1. Sebelum berlangsungnya konsert Double Trouble 2, peminat rock di Malaysia telah disajikan dengan dua precursor (petanda) iaitu konsert Search: Rockin’ on Rooftop dan Barbarik: Pentas Keras pada tahun lepas.
2. Peminat-peminat setia Search dan Wings pastinya masih ingat konsert Double Trouble pertama yang berlangsung pada bulan November 1993 di Stadium Negara. Setelah 30 tahun, edisi kedua akhirnya menyusul pada 5 Ogos 2023 di Stadium Malawati, Shah Alam dengan line up yang semua tahu, sangat berbeza.
3. Lebih kurang jam 8.40 malam, DJ kesayangan rockers Malaysia, Ismahalil Hamzah muncul di pentas bagi menghangatkan suasana dan peminat yang sudah tidak sabar-sabar lagi mahu headbanging dan singalong lagu-lagu kegemaran mereka pada malam itu.
4. Tepat jam 8.47 malam, Search dan Barbarik mengambil alih panggung Stadium Malawati dengan bergaya membawa lagu pembuka, Balada Pemuzik Jalanan. 7,000 penonton yang hadir tidak keruan lagi melihat kelibat Joe Branko, Kid, Din, Mus, Denden dan lain-lain beraksi. Saat itu, satu lagi momen bersejarah dalam khutub khanah rock negara tertulis.
5. Kualiti audio agak kurang memuaskan di lagu pertama dari segi balance, lebih-lebih lagi di bahagian lead guitar namun beransur pulih setelah Barbarik memulakan set mereka dengan lagu Raum, Mencari Asal-Usul dan 203.
6. Barbarik meneruskan ‘kekejaman’ bunyi dan persembahan mereka dengan seleksi lagu-lagu langka era Mus termasuk Idaman, Hati Sulam Lain, Keris Tak Ada Sarung, Sakit Bantal Empuk dan Biru Mata Hitamku. Penulis dan ramai lagi yang lain berpendapat bahawa tenaga dan aura yang dibawakan mereka kali ini mengatasi konsert Barbarik: Pentas Keras sebelumnya.
7. Ramai yang mengharapkan Joe bagi 100 peratus, namun dia tanpa segan silu bagi 200 peratus sampai berdesing telinga dan meleleh air mata darah penonton kat bawah! Gila beb! Boleh kata semua solo dia extend dan improvise dengan sound yang merecik-recik!
8. Mus pula macam biasa, bukan saja masih mengekalkan gelaran ‘raja petir’ dengan kualiti vokal yang mengancam, namun sangat steady mengawal pentas dan penonton yang hadir. Perlu diingatkan, that dude is 55 dan tak ramai yang mampu mengatasi karismanya di atas pentas sehingga kini. Selain itu, Adi Yamin di bahagian keyboards juga mendapat spotlight sewaktu lagu Hati Sulam Lain manakala Rozaimi dan Ainul sangat profesional mengawal bahagian irama.
9. Separuh masa kedua konsert dimulakan oleh Search dengan set lagu Di Pintu Sepi, Emmanuelle dan Pembakar Perasaan. Denden kelihatan tidak selesa. Geraknya kaku sedangkan Kid, Din, Yan, Minn dan Firdaus dah all out. Bila berbual dengan penonton, lagi jelas nampak dia nervous. Kualiti vokalnya juga agak kurang berbanding konsert Rockin’ on Rooftop. Mungkin terkesan dengan aura dan karisma Mus sebelumnya?
10. Persembahan diteruskan dengan lagu Asli & Tulus, Metropolitan, Rock n Roll Pie dan Pelesit Kota. Ramai yang menghargai keputusan Search untuk membawa Asli & Tulus kerana ini adalah kali pertama lagu ini berkumandang secara live. Jika sebelum ini di Rockin’ on Rooftop peminat terngiang-ngiang lagu Teguh, kali ini Asli & Tulus menjadi lagu paling berhantu dalam setlist Search. Solo Kid meleleh beb!
11. Setelah dua jam, konsert berehat sebentar sambil Minn dan Ainul mengambil alih pentas dengan drum solo yang menarik. Gabungan rock dan electro. Organised chaos. Kudos kepada Minn yang main dua show hari tu, petangnya di Atas Angin bersama Naratu.
12. Search dan Barbarik kembali bergabung dengan lagu Padamkan Lampu Tidur, Gadisku, Inspirasi Syakilla dan Gadis Misteri sebelum bertukar kepada set akustik yang menampilkan Kejora dan Blues Ular Sawa. Agak unik bila Blues Ular Sawa diakustikkan kerana lagu ini adalah antara lagu killer Wings era Mus, namun persembahan mereka pada malam itu tetap menghiburkan lebih-lebih lagi bila Joe turut menyumbangkan suara.
13. Instrumental Mencari amat menarik perhatian penulis kerana versi live kali ini turut menampilkan Joe Branko. Lagu yang terkandung dalam album Fenomena (1989) ini dijayakan sebaiknya oleh ketiga-tiga gitaris – Din, Kid dan Joe pada malam itu.
14. Search dan Barbarik menamatkan persembahan mereka dengan lagu Gemuruh dan Pasti secara bersama. Secara keseluruhan, lebih tiga jam konsert Double Trouble 2 berlangsung. Semua puas!
15. Pendapat peribadi penulis, Most Valueable Player (MVP) pada malam itu sudah tentu Joe Branko. Persembahan Barbarik juga lebih baik berbanding Pentas Keras sebelum ini. Search pula lebih baik di konsert Rockin’ on Rooftop.
16. Penulis bersyukur kerana diberi peluang menyaksikan malam bersejarah ini dan pastinya imej double lead Joe Branko dan Kid sewaktu lagu Gemuruh akan tersemat rapi di ingatan sampai bila-bila. Terima kasih Alpha Nation, Search dan Barbarik!