ABoi: Band Yang Hampir Dilupakan

oleh Firz Shukri
4.8K bacaan

Bukan Boboy, bukan juga New Boyz.

Kali pertama mendengar lagu Apa-apa Saja di corong radio dahulu, terasa enjoy pula dengan lagu rancak dan laju tersebut sehingga kaki turut terhentak-hentak mengikut irama lagu. Sejak itu, baru perasan sebahagian kenalan sudah pun memiliki album pertama ABoi, Aku Budak Sempoi yang mana lagu-lagu di dalamnya hampir kesemua adalah lagu rakyat yang di’rock’kan. Yang peliknya, tiada siapa sedar bahawa muzik yang dibawa mereka ini adalah punk rock. Manakan tidak, telinga masing-masing langsung tak familiar dengan lagu punk rock Bahasa Melayu, kerana biasanya lagu punk di Malaysia ni menggunakan Bahasa Inggeris.

Untuk informasi, album pertama mereka berjudul Aku Budak Sempoi (1999), diikuti album Selamba Aje… (2001) dan album ketiga berjudul Belum Cuba Belum Tahu (2007). Konsep lagu-lagu mereka adalah easy listening dan tidaklah seperti kebanyakan band yang sama genre dengan mereka yang lebih keras, rebel dan raw. Ini memudahkan mereka diterima umum. Apa yang menariknya, mereka ini adalah band mainstream. Band punk rock untuk pendengar mainstream. Mereka juga diletakkan bersama-sama band mainstream di bawah label Life Records seperti XPDC, Baji, Candy, dan lain-lain yang pada ketika itu, budak-budak underground agak kurang memberi perhatian kepada mereka. Seperti yang dikatakan tadi, orang tak perasan yang mereka main punk rock.

Sebenarnya kemunculan ABoi dalam industri muzik tanah air kita ini serentak dengan naiknya band The Pilgrims ke arus perdana sekitar 1999-2001 dahulu. The Pilgrims merupakan band punk rock yang sejak dari awal 90-an sudah aktif dalam underground scene dan eksperimen mereka menyampaikan lagu dalam Bahasa Melayu mulai mendapat perhatian pendengar radio melalui lagu Sua Sue Good Morning. Masa tu, kita dapat mendengar lagu-lagu The Pilgrims di radio utama tempatan. Memang syok gila.

Bagaimanapun ABoi muncul dengan irama yang sama lalu meniti populariti melalui lagu-lagu yang selamba dan bersahaja. Menariknya, tidak seperti The Pilgrims yang terlebih dahulu mencipta nama dalam dunia muzik underground, ABoi pula datangnya entah dari mana, tiba-tiba label sebesar Life Records memperkenalkan band ini ke dalam industri. Kalau kita perhatikan, apa yang dibawa oleh ABoi melalui lagu-lagunya, tidak lari dari konsep band seperti XPDC yang suka meng’rock’kan lagu-lagu rakyat dan lagu-lagu lama. Hanya cuma berbeza genre dan gaya.

Membawakan muzik yang catchy dan sesuai untuk pendengaran telinga masyarakat awam, ABoi dengan mudah mencipta nama meskipun masa itu band-band hard rock dan heavy metal sedang menguasai pasaran. Kebetulan pada waktu tersebut, lagu-lagu dari band seperti Green Day dan The Offspring juga sudah berkumandang di corong radio tempatan, maka muzik seperti ini tidaklah asing untuk diterima dalam arus perdana.

Maka masa itu dapatlah tengok budak-budak dekat rumah bujang memainkan lagu-lagu Can Mali Can, Bujang Lapok dan Enjit-Enjit Semut dengan gitar kapok. Terasa cool jugalah. Bagi penulis, kehadiran ABoi dengan konsep ini sebenarnya memang tepat dengan trend. Kalau masih ingat, album projek kompilasi seperti O’tai Rock dan Metal 60’an memang tengah trend waktu itu kerana menggunakan konsep lagu-lagu rakyat/ lama yang di’hardrock’kan. Budak-budak rock waktu itu memang tengah suka konsep macam ni.

Untuk makluman, Aboi dianggotai oleh OG (vokal/ gitar), Ojan (gitar), Oja (bass) dan Ojai (drum).

Band ini bertahan agak lama meskipun populariti mereka semakin terpadam dari perhatian industri. Kali terakhir mendengar cerita tentang band ini adalah pada tahun 2014. Karya-karya mereka sebenarnya masih segar dan sesuai untuk dilayan sampai ke hari ini.

Tonton rancangan MAMY REACT yang mengupas tentang band ABoi dan salah satu lagu mereka:

Tinggalkan Komen Anda

Anda juga mungkin meminati

Ala... Ada pasang Adblocker Eh?

Support la kitorang dengan benarkan ads di pelayar web korang. Kitorang faham memang sakit mata tengok ads ni. Tapi, kasi chance lah. 😅