Gabungan padu 4 kumpulan terhebat masakini Hujan, Bunkface, Masdo dan Insomniacks berjaya menarik perhatian 7000 jiwa kacau yang menghadiri konsert dibawa khas oleh MND Sport & Event Sdn. Bhd. Event ini dengan jayanya telah dilangsungkan di Stadium Tertutup Malawati Shah Alam pada tanggal 17 Jun lepas. Dan menariknya, konsert ini adalah yang terakhir yang dianjurkan di situ sebelum bakal dirobohkan untuk pembinaan semula. Ianya dikemudikan oleh penyampai radio Era, Fazziq. Penulis juga ingin memberi kredit kepada penganjur kerana memberi laluan masuk waktu solat Isyak terlebih dahulu sebelum membuka pentas.
Persembahan dimulakan oleh band paling junior, Insomniacks dengan membawakan lagu-lagu hits mereka seperti “Langgar”, “Reminisensi”, “Here Again”, “Igauan Malam” serta 2 lagu yang senantiasa mendunia di dalam carta mingguan RIM iaitu “Pulang” dan “Sempurna”. Ada ketikanya si vokalis Iqie hanya membiarkan crowd untuk sing-along bagi kedua-dua lagu tersebut kerana beliau tahu rata-rata peminat telahpun menghafal tiap-tiap bait lirik. Persembahan mereka juga tidak kurang menarik kerana berjaya mengawal mood audiens mengikut lagu yang dipersembahkan.
Kugiran seterusnya adalah sebuah kugiran yang kini sedang ligat mencipta nama di persada muzik Indonesia, Masdo. Bermula tepat jam 9.40 malam, mereka membuka set dengan “Janji Manis” dan terus bersambung “Miss Flower”. Transisi diantara dua lagu tersebut tersangatlah licin macam mentega. Haha. Kemudian diikuti dengan “Terunadara”, “Inilah Jalannya”, “Dinda”, “Bunga”, “MPRNR” dan diakhiri dengan “Bercanda”. Sesiapa yang pernah menghadiri show mereka, pastinya tahu part cangkung mencangkung di dalam “Bercanda”. Ali bijak menghidupkan suasana tersendiri dan disini penulis ingin mengisytiharkan bahawa persembahan mereka pada malam itu adalah paling kemas berbanding lain.
Bunkface adalah nama yang tidak asing lagi di dalam scene muzik Malaysia. Mereka yang selalu menampilkan persembahan bertenaga sememangnya tidak mengecewakan peminat yang hadir. Lagu pembuka, “Bunk Anthem” berjaya menarik dan menukar (baca: convert) setiap penonton kepada Bunkers sepenuh masa. Mereka semakin menggila ketika lagu kedua berkumandang, “Malam Ini Kita Punya”. Disusuli dengan “Ekstravaganza”, “Rentak Laguku” (intro sedap), “Darah Muda”, “Panik”, “Situasi” dan “Revolusi”. Boleh dikatakan set mereka ini adalah yang paling havoc sehingga tercetusnya perkara yang baru-baru ini tular di media sosial. Sam sempat membawa naik seorang Bunker(s) ke atas pentas untuk bersama-sama menghiburkan jiwa-jiwa kacau yang tengah melayan. Penulis sempat mendengar keluhan beberapa Bunkers yang kecewa akan ketidakhadiran “Silly Lily” dan lain-lain seangkatan.
Headliner of the night, Hujan membuka persembahan menerusi “Obsesi”. Energi Noh Salleh masih berbisa dan bisa membuat Raingers yang hadir tidak tidur malam akibat sakit kaki dan lembik lutut. Haha. Band ini adalah yang dinanti-nantikan sepanjang konsert dan sedikit sebanyak dapat mengubat kerinduan Raingers yang hadir dari pelbagai pelusuk. Mempersembahkan 9 lagu antaranya “Mencari Konklusi”, “Ahmoi Chantek”, “Lonely Soldier Boy”, “Empayarmu” dan diakhiri dengan “Aku Skandal”. Sempat juga Noh berseloroh akan hal-hal yang berlaku seperti abang security silalah cuti, bayar mahal tak boleh mosh, laser terkena mata dan macam-macam lagi. Mungkin juga sebagai band penutup, beliau telah meneliti segala perkara yang berlaku sebelumnya dan mempunyai alasan tersendiri untuk bersuara. Malangnya as a headliner, set mereka agak pendek dan mungkin juga kekangan masa yang tidak mengizinkan. Sesi meet and greet bersama peminat berlaku sejurus saja selesai habis konsert.
Keseluruhannya event kali ini boleh disifatkan berjaya walau terdapat sedikit cacat cela yang sekaligus mengganggu perjalanan konsert kali ini. Buat penganjur, bolehlah mengambil iktibar sedikit sebanyak akan isu ini dan saya juga faham yang kita tak boleh memuaskan semua pihak tapi sekurang-kurangnya buatlah yang terbaik untuk audiens. Mereka datang dari jauh dan banyak berhabis semata-mata untuk support event kali ini. Penganjur perlu cakna dan menambah baikan segala kekurangan supaya event akan datang tidak dicemari dengan isu viral.