend tangkap muat semata-mata selepas ini. Kita semua akui faktor Shila Amzah itu turut membantu kemaraan SOG ke pentas arus perdana, tetapi semuanya tetap berbalik kepada kekuatan lagu dan lirik Pelukan Angkasa sendiri. Sebelum ini pun, sudah berabad band-band independen berkolaborasi dengan artis-artis arus perdana, namun tidak semuanya bertuah dan mendapat peluang sama. Contoh terdekat adalah Jemson dengan album perdana mereka yang turut menampilkan nama-nama besar seperti Noh Salleh, Naim Daniel, Izo XPDC, Sam Bunkface dan ramai lagi. Boleh kata majoriti lagu dalam album tersebut terhasil daripada kolaborasi. Mungkin pihak berwajib dapat memberi peluang kepada mereka juga. Bayangkan lagu Lu Power, Mula Semula atau Nostalgia berkumandang di pentas akhir AJL 37 nanti.

Kepada yang nak mencuba nasib dengan artis-artis arus perdana lain selepas ini, gunakan peluang yang ada sebaiknya. Pastikan lagu benar-benar sedap disulam pula dengan kualiti rakaman yang baik. Jangan malu untuk menggunakan khidmat produser jika perlu.

Radio dan TV sebagai medium memperkenalkan suara alternatif

Dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini, pihak radio dan TV tidak perdana langsung tidak memandang muzik independen sebagai komoditi yang boleh memajukan apreasiasi seni dan budaya masyarakat tempatan. Bukan tidak ada yang pernah terlibat dengan scene, malah ada antara mereka yang satu masa dahulunya kuat memberontak, namun kini sudah jadi tunggul. Generasi terakhir DJ radio yang berani melawan arus mungkin Ismahalil Hamzah dan kini, legasi beliau diteruskan oleh Rakita FM dan BFM namun impaknya dirasakan masih tidak menyeluruh. Masih berputar dalam kalangan yang sudah kenal dan sudah biasa mendengar nama-nama artis independen ini.

Kita perlukan DJ di stesen-stesen lebih besar untuk kembali menjentik pemikiran dan keselesaan pendengar untuk mendengar sesuatu yang berbeza. Paling penting, seleksi lagu-lagu perlu disusun oleh DJ, bukan eksekutif!

Ini bukan perkara baharu pun. Dahulu radio dan TV kita meriah dengan segmen dan rancangan alternatif yang sebenarnya sangat membantu perkembangan scene. Tiba-tiba sahaja semuanya hilang dan langsung tidak diperkatakan lagi. Sekarang sudah tahun 2022, harapnya radio dan TV arus perdana lebih berani melawan arus. Jika tidak diperkenalkan, mana mahunya orang ramai nak kenal? Bila sudah kenal, pasti akan ada perbincangan, malah perdebatan yang sebenarnya sangat perlu untuk revolusi minda massa.

Mengubah definisi rock

 

 

 

 

 

 

 

Ini sebenarnya poin paling penting. Daripada awal artikel, penulis langsung tidak merujuk SOG sebagai band post-hardcore, nusantara atau sebagainya yang sukar difahami orang biasa. Mereka sendiri sebenarnya tidak suka diasosiasi dengan mana-mana batasan genre kerana seiring zaman, muzik rock telah berevolusi dengan laju sekali bagi yang sentiasa mengikuti trend. Malang bagi masyarakat kita, majoritinya masih tersekat di era 90an dengan format balada dan rock yang tipikal. Eksperimentasi dan percampuran genre hanya akan membuat mereka meluat dan muntah.

[Tonton video di atas] SOG sebenarnya sudah jauh meninggalkan kekangan genre dan memasukkan pelbagai rencah dari setiap pelusuk dunia serta budaya yang kadangkala, penganut independen sendiri pun tak boleh faham. Ada sahaja penulis lihat di ruangan komen media sosial di mana pembaca menunjuk pandai membetulkan orang lain yang bagi mereka tidak mengenali genre sebenar SOG.

Sekarang adalah masa yang sesuai untuk kita berhenti melihat muzik dengan pandangan yang sempit dan memberi peluang kepada pemuzik untuk bereksperimentasi mengikut kreativiti mereka yang jelasnya jauh lebih bagus daripada yang kita sangkakan. Ini adalah masa depan muzik rock dan ia takkan sama dengan apa yang kita kenal selama ini.

Band Malaysia di mata dunia

Ini mungkin poin paling ironik. SOG yang telah hampir 20 tahun berjuang dalam skena muzik Malaysia sebenarnya memang sebuah band bertaraf antabangsa, cuma masih ramai yang belum sedar. Dua perkara: Berkongsi pentas dengan nama-nama besar seperti Slayer di Pulp Summer Slam 2019 dan produksi album terbaharu di Alias Studio, Perancis sudah cukup membuktikan jenama mereka bukan calang-calang. Ini bukan band yang baru tahun lepas ditubuhkan dan ‘bernasib baik’ menang AJL kerana Shila Amzah. Komen-komen seperti ini di media sosial adalah sangat menjelikkan.

Jika bukan kerana pandemik, SOG sebenarnya sudah pergi lebih jauh dan mungkin mengecapi pengalaman yang lebih manis berbanding memenangi AJL. Segala persiapan telah mereka lakukan, namun takdir menentukan bahawa mereka akan menempa nama di tanah air terlebih dahulu sebelum menerima rekognisi antarabangsa.

Akibat komitmen dan mungkin visi yang tidak besar, kebanyakan pemuzik di Malaysia tidak pernah terfikir pun untuk mengembangkan pengaruh ke luar negara. SOG telah melakukan perkara ini lama dahulu, dan kali ini pastinya ramai yang akan membuka mata terhadap bakat-bakat tempatan untuk dibawa ke pentas dunia.

Mungkin dahulu band tempatan agak sukar mencari penaja untuk ke festival-festival luar negara. Penulis mengharapkan perkara ini berubah secepat mungkin dan kita dapat memberi saingan kepada negara jiran yang telah jauh meninggalkan kita.

Tinggalkan Komen Anda

Anda juga mungkin meminati

Ala... Ada pasang Adblocker Eh?

Support la kitorang dengan benarkan ads di pelayar web korang. Kitorang faham memang sakit mata tengok ads ni. Tapi, kasi chance lah. 😅