Antara Kegilaan dan Harapan – Komentari Sosial Pushpapura Dalam ‘Megalomanusia’

oleh Aniq Ammar Ekhwan
2K bacaan

Selepas hiatus selama enam tahun, Pushpapura telah melancarkan single terbaru Megalomanusia di semua platform strim digital pada 5 Mac 2022.

Sedikit pengenalan, kugiran ini telah ditubuhkan pada tahun 2003 di Dungun, Terengganu dan mula bertapak di Kuala Lumpur sekitar 2005. Pada awal penubuhan, unit ini diberi nama Stubborn Dolls tetapi kemudiannya mereka membuat keputusan untuk mengubah nama kepada Pushpapura. Bermula dengan pengaruh grunge tetapi menjadi lebih bereksperimentasi dengan adanya DNA dari progressive rock, post-rock dan alternative metal. Oh ya, Pushpapura dianggotai oleh empat insan berbakat iaitu Tarmimi Rosli (vokal, gitar, synth, keys), Zamri Rosli (bass & vokal), Syarizwan (drum & vokal) serta Aga (flexible sessionist dan penulis). Menurut Tarmimi dalam sesi temubual penulis bersama beliau:

Nama Pushpapura ni diambil daripada Bahasa Sanskrit di mana Pushpa bermaksud Bunga dan Pura pula bermaksud Kota. Jika digabungkan ayat tu akan jadi kota bunga. Kira itu bermaksud kota tu sebagai pelindung bunga-bunga: “Lindungilah orang yang anda sayang.”

Berbalik kepada single terbaru mereka, Megalomanusia merupakan lagu yang ditulis oleh Tarmimi semasa dunia dilanda wabak pandemik Covid-19, manakala susunan muzik adalah hasil perahan idea Syarizwan dan Aga. Single ini merupakan gabungan dua unsur iaitu Megalomania + Manusia dan kisah di sebalik lagu ini adalah berdasarkan situasi semasa; masyarakat yang hidup dalam keadaan yang tidak pasti, terkesan dari segi mental dan fizikal, kehilangan pekerjaan, hilang mata pencarian, hilang orang yang tersayang dan perpisahan gara-gara wabak Covid-19, ditambah pula dengan para lagak pandai yang gigih menyebarkan berita yang tidak sahih, menakut-nakutkan orang ramai.

Mesej terakhir yang kami cuba sampaikan adalah untuk semua orang bangkit dan jangan mengalah dengan situasi ini, optimis bahawa cahaya masih ada.

Penulis agak tertarik dengan penggunaan ayat Pendeta dalam lirik lagu mereka yang katanya merujuk kepada keyboard warrior di media sosial dan ini merupakan jawapan beliau.

Terma “Pendeta” itu saya gunakan secara sinikal kerana wujud para lagak pandai yang menggunakan (sebagai contoh) platform social media untuk menyebarkan berita palsu, menakutkan dan menekan orang ramai. Lagu Megalomanusia juga boleh dikatakan lagu berkisarkan “cyberbully”, membuli dengan komen yang negatif, (contoh: bodyshaming, harrasment, flamings, trickery dan banyak lagi). Saya percaya ada orang yang terkesan dengan benda-benda ni dan boleh menjurus kepada anxiety, depression even suicide. Jadi lagu Megalomanusia cuba untuk memberi semangat kepada mangsa-mangsa di luar sana, bahawa apa yang berlaku kepada mereka bukanlah sesuatu yang OK, dan kita mampu melawannya.

Megalomanusia merupakan sebuah single yang baik dari segi lirikal dan susunan lagu yang tidak membosankan namun terdapat beberapa perkara yang perlu diberi perhatian. Yang pertama ialah vokal di mana penulis perasan kedengaran sedikit mendatar di beberapa bahagian. Mungkin sama ada penyanyi kurang persediaan sebelum merekodkan vokal, jurutera bunyi tidak melakukan manual tune atau mungkin itu yang mereka inginkan, Raw and Rugged. Kedua, kualiti yang dilaksanakan oleh Penvia Works nampak terburu-buru. Seharusnya single ini boleh dipersembahkan dengan lebih sempurna dan tidak terkejar-kejar di bahagian adunan dan mastering. Walaupun Megalomanusia masih berada di atas par dari sudut kualiti namun jika ada sedikit usaha mungkin lagu ini boleh pergi lebih jauh di masa akan datang.

Penulis juga bertanya apa yang mereka lihat selepas enam tahun hiatus dari kancah muzik tanah air dan ini merupakan jawapan mereka:

Perasaan rindu untuk buat lagu, gig dan merakam lagu sebagai sebuah kugiran tu, amatlah nyata. Tanyalah mana-mana band pun, memang semua akan rasa perasaan “brotherhood” tu. Susah, senang, senyum, tawa, bergaduh sudah menjadi lumrah dalam kisah sebuah kugiran. Tak dapat dinafikan, keserasian itu agak pudar kalau nak dibandingkan kami semasa ber-empat suatu ketika dahulu.

 

Kami juga sedang cuba sedaya-upaya membina kembali momentum sebagai sebuah kugiran. Untuk hari mendatang, kami dalam proses menulis 1-2 lagi lagu baharu dan inshaaAllah kami lebih matang dan tenang untuk material seterusnya.

Harapan mereka pada single ini supaya Megalomanusia boleh menerokai lebih ramai para pendengar baru mahupun yang lama dan jika tiada aral melintang, mereka akan melancarkan EP atau album serta menyertai beberapa showcase/gig di masa akan dating. Buat penganjur gig, Pushpapura is back!

Tahniah buat Pushpapura atas pelancaran single ini. Semoga kalian terus maju dan selamat kembali ke industri muzik tanah air. Jangan mengalah dan pesanan terakhir penulis, jangan jadi “Pendeta.” Adios!

Ikuti Pushpapura di:

Facebook

Instagram

Twitter

Tinggalkan Komen Anda

Anda juga mungkin meminati

Ala... Ada pasang Adblocker Eh?

Support la kitorang dengan benarkan ads di pelayar web korang. Kitorang faham memang sakit mata tengok ads ni. Tapi, kasi chance lah. 😅