Aus Et Al. Lancar Single “Kau Okay?”: Seru Pendengar Jadi ‘Bulan’ untuk Mereka yang Memerlukan

oleh Music Addicts Malaysia
0 komen 271 bacaan

Kumpulan Alternatif Pop dari Kuala Lumpur, Aus et al., hari ini mengumumkan pelancaran single terbaharu mereka yang sarat emosi, “Kau Okay?”. Lagu ini menandakan peralihan ketara dalam nada muzik mereka berbanding dua single terdahulu, “Hey Sudahlah!” dan “Doa Jumaatku”, kini mempamerkan sisi karya yang lebih introspektif dan serius.

Latar Belakang “Kau Okay?”

“Kau Okay?” lahir dari pengalaman peribadi vokalis dan gitaris, Aus, yang melihat secara dekat penderitaan seorang rakan akibat hubungan yang mencabar mental dan fizikal.

“Lagu ini ditulis pada 12:15 tengah hari, 5 Mei 2021. Ia adalah transkripsi perbualan aku dengan seorang rakan yang melalui krisis dengan pasangan yang toksik. Setiap kali aku bertanya, ‘kau okay?’, dia akan tersenyum dan menjawab ‘aku okay je’, tapi dari matanya tiada cahaya dan suaranya tiada warna. Jawapan ‘aku okay je’ itu berbunyi seperti rayuan, ‘Tolong aku. Aku dah penat.’ Lagu ini disusun mengikut urutan perbualan kami, diakhiri dengan persoalan peribadi aku—sama ada dia akan kekal ada esok hari,” jelas Aus.

Misi dan Harapan: Menjadi Ruang Bersandar

Aus et al. berharap lagu ini dapat menyalurkan mesej penting kepada pendengar:

“Kami berharap setiap pendengar akan terdorong untuk memeriksa keadaan ahli keluarga, rakan-rakan, atau sesiapa sahaja di sekeliling mereka, walaupun orang itu kelihatan baik-baik sahaja di mata kasar. Cukuplah dengan bertanya, ‘kau okay?’. Jika mereka mula bercerita, tolong dengar. Jadikan telinga dan bahu kita ruang luas untuk mereka bersandar. Dan kepada sesiapa yang menyimpan beban cerita, carilah ‘telinga’ yang sanggup mendengar. Kita semua patut ada untuk satu sama lain.”

Inspirasi Seni Kulit: Simbolisme ‘Bulan’

Seni kulit (artwork) untuk single ini memaparkan imej bulan, yang diambil oleh pemain dram, Ali. Pemilihan bulan adalah satu simbolisme yang mendalam bagi Aus.

“Aku selalu dengar cerita tentang orang yang berdepan masalah suka ‘bercakap’ dengan bulan. Mereka memandang langit dan meluahkan apa yang tidak mampu diceritakan kepada orang lain. Dengan simbolik ini, aku harap kitorang (Aus et al.) dan semua pendengar menjadi seperti bulan; sentiasa ada di sana, sedia menjadi telinga, bahu, atau sekadar tempat bersandar,” tambah Aus.

Tinggalkan Komen Anda

Anda juga mungkin meminati

Ala... Ada pasang Adblocker Eh?

Support la kitorang dengan benarkan ads di pelayar web korang. Kitorang faham memang sakit mata tengok ads ni. Tapi, kasi chance lah. 😅