Atas Angin Festival 2023: 4 pentas, 75 artis, Satu Hari yang Penuh Bersejarah

oleh Hamizan Hamsan
1.3K bacaan

Kredit: Atas Angin

Pertama kali melihat poster dari pihak penganjur, dua perkataan yang terlintas di kepala – kerja gila! Jika diamati dengan cermat, Atas Angin seboleh-bolehnya ingin memenuhi kehendak selera segenap peminat muzik tempatan dan juga ingin memberi ruang yang luas untuk sebanyak mungkin band beraksi pada satu acara. Menciptakan situasi menang-menang untuk semua.

Namun, seberat-berat perkara di dalam dunia adalah cabaran nak kejut “kutu muzik” bangun pagi untuk pergi konsert yang bermula jam 9:00 pagi! Ya, Atas Angin Festival ini terkenal dengan jolokan konsert senamrobik sejak tahun sebelumnya.

Tanpa berlengah, pentas-pentas acara dibuka tepat jam 9:00 pagi. Memetik kata-kata di posting Gerhana Ska Cinta, “Tak bermakna kalau senior mesti perform slot malam, kita semua main muzik untuk kegembiraan.” Maaf, kutu muzik yang menulis ni tak sempat melayan band-band terawal waktu pagi kerana kekangan kehidupan. Terlepas beberapa band yang memang dalam senarai-nak-tengok seperti Tilu, Teman Lelaki, Empty Page dan Mafidz. Mungkin rezeki di tempat lain nanti.

Sememangnya beberapa nama besar disusun untuk beraksi pada waktu tengahari tatkala matahari tepat di atas kepala. Sepanas mentari band-band seperti Loko, Grey Sky Morning, Margasatwa, The Times, Gerhana Ska Cinta dan beberapa band yang lain cemerlang menyampaikan lagu-lagu kegemaran menghiburkan peminat setia yang tak berganjak walau cuaca panas membahang di tingkat 7 aras bumbung MyTown Shopping Center, Cheras.

Plague of Happiness. Kredit: Atas Angin

Kehangatan acara diteruskan dengan slot-slot bahagian petang. Budak Nakal Hujung Simpang dan Plague of Happiness terus-menerus beraksi tanpa perlu ragu lagi keupayaan mereka mengawal pentas sambil berinteraksi bersama hadirin di pentas Sound Loud. Pentas ini boleh dikatakan adalah pentas utama namun kualiti bunyi yang keluar agak mengecewakan.

Undercover Dream Club.

Undercover Dream Club, sebuah band yang menjadi sebutan di mana vokalis dan gitaris band ini pernah menganggotai band tersohor negara Bittersweet, Hafizan dan Herri. Beberapa lagu baharu dimainkan dan sebuah lagu lama, Hilang juga dipersembahkan untuk menghilangkan rasa rindu peminat dengan Bittersweet. Hafizan juga turut mengumumkan berita gembira yang Bittersweet sedang merancang untuk mengadakan persembahan perpisahan tidak lama lagi.

Armpunk Sindiket. Kredit: Atas Angin

Beralih ke pentas Burn Tau!, kualiti bunyi di sini lebih memuaskan berbanding Sound Loud tadi. Hujan mula turun ketika Armpunk Sindiket beraksi namun kaki mosh tidak peduli dengan air hujan yang umpama rahmat menyejukkan badan tatkala cuaca panas berdesing sebelumnya. Showmanship Armpunk Sindiket bukan calang-calang juga ya. Band yang perlu diberi perhatian untuk masa mendatang.

Kembali ke pentas Sound Loud, slot terakhir petang itu diisi oleh Orkes A. Hizadin yang tidak asing dengan lagu-lagu patah hati mereka. Kesemua pentas berehat pada waktu maghrib memberi ruang untuk waktu solat.

Nastia. Kredit: Atas Angin

Slot malam agak kritikal. Hadirin harus membelah badan untuk memilih pentas mana yang hendak ditonton. Band-band seperti A.C.A.B, Couple, Ramayan, Restraint, Johnny Comes Lately, Skudap Skudip pastinya membuat hadirin tak keruan pentas mana yang hendak dipilih. Tidak lupa juga, persembahan Nastia amat baik pada malam itu di pentas Indie Nasional. Kualiti bunyi daripada air tangan AG Coco dan Rudy boleh dijadikan tanda aras untuk sesebuah persembahan live. Berbalik kepada Restraint, belum pernah terjadi kru pentas pun turut moshing dan two-step bersama. Havoc!

Masdo. Kredit: Atas Angin

Sepanjang perjalanan acara dari siang, pentas Sound Loud seakan mengalami gangguan demi gangguan. Tetapi tidak pada slot Masdo. Mungkin soundman Masdo ada ramuan rahsia yang perlu dititik beratkan oleh yang lain.

Oh Chentaku. Kredit: Atas Angin

Bila saja band penutup malam itu, Oh Chentaku (OCK) mengambil pentas daripada Masdo, masalah teknikal bunyi-bunyian kembali terjadi. Malah ketika lagu pembukaan OCK, mikrofon tak berfungsi separuh pertama lagu! Di pentas Burn Tau!, aksi penutup daripada Massacre Conspiracy tidak perlu dipertikaikan lagi malah boleh dikatakan encore untuk keseluruhan Atas Angin Festival 2023.

Pentas Kongsi Suara. Kredit: Atas Angin.

Di sebalik kebingitan tiga pentas utama, ada satu pentas lagi untuk para DJ silih berganti dari siang hingga ke malam menghiburkan dengan lagu-lagu remix. Segala macam lagu berdendang, lagu hindustan pun ada!

Pujian harus diberikan kepada penganjur Atas Angin di mana slot masa pentas amat dijaga dengan teliti. Tiada yang terlajak lagu dan masa. Tempat acara pun amat baik, mudah untuk datang dan berlindung ketika hujan atau pun panas.

Sekalung budi penghargaan buat Atas Angin dan seluruh kru, juga buat pembeli tiket sekalian yang percaya dan mengangkat seni bunyi tempatan ke aras yang lebih tinggi kali ini, atas angin!

Jumpa lagi.

Tinggalkan Komen Anda

Anda juga mungkin meminati

Ala... Ada pasang Adblocker Eh?

Support la kitorang dengan benarkan ads di pelayar web korang. Kitorang faham memang sakit mata tengok ads ni. Tapi, kasi chance lah. 😅