Itu Kamu, Dinobatkan Juara Dalam Anugerah Juara Lagu
Apa yang lebih mengejutkan dengan kemenangan Estranged di pentas Anugerah Juara Lagu tahun 2007 lalu? Kejutannya adalah pintu yang sentiasa tertutup rapat selama ini telah terbuka luas. Orang ramai sudah mula memberi perhatian kepada band-band tempatan yang selama ini dipandang sepi. Orang-orang industri sendiri mula membuka mata kepada bakat-bakat yang mereka abaikan selama ini. Kemenangan Estranged melalui lagu Itu Kamu cuba dipertikai, namun ia tidak menolak hakikat bahawa lagu berkenaan memang layak untuk menjadi juara. Benar, ada lagu-lagu lain yang lebih kuat dijangka menggondol anugerah berkenaan, antaranya Ceritera Cinta nyanyian duet Jaclyn Victor dan juga Lah Ahmad, atau lagu Mahakarya Cinta dari Faizal Tahir. Tetapi ternyata pada tahun berkenaan, para juri mahukan satu kelainan, kelainan yang perlu untuk kepentingan industri secara umumnya. Mungkin, di mata juri kemenangan Estranged bukan sekadar menjadi juara di anugerah berkenaan, tetapi ia turut memacu satu revolusi yang penting selepas itu.
Siapakah Estranged? Bagaimana mereka menjadi pencetus revolusi?
Mereka bermula dengan kemasukan Hanafi, seorang gitaris dari aliran grunge bagi menggantikan gitaris asal, Adzrai yang ingin menyambung pengajiannya lalu mereka menyertai pertandingan Yamaha Asian Beat Competition 2001. Mereka masih muda dan berdarah panas. Mereka tidak menuggu lama untuk meriliskan debut album, In Hating Memory sekitar tahun 2004. Sepertimana band-band baru lain, mereka terpaksa bergerak secara underground untuk memperkenalkan nama yang masih asing. Velocity dan Chocolate Syrup menjadi taruhan. Namun kedua buah single ini tidak mampu menembus pasaran muzik urban yang mereka jadikan target. Lagu-lagu rock berbahasa Inggeris yang mereka taruhkan hanya sekadar membawa mereka mengelilingi garis yang terbatas dek kerana kuasa-kuasa besar lain yang lebih mendominasi waktu itu seperti Pop Shuvit, OAG, Dragon Red dan seangkatannya yang sudah sedia mendapat tempat. Nama Estranged masih sangat kecil walaupun muzik mereka sesuai dengan trend semasa. Oh, Rich sang vokalis pernah mencuba nasib dengan sebuah lagi band rock berbahasa melayu bernama Psyklone namun ia tidak mampu bertahan lama.
Jika ditanya apakah muzik Estranged tidak menepati selera? Eh, mustahil. Estranged membawa perisa-perisa kesukaan ramai seperti Incubus, Korn, Red Hot Chilli Peppers, Three Days Grace dan seumpamanya. Di mana ada rock n rollnya, ada funknya, ada heavynya dan ada energetiknya. Selera anak awal 2000’an, begitulah. Velocity adalah contoh terbaik, pekat aura nu metal yang boleh membuatkan pendengar membikin riot. Tetapi apabila bercakap soal rezeki, siapa boleh menolak. Belum rezeki buat Estranged menjadi rockstar, sehinggalah Rich membuat keputusan menyertai pertandingan realiti tv Akademi Fantasia pada tahun 2006. Kemunculan Rich di kaca TV sewaktu Konsert Prelude Akademi Fantasia dengan mendendangkan lagu I’ll Be yang pernah dipopularkan oleh penyanyi Amerika, Edwin McCain benar-benar menarik perhatian penonton dan juri. Rich dimasukkan dalam senarai peserta Akademi Fantasia, malahan Hazama yang semua orang kenali pada hari ini pun gagal menempatkan diri pada tahun berkenaan sehingga menerima rungutan dari ramai orang.
Sayangnya, Rich tidak bertahan lama di dalam pertandingan berkenaan apabila dia tersingkir awal. Tetapi rezekinya datang kemudian. Dengan bantuan produksi Astro, Rich membawa Estranged menjadi wajah baru di dalam industri ini dengan single Melayu mereka yang pertama di arus perdana iaitu Itu Kamu. Sebuah lagu berentak pop rock komersial yang menjadi serang balas ke atas karya-karya Indonesia yang terlalu diagung-agungkan selama beberapa tahun ini. Tahun 2007, merupakan tahun kejatuhan band-band Indonesia bukan saja di Indonesia sendiri, malah turut memberi kesan kepada legasi mereka di Malaysia. Dalam keadaan yang rapuh itu, sudah tiba masanya anak-anak tempatan merobohkan terus tugu yang selama ini menjadi lambang jajahan seberang. Kemuncak proses perobohan ini adalah malam Anugerah Juara Lagu 2007 yang mana tiga band tempatan dengan megah beraksi mempersembahkan karya masing-masing. Estanged dengan Itu Kamu, Jinbara dengan Farhana Puteri Bumi Kenyalang dan juga Sofaz dengan Janjiku. Berbeza dengan Sofaz dan Jinbara, status Estranged sebagai band yang asalnya adalah dari dunia underground menjadi titik tolak kepada band-band lain dari dunia berkenaan mencuba nasib di atas dunia sebenar.
Apabila bercakap mengenai Estranged, jujur bagi penulis, album kedua mereka, Remain Unknown merupakan salah sebuah album rock terbaik yang dihasilkan pada dekad 2000’an. Album yang kuat dan teguh. Muziknya segar dan agresif. Barangkali anak-anak muda yang mengenali Estranged dengan lagu Hancur Aku akan menggarukan kepala mendengar pujian penulis. Dapatkan dahulu album Remain Unknown, khatamkan lalu jawab soalan penulis. Band tempatan mana lagi yang menghasilkan konsep modern hard rock sebaik ini? Single pertama mereka dari album ini, Yang Pernah saja sudah cukup mengujakan. Daripada sebuah lagu catchy seperti Itu Kamu yang dilihat mesra gadis-gadis, tiba-tida Estranged meletup dengan lagu Yang Pernah, sebuah lagu modern hard rock yang agresif dan energetik. Malah sampai ke pentas akhir Anugerah Juara Lagu 2008 pula tu. Dengarkan muzik mereka yang bagus seperti lagu Aurora, This World, We Remain Unknown, Masa, dan kesemua lagu-lagu dari album Remain Unknown ini. Memang gempak.
Sebelum apa yang kita panggil sebagai gelombang independent pada tahun 2007, kita cuba telusuri apa yang ada dalam scene alternative kita pada awal 2000 dahulu? Bermula era millennium, banyak sebenarnya band rock yang muncul dengan pelbagai konsep dan subgenre tanpa segan silu menawarkan pembaharuan tanpa memerlukan label mainstream atau underground sebagai kiblat. Sebahagian besar peminat yang obses dengan label underground bersama sub-budaya yang ada telah bertindak menyingkirkan banyak band-band alternative rock dari arus perdana sehingga majoriti band-band tersebut terkubur begitu saja. Barangkali ramai yang tidak mengenali nama-nama seperti Fish, Frequency, Dr. Kronik, Baji, The Muffins, Ubie, V5, Tribe, &drians Band, Seven Words, Hard Jam, Arjuna dan berlambak lagi band-band yang muncul. Tapi hanya dengan satu album saja, lalu band-band ini terus hilang bagai angin yang lalu. Barangkali kerana mereka tidak menempel nama mereka kepada label independent, underground atau seumpamanya. Atau tidak mengamalkan trend waktu itu seperti menyanyikan lagu menggunakan Bahasa Inggeris lalu menyebabkan peminat underground tidak mempedulikan mereka. Di mainstream, persaingan pula sangat sengit dan tak hairan ramai yang kecundang awal. Apa yang anda harapkan dengan dunia mainstream?
Berbeza pula dengan band-band yang ditempelkan dengan pelekat ‘underground’ serta menyanyikan lagu dalam Bahasa Inggeris pula, mereka berpeluang untuk bertahan lebih lama kerana mampu hidup dengan sokongan peminat. Juga kerana mereka adalah band bebas dengan menjadikan muzik sebagai aktiviti part time berbanding band-band yang disebutkan tadi, mereka menjadikan muzik sebagai kerjaya yang mana memakan risiko yang lebih besar. Yang mana apabila melihat sambutan yang tidak menjanjikan, mereka terpaksa berfikir dua tiga kali. Kenyataan ini cuba menepis komen pukul rata yang sering menempelak artis-artis rock mainstream yang kononnya tidak berani mencuba sesuatu yang baru sebaliknya hanya tunduk dengan kemahuan syarikat rakaman. Percubaan mereka sebenarnya lebih berisiko kerana memakan modal yang besar. Maka kelebihan untuk bertahan kita dapat lihat ada pada band-band alternative dalam gerakan independent.
Butterfingers boleh dianggap sebagai dewa waktu itu. Mana-mana orang yang mengaku underground, adalah mustahil tidak mengenali nama ini. Kemudian kita melihat dua buah band yang popular dalam scene alternative iaitu OAG dan Flop Poppy menukar lirik mereka kepada Bahasa Melayu dan meletup di arus perdana. Namun ia masih tidak kuat mempengaruhi band-band alternative rock lain mencuba kepada Bahasa Melayu, barangkali kerana sudah selesa dengan Bahasa Inggeris yang dilihat lebih rugged bagi mereka. Malah tidak kurang yang dengan sinis menyatakan menggunakan Bahasa Melayu akan membuatkan mereka kedengaran seperti band-band pop rock Melayu ala-ala New Boyz, Spin dan Q-Face. Maka penggunaan Bahasa Inggeris dilihat cool.
Bagaimanapun secara personal, penulis menyanggah pendapat yang dilihat meremehkan Bahasa Melayu ini. Buktinya OAG dan Flop Poppy telah melakukannya dengan baik. Malah kedatangan band-band dari Indonesia pada masa itu dengan penggunaan Bahasa Melayu telah menempelak hujah golongan yang pro kepada muzik berbahasa Inggeris. Malah di era gelombang indie 2007, Hujan dan Meet Uncle Hussein telah menunjukkan contoh terbaik penggunaan Bahasa Melayu dengan muzik moden tanpa dilihat cacat dan ketinggalan. Ini kerana penentu muzik yang bagus bukanlah Bahasa, sebaliknya muzik yang bagus tetaplah muzik yang bagus. Ada saja band-band alternative yang menggunakan Bahasa Inggeris tetapi muziknya lebih teruk dari band-band mainstream yang mereka kutuk.