8 Band Rock Melayu Yang Melawan Fenomena Lagu-Lagu Jiwang

oleh Firz Shukri
12.4K bacaan

Tahun 2020, tentu generasi hari ini tidak pernah terfikir adanya lagu-lagu rancak dengan riff berat berserta lirik yang sempoi akan hits di corong-corong radio, sehingga 3-4 lagu pernah mendaki carta radio serentak pada minggu yang sama. Melihatkan suasana industri pada hari ini, ia tidak akan menjadi kenyataan dalam tempoh masa terdekat ini.

Tetapi ia pernah berlaku pada satu era yang kita panggil zaman new wave of hard rock & metal. Ini adalah zaman rock baru selepas kejatuhan rock kapak pada tahun 94-95 dahulu. Ini adalah zaman di mana budak-budak lelaki masing-masing nak jadi jantan, nak tunjuk macho dan nak rasa diri ini brutal. Rambut panjang, pakai spek hitam, t-shirt hitam, seluar jeans, jaket denim, jaket kulit, jalan tangan seluk poket. Dan sentiasa rasa nak headbanging. Yeahhh…

Arghhh boringnya, kenapa semua band yang muncul nak main lagu-lagu tangkap lentok? Ya, pertengahan 90’an adalah waktu di mana anak-anak band menjadi obses dengan lagu yang mendayu-dayu dan melentok-lentok. Menjadikan anak-anak muda semakin jambu dan mudah bersedih apabila ditinggalkan wanita.

Tetapi mujur, masih ada gergasi-gergasi rock yang bertahan dan terus-menerus mencipta fenomena kepada anak-anak muda dengan muzik yang segar dan energetic. Dan sudah tentulah, penyumbang utama trend baru ini adalah XPDC yang meletup dengan album Brutal. Album berkenaan benar-benar mencipta satu trend baru dalam scene rock tanah air. Sayangnya Mael pulak berpisah dengan XPDC waktu itu, tetapi kegemilangan XPDC masih menyala dengan kemasukan Ali sehingga kisah Konsert Raksaksa di Stadium Merdeka dan Konsert di Shah Alam masih menjadi cerita membanggakan sampai sekarang.

Suasana metal itu bertambah membahang apabila band FTG mula melangkah ke arus perdana apabila dengan berani membikin album berbahasa Melayu, Aku Tak Peduli pada 1998. Tahun yang sama juga CD Naz keluar dengan band prog metal, Metalasia. Ketika ini, ia menunjukkan pada orang ramai bahawa muzik metal bila dibawa ke dalam Bahasa Melayu, ia masih garang dan macho. Baru jantan sebenar.

Era 90’an, adalah era Metallica, Megadeth, Pantera, dan Slayer berjaya mempengaruhi citarasa anak muda. Ia melahirkan dua kelompok dalam scene rock tanah air. Satu kelompok menjadi mat rock dan mat metal dengan band-band hard rock dan heavy metal mainstream berbahasa Melayu, dan satu kelompok lagi memilih muzik extreme seperti death dan black metal di arena underground dengan berbahasa Inggeris. Masa ni macam biasa, ada je sinis dan saling mengejek tetapi bagi aku okay saja. Walau dua-dua saling mengejek, dua-dua scene mengejek sebab nak tunjuk siapa paling macho, siapa paling brutal. Okay lah tu kan? Yang mana menjadi pilihan korang?

1. Amuk

“Kali ini saya benar-benar mahu mengamuk.” Seperti itulah ungkapan Nasabandi atau nama pentasnya, Bandi sewaktu mula-mula mahu menubuhkan sebuah band bernama Amuk. Ketidakpuasan hatinya terhadap band lama, Febians telah membakar industri muzik dengan kelahiran album-album metal yang di luar jangkauan peminat sebelum ini. Muzik metal yang bukan setakat berbahasa melayu malahan elemen-elemen muzik melayu tradisional juga tanpa segan-silu dimasukkan dengan gah sekali. Nah, bagi budak-budak muda yang ingin mengangkat trend nusantara rock, Amuk adalah sepatutnya menjadi rujukan utama kalian. Meskipun kita tahu sumber inspirasi Amuk adalah Cromok, tetapi apa yang Bandi telah bawakan melalui Amuk merupakan satu nilai seni yang segar dan original. Sesuatu yang sangat sukar kita dapati dari band-band lain selepasnya.

Amuk telah menghadapai pelbagai kontroversi sewaktu zaman kegemilangannya. Ketidakpuasan hati peminat-peminat metal underground terhadap Amuk bukanlah perkara pelik. Ketika itu genre death metal dan thrash metal sedang menjadi trend, maka keghairahan budak-budak underground terhadap heavy metal semakin tipis menyebabkan mereka merasa Amuk adalah false metal yang tidak jitu. Tetapi hakikatnya peminat hard rock dan heavy metal adalah majoriti di arus perdana dan kerana itu sambutan terhadap kehadiran Amuk disambut baik dengan jualan puluhan ribu unit bagi setiap album-album yang diriliskan. Sumbangan Amuk kerana kewujudan lagu-lagu mereka sedikit sebanyak telah mengembalikan semula semangat rock yang hilang pada penghujung 90’an dek lambakan band-band pop rock jiwang yang mendominasi industri. Ya, ini adalah waktu kegemilangan muzik heavy metal melayu yang kita dah tak merasainya lagi hari ini. Bayangkan lagu-lagu berat seperti Dalam Semak, Akar Dan Bumi, Dikir Timur dan Ingat-ingat mampu menduduki carta lagu-lagu popular di radio. Amuk merupakan satu-satunya band yang betul-betul menghampiri kedudukan XPDC berbanding band-band sezamannya.

2. Spider

Gila, siapa yang hidup pada dekad 2000’an tetapi tidak kenal band Spider, memang aneh lagi ganjil. Ini adalah band yang paling besar sepanjang era 2002 hingga 2006 dahulu. Nama mereka sangat besar dan gah, hampir semua orang yang mengikuti perkembangan industri akan mengenali nama Spider tidak kiralah anda mat rock ataupun peminat biasa. Dua album mereka, Ngam Ho (1998) dan Aladin (2002) telah meletup-letup dengan lambakan lagu-lagu hit yang fenomena. Terutamanya lagu Relaku Pujuk hingga memenangi Anugerah Juara Lagu dan Anugerah Lagu Rock Terbaik di Anugerah Industri Muzik. Spider telah menjadi satu penanda aras kepada band-band rock sezamannya bagaimana menjadi sebuah band yang hebat dan cool tanpa perlu mengikut arus semasa. Benar, mereka hidup di zaman band-band pop seperti Spin, Q-Face, dan seangkatan sedang hangat diperkatakan. Malah ketika band-band Indonesia seperti Sheila On 7 dan Gigi sedang diterima ramai, Spider langsung tidak mengikut arus sebaliknya kekal mengeluarkan lagu-lagu mengikut acuan mereka sendiri.

Spider sebenarnya membentuk satu genre yang tidak pernah dibawa oleh mana-mana band di Malaysia sebelum dan sesudah, malah hingga saat ini, tidak ada band yang mampu menghasilkan originaliti muzik rock seperti yang Spider telah lakukan. Gandingan genre hard rock, alternative rock, punk rock dan new wave ska adalah idea yang tidak terlintas untuk dijadikan senjata utama menambat hati peminat muzik di Malaysia. Malah sehingga album mereka, Ankabut pada tahun 2016 pun, mereka masih teguh mempertahankan identiti muzik mereka tanpa perlu menukar kepada genre semasa semata-mata mahu mencuri perhatian peminat generasi baru. Meskipun sudah kurang popular, tetapi tidak bermakna muzik mereka ketinggalan zaman, malah boleh dikatakan ia semakin advanced dengan elemen-elemen baru tanpa mengikis akar rock mereka. Anda minat lagu jiwang? Lagu jiwang Spider jauh lebih bermutu untuk anda layan tanpa perlu geli-geleman.

3. Def Gab C

Tahun 1997 merupakan tahun kemuncak band-band seperti Data, Arrow, EYE disamping nama-nama besar seperti Slam, Spring, Exists dan Ukays. Entah macam mana tiba-tiba satu hari tu terdengar satu lagi yang pelik dicorong radio RTM. Memang bunyinya pelik, tidak mendayu-dayu seperti kebiasaan lagu-lagu radio, malah tidaklah keras seperti band-band rock semasa. Ia agak moden, tetapi tidak alternative seperti band-band underground di zaman tersebut. Tetapi melodi dan rentak muziknya mudah melekat di dalam kepala. Sehinggalah beberapa hari selepas itu, bari tahu, itu adalah lagu Ibu Kota Cinta dari band baru, Def Gab C. Mereka baru rilis album sulung, Citarasa pada tahun berkenaan. Dimana-mana rumah bujang, pasti akan berkumandang lagu Ibo Kota Cinta ini dengan volume yang kuat, trendy bro.

Memang mengujakan apabila mengenali Def Gab C ini, muzik mereka lain macam. Ada juga yang bertanya, Def Gab C ni macam Def Leppard ke? Tak adalah, Def Gab C lebih moden dan ringan, tetapi unsur glam yang ada pada kedua band ini macam sama. Hahaha… Meskipun mereka boleh dikatakan anak didik kepada Joe Wings dan JS Kevin, namun hasil mereka benar-benar original yang tidak pernah kita dengar dari band lain. Dalam masa beberapa tahun sahaja nama mereka mencanak naik dengan lagu-lagu seperti Cinta Sakti, Aku Dan Kamu, Marilah Maria sehinggalah ke era moden dengan lagu Merah, Arigato, dan PHD (Perasaan Hasad Dengki). Uniknya pengaruh muzik mereka adalah pelabagai, dari hard rock, punk rock, glam rock, gothic, alternative sehinggalah ke pengaruh muzik rock Jepun. Mereka benar-benar mencetuskan revolusi kepada muzik rock ketika itu. Banyak kali juga penulis mendengar orang-orang yang cuba mendefinisikan genre sebenar Def Gab C namun tidak ketemu sesuatu yang tepat, melainkan hanya meletakkan mereka di dalam kategori hard rock sahaja, lebih mudah.

4. Kamikaze

Perang muzik rock dan metal turut menarik pemuzik professional seperti Sham untuk menubuhkan band dia sendiri, Kamikaze. Tahun 2000, merupakan tahun yang padu untuk muzik rock di Malaysia. Awie tengah mengganas dengan album Rentap, Wings bersama vokalis mereka ketika itu, Mus pula berentap dengan album Mr. Barbarik, Amy dengan album Suatu Masa, Black Maria meletup dengan album Veto, dan Kamikaze muncul dengan dua buah album dalam masa setahun. Album debut mereka, Kontroversi dan sebuah album dengan majoriti lagu-lagu cover, Inspirasi. Keduanya meletup dan menjadikan Kamikaze sebuah band yang besar dalam masa yang singkat. Weh.. siapa yang tidak kenal dengan Kamikaze pada waktu itu? Ramai juga member yang suka memilih lagu Luhur untuk dinyanyikan sewaktu pergi karaoke. Ya, Luhur memang hits pada waktu itu. Syahdu dan mengharukan, suara T-Rex memang menjadi sebagai vokalis Kamikaze.

Lagu perkenalan mereka, Tawa Dalam Tangisan merupakan sebuah lagu balada yang heavy. Kalau anda menyanyikan lagu ini, memang akan ketara betapa rocknya anda dengan karakter yang cool. Pengaruh heavy metal yang kental dapat dirasai dalam muzik mereka terutama melibatkan band-band seperti Megadeth, Pantera dan Metallica. Namun dalam masa yang sama permainan gitar Sham sendiri tidaklah seratus-peratus dipengaruhi metal, sebagai gitaris yang berpengalaman dengan pelbagai jenis muzik, kita dapat merasai variasi mood gitar yang dia tampilkan. Lagu-lagu seperti Kontroversi, Kerja, Dentuman, Inspirasi, Tawa Dalam Tangisan dan Luhur menjadikan mereka band yang berkuasa terutama untuk band-band sezaman dengan mereka. Ya, zaman mereka ini New Boyz tengah meletup. Perseteruan antara band rock dan band pop rock sangat ketat dan sengit pada waktu ini.

5. FTG

Apa yang menariknya tentang band FTG ini adalah kerana asalnya mereka merupakan salah sebuah band terawal yang menggerakkan scene metal underground di tanah air kita. Penglibatan mereka di dalam muzik adalah dengan pembawakan thrash metal berbahasa Inggeris yang cuba melawan arus rock semasa dengan muzik yang lebih keras dan bingit. Nama mereka sangat besar di dalam kalangan peminat metal. Hingga ke hari ini, kita boleh katakan FTG sebagai band kedua terbaik di dalam genre thrash metal selepas Cromok. Namun mereka tidak sekadar mahu terus selesa di dalam dunia bawah tanah semata-mata kerana mereka sedar potensi mereka untuk membawakan muzik mereka lebih jauh ke atas. Album Aku Tak Peduli rilis pada tahun 1998. Dan ya, memang meletup. Jangan bila kita kata album ini meletup, bukan bermaksud lagu-lagu mereka hits di radio, tetapi album berkenaan mendapat sambutan dikalangan mat-mat rock yang ramai mungkin tidak menyedari kewujudan FTG sebelumnya. Ya, bukan semua orang mengikut rapat perjalanan muzik underground,dengan itu, kehadiran FTG telah memeriahkan scene rock arus perdana yang sedang naik semula pada waktu itu.

Meskipun tahun 1998 itu kita katakana sedikit lewat untuk menyerang balas kebanjiran band-band pop jiwang yang sedang memuncak, tetapi ia masih berbaloi. Sekurang-kurangnya rasa putus asa mat-mat rock ketika itu terubat dengan dentuman lagu-lagu seperti Malaysia Maju dan Aku Tak Peduli sebagai pembangkit semangat. Muzik metal ketika itu bukan lagi sesuatu yang rare, kerana XPDC sudah melemparkan tikar merah kepada genre berkenaan sehingga fenomena heavy metal tidak lagi asing ditelinga pendengar. FTG hanya perlu menerajang angkuh pintu pembatas yang sudah sedia rapuh untuk menghentam industri dengan muzik berat mereka. Dan rock kembali meriah. Apa yang suka tentang FTG, mereka tidak perlu bermodalkan satu atau dua lagu balada sebagai buah tangan untuk peminat baru, mereka benar-benar tidak peduli. Mereka hanya sekadar menukar penggunaan Bahasa Inggeris ke Bahasa Melayu serta menurunkan 30% kadar kelajuan muzik mereka untuk lebih mesra dengan peminat rock Melayu. Masih brutal, masih ganas, dalam masa yang sama masihg mesra telinga.

6. Metalasia

Antara masalah kepada gitaris-gitaris band pop rock jiwang pada ketika itu antara lainnya adalah kemahiran mereka bermain gitar terutama di dalam studio rakaman. Kredibiliti mereka sebagai gitaris benar-benar dipersoalkan. Oleh kerana itu kehadiran dua gitaris muda yang hebat seperti King Shah dan Ritz telah menampar-nampar pipi mereka dengan skill bermain giatr yang cerdas dan luar biasa. Menjadikan Metalasia sebagai sebuah band yang tidak boleh dipandang enteng. Band metal yang memperjuangkan genre progresif dengan elemen power/symphonic ini telah memperkenalkan bunyian baru di dalam scene rock tanah air. Tidak ada lagi band seperti mereka sama ada di mainstream mahupun underground. Sebuah idea yang luar biasa. Cuma apa yang sedikit sayang, mereka hanya ada dua buah studio album sahaja iaitu Khalifah Alam Maya dan juga Silantra. Album Khalifah Alam Maya menggunakan khidmat vocal CD Naz, bekas gitaris band metal Sil Khannaz. Boleh dikatakan album ini sebenarnya masih terlalu underground konsepnya, tetapi kerana penggunaan Bahasa Melayu dan vokalnya yang tidak growl seperti rata-rata band underground lain, lagu-lagu Metalasia bertebaran luas dikalangan peminat muzik rock tempatan.

Band ini ditubuhkan pada 1997 dengan naungan Tri Castle Entertainment kerana terinspirasi dengan konsep muzik 80’an yang tidak pernah diteroka lagi oleh mana-mana band tempatan. Barangkali pada era tersebut, populariti band barat seperti Dream Theater juga sudah semakin meluas di Malaysia. Namun kemuncak populariti Metalasia adalah dengan album Silantra..Bermulanya Sebuah Epik yang rilis pada tahun 2003. Ini adalah era di mana wajah anak-anak band semakin meriah di kaca TV. Berita-berita mengenai Metalasia terdapat di majalah-majalah hiburan dek kerana populariti mereka yang boleh dikatakan setara band-band rock popular waktu itu. Album kedua ini mereka menggunakan khidmat Muix sebagai vokalis dengan konsep yang lebih mirip symphonic/power metal ala-ala band dari Eropah. Mendengar pertama kali lagu Silantra di corong radio (terutamana sewaktu rangan khas lagu-lagu rock) benar-benar meremangkan bulu roma. Ini adalah zaman muzik heavy benar-benar melekat di dalam kepala mat-mat rock.

7. Kristal

Sinonim dengan panggilan anak didik kepada Awie, Kristal muncul ditengah-tengah muzik rock adalah fenomena. Senang cerita memang tepat pada masanya. Pada tahun 2000, mereka diperkenalkan dengan hits Seragam Hitam. Penangan mereka memang dasyat. Bayangkan sekumpulan budak-budak kecil yang masih bersekolah rendah dan menengah sudah menggila dengan muzik rock keras yang dikelilingi nama-nama besar sebagai pembimbing mereka. Sifu M.Nasir adalah produser untuk debut album mereka, Semut Dan Lebah. Dan sentuhan legenda itu sangat berbisa. Lagu Seragam Hitam, dan Ku Membisu menjadi siulan peminat muzik kerana terlalu kerap diputarkan di radio. Gimik sebagai anak kecil yang masih comel tetapi bersalut dengan imej brutal menjadikan mereka mudah mencuri perhatian. Mereka ibarat satu bentuk perlawanan kepada anak-anak kecil lain sezaman dengan mereka seperti New Boyz dan Boboy yang membawa imej jambu dengan lagu-lagu yang terlalu lemah. Menubuhkan band rock itu cool. Mampu bertahan lama dan lebih bernilai dari band-band pop yang hanya mengejar hati peminat wanita.

Siapa tidak kenal lagu paling fenomena dari Kristal, Delaila? Sehingga saat ini, ia masih menjadi trek pilihan ramai kerana kekuatan melodi dan lirik lagu berkenaan. Malah mereka masih laris mendapat undangan persembahan ketika mana musim band-band dari seberang mula menjajah pasaran tempatan. Mungkin kerana mereka masih muda pada saat itu, maka mereka masih mampu menarik perhatian peminat untuk mengikuti muzik mereka. Tiga album terawal Kristal adalah kemuncak kehebatan mereka sebagai sebuah band sebelum mereka seolah mula hilang hala tuju apabila memilih menjadi band yang gigih meriliskan album yang hanya memainkan lagu-lagu cover demi kelangsungan karier. Ini adalah kesan daripada kejatuhan muzik rock pada pertengahan 2000’an yang menenggelamkan hamper kesemua band-band rock yang pernah gemilang sebelum ini.

8. Jinbara

Macam yang penulis sudah katakana, tahun 2000 merupakan tahun yang hebat untuk muzik rock Melayu. Kerana tahun ini band Jinbara muncul dengan debut album Pui-Aiya-Hoi yang memperkenalkan mereka melalui lagu T.O.T.O. Rata-rata peminat muzik tanah air hanya mengetahui nama Jinbara apabila mereka meletup dengan lagu Kasihnya Laila dan Cinta Pantai Merdeka pada tahun 2005, tetapi sebenarnya mereka sudah dikenali oleh mat-mat rock sejak tahun 2000 lagi. Jinbara asalnya adalah sebuah band yang bernama Tropika dengan konsep pop rock namun ia tidak berapa berjaya meskipun lagu mereka [ada waktu itu, Cinta Pantai Merdeka sudah meniti dibibir peminat. Namun kerana memiliki cita-cita yang lebih tinggi, mereka mentransformasi band mereka menjadi sebuah band yang beridentitikan rock sejati dengan pertukaran nama kepada Jinbara yang lebih berkarakteristik dan ganas. Sesuai dengan muzik hard rock dan heavy metal yang mereka pilih untuk perjuangkan.

Tiga album terawal mereka boleh dikatakan sebagai era terbaik mereka, yang mana ketika itu Yabang dan Harry masih bersama dengan Jinbara sebelum kedua mereka keluar menubuhkan sebuah band lain bernama Khalifah. Album kedua Shin Kuang pada tahun 2003 lebih berat dan rugged terutama dengan lagu hits mereka, Kita Kawan. Lagu-lagu dari album ini banyak bermain di corong-corong radio namun masih belum dapat mempopularkan nama mereka sehinggalah album ektiga, Suatu Evolusi rilis pada tahun 2005. Lagu Kasihnya Laila serta-merta menjadi fenomena. Ya, sebuah lagu hard rock yang kuat elemen melayunya masih mampu memikat hati pendengar ketika muzik moden dari Indonesia sedang rancak menambat hati muda-mudi kita. Kasihnya Laila menjadi lagu malar segar hingga ke hari ini, yang mana kalau ada mat rock melayu yang tak pernah dengar lagu ini, memang peliklah juga. Suka atau tidak, Jinbara memang dah berjaya mencipta legasi yang sangat kukuh dalam sejarah industri kita. Meskipun selepas itu mereka bertukar vokalis baru, Tia, Jinbara masih mampu mempertahankan populariti mereka dalam masa yang panjang.

Tinggalkan Komen Anda

Anda juga mungkin meminati

Ala... Ada pasang Adblocker Eh?

Support la kitorang dengan benarkan ads di pelayar web korang. Kitorang faham memang sakit mata tengok ads ni. Tapi, kasi chance lah. 😅