Sentuhan Magis Pagi Yang Gelap
Penulis masih ingat lagi pada tahun 2007 dahulu, bagaimana reaksi bila pertama kali mendengar lagu Pagi Yang Gelap berkumandang di stesen radio popular, Era.fm. Waktu itu semasa berada di dalam kereta sedang berjalan-jalan di kampung dan memang kebiasaan akan memasang radio Era.fm. Maklumlah radio nombor 1 Malaysia pada masa itu, stesen radio Hot.fm pula masih lagi setahun jagung. Jadi apabila mendengar lagu Pagi Yang Gelap dari band Hujan dimainkan, perasaan teruja itu timbul sedikit kerana bukan mudah sebenarnya untuk sebuah lagu dari sebuah band baru untuk tembus ke dalam radio Era.fm.
Jujurnya, pada masa itu memang tidak mengenali pun siapa bniand Hujan . Meskipun adalah beberapa kali mendengar nama Hujan di sebut-sebut orang, namun masih belum berpeluang untuk mendengar sendiri lagu-lagu mereka.
Apa yang bermain di fikiran pada masa itu adalah, lagu Pagi Yang Gelap takkan pergi ke mana. Lagu tu memang best. Tapi ia satu lagi percubaan yang akan gagal. Jujur! Itulah yang bermain saat mendengar lagu tersebut pada pertama kalinya. Jangan salah faham, penulis berpandangan negatif bukan kerana muzik Hujan yang teruk, atau penulis tidak suka dengan lagu tersebut. Memang suka, sudah tentulah ia sedap. Kerana sentiasa akan rasa teruja apabila mendengar ada lagu alternative rock yang moden dan fresh disampaikan dalam Bahasa Melayu, apatah lagi bermain di radio utama negara.
Tetapi dalam masa yang sama kita kena juga cuba menjadi realistik. Kerana muzik yang Hujan persembahkan langsung tidak kena dengan trend lagu-lagu popular pada masa itu. Muzik Hujan sama seperti band-band alternative rock lain yang bagi penulis terlalu advance untuk pasaran mainstream. Lagu Pagi Yang Gelap tidak akan berjaya di radio. Hujan bukanlah band pertama yang cuba membawa perubahan citarasa muzik di dalam radio local tetapi kita dah mendengar banyak lagu-lagu hebat yang mencuba nasib di radio namun terkubur begitu saja tanpa dihargai usaha mereka.
Antara lagu dari band-band local yang pernah mencuba membawa perubahan dalam radio popular adalah Angkasa dari band The A.c.a.b, Manifesto dari band BAU, Pesona Algebra dari band The Times, Salahkah Ku dari band The Muffins, Janjiku dari band Hard Jam, Selamat Siang dari band Seven Signs, Berdiri dari band Indrani, Kamu dari band Nitrus, Siaran Tergendala dari band O2 (kini dikenali sebagai OTwo), dan banyak lagi band-band lain yang cuba memperkenalkan muzik yang moden dan fresh kepada pendengar, namun nasib yang menimpa mereka hampir sama. Gagal, gagal dan gagal.
Mereka hanya dapat menarik minat segelintir kecil saja pendengar, maka sebahagiannya masuk ke dalam scene underground dan sebahagian lagi band yang lain akan berpecah lalu bubar. Era 2000’s, itulah nasib band-band kita. Jadi penulis sangat yakin, Hujan akan mengalami nasib yang sama, iaitu kekal di underground.
Mendengar lagu Pagi Yang Gelap, sebuah single yang diambil dari EP pertama mereka, 1,2,3 Go membuatkan penulis berfikir yang lagu ini sangat pekat dengan pengaruh The Strokes. Untuk makluman, The Strokes memang merupakan band popular di US sewaktu debut album mereka, This Is It dahulu tetapi pengaruh muzik garage rock dari The Strokes tidak begitu kukuh di Malaysia. Jika kita imbas kembali pada era berkenaan, peminat muzik rock di Malaysia lebih banyak terdedah kepada band-band seperti Linkin Park, Muse, Green Day, Slipknot, Blink 182 dan seangkatannya. Malah band underground pun tidak dikenali dengan bunyi garage rock ala The Strokes.
Kerana itu menurut penulis, muzik moden rock bawaan band dari Indonesia lebih mudah menangkap jiwa orang Malaysia sehingga Dewa 19, Peterpan, GIGI, Radja dan Nidji sangat kukuh tidak tergugat. Jadi penulis fikir, lagu berbahasa Melayu bernada The Strokes sepertinya sangat rapuh dalam arus perdana.
Namun, apakah kelebihan Hujan sehingga berjaya?
Pertama adalah guitar work untuk lagu ini. Petikan kod jazz dan blues yang kental dan melekat. Termasuk solo dari AG Coco yang mengagumkan. Bukan apa, kita maklum band-band underground tidak menjadikan solo gitar sebagai tradisi malahan sebahagian mereka memperlekehkan budaya gitar solo sebagai ketinggalan zaman, hanya kerana sentimen benci mereka kepada pemuzik-pemuzik rock mainstream. Kerana itu kita sangat jarang dapat mendengar band-band rock dari underground mahu bermain solo gitar, kecuali beberapa band yang bagus seperti Disagree dan Deja Voodoo Spells yang masih obses dengan solo gitar pada lagu-lagu mereka.
Jadi, kredit harus diberikan kepada AG Coco kerana masih mengekalkan tradisi solo gitar tanpa menunjukkan bahawa menjadi guitar hero bukan bererti akan ketinggalan zaman. Tom Morello yang dipuja ramai itu pun masih menyolo sampai ke hari ini. Apakah dosa bermain gitar solo? Cuma bila menyentuh part vokal, penulis tidak pasti adakah suara seperti Noh akan diterima ramai?
Dan siapa sangka? Sangkaan penulis meleset sama sekali. Lagu Pagi Yang Gelap menjadi hits. Nama Hujan meletup-letup. Noh menjadi rockstar. AG Coco diangkat sebagai gitaris pelapis. Dan bukan setakat itu saja, Hujan telah menjadi satu revolusi kepada industri muzik secara keseluruhannya. Dan hari ini, Hujan sudah menjadi legenda. Pemangkin kepada satu gelombang yang tidak pernah disangka-sangka akan membadai seluruh industri muzik local.
Dan kita kena akui, sejak kemunculan Hujan pada 2007-2008 dahulu, industri muzik kita sudah tidak sama lagi sampai bila-bila. Kerana itulah kita memanggilnya sebagai revolusi. Malah Pagi Yang Gelap hanyalah satu permulaan sebelum lambakan masterpiece Hujan yang beratur menunggu giliran untuk keluar selepas itu, Bila Aku Sudah Tiada, Aku Skandal, DugaanNya, dan Mencari Konlusi. Belum dikira lagu-lagu hits dari setiap album mereka yang sentiasa berjaya menawan hati peminat.
Memang akan ada yang mempertikaikan tulisan yang memuji Hujan melambung-lambung seperti ini. Hujan adalah sebuah band yang sangat popular, pengaruhnya sangat besar dan muzik Hujan bertebaran di mana-mana saja dalam Malaysia. Sudah tentu Hujan ada pentaksubnya dan ada juga yang membencinya. Dengan muzik Hujan, karakter Noh sendiri, dan sikap berlebihan para peminat Hujan, tidak menghairankan jika mereka memiliki haters yang tegar membenci mereka.
Lumrah rockstar, Amy Search, Awie Wings, Man Kidal, Radhi OAG, Loque, siapa saja yang tidak dibenci oleh haters mereka? Haters memang ada sebab membenci mereka, tetapi kita juga ada sebab memuji mereka. Seperti Hujan, dengan apa yang dah mereka buat sepanjang lebih 10 tahun pembabitan mereka di dalam scene muzik rock local, siapa lagi band yang dah buat apa yang Hujan lakukan selama ini?
Hujan Menetapkan Trend
Satu perkara lagi yang membuatkan Hujan ni adalah band yang istimewa kerana mereka tidak mengikut arus. Jika di zaman rock kapak, kita ada Search dan Wings, pada era moden ini, kita ada Hujan dan Meet Uncle Hussein. Tahukah anda, Hujan dan Meet Uncle Hussein ini memang bermula dari bawah. Dalam scene underground sendiri, Hujan dan Meet Uncle Hussein bukanlah band yang dikenali kerana apa yang mereka bawa bukanlah trend terkini dalam scene. Mereka membawakan genre yang tidak popular, malahan membawanya dalam Bahasa Melayu pula.
Waktu itu, membawakan lagu dalam Bahasa Melayu bukanlah sesuatu yang diterima oleh pengikut muzik underground. Tetapi dalam masa yang sama, penulis tak menafikan mereka tetap memiliki pengikut sendiri yang mana sentiasa datang menyokong setiap gig yang mereka sertai. Dan tiba-tiba mereka meletup. Meet Uncle Hussein melalui siri TV Kami di 8TV, manakala Hujan menyusul dalam masa yang sama melalui lagu Pagi Yang Gelap mereka dan siapa sangka, kedua mereka menjadi gergasi dalam masa yang singkat.
Mereka mendominasi scene muzik mainstream dan underground dengan jayanya sehinggalah menjadi pembuka pintu kepada puluhan band underground lain menerjah benteng yang menghalang mereka selama ini untuk mencipta nama di arus perdana.
Bagaimana Hujan mencipta trend baru?
Hujan menampilkan imej yang baru tetapi dalam masa yang sama lebih kemas bagi kebanyakan pemuzik band local yang lain. Dengan gaya rambut Noh yang ala-ala band The Beatles dan Ramones, kemudian gaya rambut AG Coco yang mengikut gaya rambut band dari Indonesia, The Changcuters membuatkan Hujan sentiasa kelihatan segar dan stylo. Pakaian Hujan yang lebih kemas dan terkini membuatkan pandangan orang awam terhadap band-band rock ini menjadi lebih positif. Tidaklah orang kata pemuzik rock ni selekeh dan serabai tidak pandai berfesyen seperti band-band rock antarabangsa yang sentiasa up to date dengan penampilan mereka.
Dan memang benar pun, muzik yang bagus mestilah seiring dengan penampilan yang menarik. Contoh terbaik adalah band legenda, Search yang sentiasa mementingkan penampilan diri mereka, tambah-tambah lagi mereka masih baru mengeluarkan album Gothik Malam Edan. Seperti itulah band-band popular dari luar, tidak kiralah My Chemical Romance ke, Paramore ke, Metallica ke, hatta band seberang seperti Dewa 19, Nidji mahupun The Changcutters pun masing-masing ada imej tersendiri. Sehingga ke hari ini, Hujan sentiasa memiliki imej yang menjadi ikutan peminat-peminat mereka.
Tanyakan kebanyakan band-band baru pada hari ini, bagaimana Hujan menjadi inspirasi kepada mereka? “Aku sampai hari ini, masih kagum dengan apa yang Hujan bawa.” Ujar Andy Flop Poppy sewaktu ditanya oleh Ad Samad.