‘Bangsa Merdeka’ Satukan 4 Genre Dalam 1 Lagu – Temubual Bersama Akid (Silent Set Entertainment)

Balada, Hip Hop, Hardcore dan Oi! Bergabung!

oleh Mohd Aqil Aiman
3.2K bacaan

Bangsa Merdeka memberi makna dan erti yang amat mendalam jika kita selami dengan hati terbuka. Sempena bulan kemerdekaan dan Hari Malaysia tahun ini, penulis amat berbesar hati untuk menghebahkan sebuah lagu baharu terbitan Silent Set Entertainment yang bakal menyemarakkan lagi semangat cintakan negara setiap rakyat di bumi Malaysia.

Yaph, AzamRhadio dan EmmJay merupakan nama-nama yang tidak perlu penulis perkenalkan lagi. Hal ini kerana, mereka telahpun menemui “lubang kenikmatan” ketika berkarya, lebih-lebih lagi apabila ia berunsur kenegaraan dan penyatuan.

Imbas kembali pada tahun 2019 pada tanggal 16 September, trio ini telah bergabung bersama Kmy Kmo di dalam lagu Tanah Merdeka yang berteraskan perjuangan nenek moyang kita sewaktu pemerintahan British dahulu. Pada 16 September 2021, mereka kembali lagi dengan lagu baharu yang berunsur kenegaraan berjudul Bangsa Merdeka cuma kali ini diperkasakan dengan tiga artis jemputan lain daripada genre berbeza iaitu Balada, Hardcore dan Oi!.

Dengan kehadiran Toteng (ConflictCrisis) dan Ein (Second Combat), ia ternyata merancakkan dan “menghidupkan” lagi lagu yang diusulkan oleh AzamRhadio kepada pihak SilentSet Entertainment ini. Muzik Asal dikompos oleh Bobo daripada Kumpulan Kill My Bride dan YAPH secara khusus. TRIVIA: AzamRhadio dan Toteng adalah personaliti yang sama.

“Tidak ada yang mustahil. Itulah ungkapan yang sering bermain di fikiran tatkala melakukan projek ini. Jarang kita dapat dengarkan empat genre dalam satu lagu membuatkan Bangsa Merdeka mempunyai keistimewaannya yang tersendiri.” – SilentSet Entertainment

Ramai juga pemuzik yang boleh kita lihat bekerjasama menjayakan Bangsa Merdeka termasuklah Odie dari Upon Arrival, Peakay Farhan dari Stubborn Band dan Christopher Muhammad Yusof dari Groundrule. Bangsa Merdeka telahpun membuktikan bahawa muzik adalah universal dan naskah ini adalah salah satu contoh dan bukti penyatuan dapat dibina melalui muzik. Kepelbagaian genre dalam Bangsa Merdeka menjadi simbolik kepada kepelbagaian bangsa di Malaysia. Ini juga sekaligus menguatkan lagi harapan mereka untuk melihat pucuk kempimpinan negara bersatu demi memajukan negara sekaligus berhenti dari bertelagah tentang hal yang remeh.

“Sedangkan kami pengamal muzik yang berlainan pendapat dan ideologi mampu bersatu di dalam satu lagu bertema kenegaraan, kami yakin dan pasti pucuk kepimpinan negara tanpa mengira parti, agama dan bangsa mampu melakukan sesuatu dan berhenti memainkan isu perkauman di negara kita kerana Bangsa Malaysia, Bangsa yang merdeka.” – Akid (Silent Set Entertainment)

Seawal puisi yang dibaca oleh AzamRhadio seterusnya disambung dengan suara Emmjay telah memberi goosebump kepada penulis. Usaha mereka untuk menambah variasi dengan menjemput artis-artis daripada genre lain juga adalah sesuatu yang unik dan wajar dipuji. Pelbagai soalan timbul dalam fikiran penulis menyebabkan penulis mengambil keputusan untuk menghubungi Zulakid Aizat selaku Penerbit Eksekutif SilentSet Entertainment berkaitan Bangsa Merdeka. Walaupun nampak sempoi, beliau mempunyai ketegasan dalam menjawab dan melontar sudut pandangannya. Ikuti sesi eksklusif ini di bawah :


MAMY : Silent Set Entertainment telah mengeluarkan beberapa projek bertemakan kenegaraan dan nusantara. Apakah akan ada lagi projek-projek sebegini selepas ini dengan skala lebih besar?

AKID : Sudah pasti ada. Semuanya hanya tunggu waktu yang sesuai untuk dilepaskan dan ada yang masih menunggu masa untuk proses rakaman muzik video.

MAMY : Bercerita soal “Bangsa Merdeka” sudah pasti membawa erti yang agak mendalam. Boleh kami tahu makna di sebalik lagu ini? Melihat dari video muziknya, ia bukan lagu patriotik biasa kerana ada juga unsur-unsur politik yang diselitkan.

AKID : Bagi saya secara peribadi, teguran kepada ahli politik harus dilakukan kerana mereka adalah muka hadapan seluruh rakyat dan negara Malaysia itu sendiri. Di samping itu, mereka juga adalah penerima mandat dari rakyat jelata selain raja yang memerintah. meluahkan sesuatu pekara bukan bermakna kita menentang dan benci akan sesuatu pekara itu 100%, ianya lebih mencintakan sesuatu yang dikatakan agar menjadi lebih baik. Jika luahan atau teguran dianggap satu pekara yang negatif maka laranglah cikgu untuk memberi nasihat dan laranglah ibu bapa daripada menegur anaknya yang melakukan kemungkaran.

Penyampaian “Bangsa Merdeka” lebih kepada simboliknya kesatuan rakyat pelbagai bangsa di Malaysia. Jika sukan boleh menyatukan rakyat Malaysia, kami yakin dan percaya rakyat Malaysia juga boleh bersatu melalui lagu.

MAMY : Berapa lama masa yang diambil untuk menjayakan projek ini memandangkan kekangan dari segi logistik semua artis yang terlibat kerana PKP?

AKID : Projek ini telah bemula sejak Jun 2020 lagi. Akibat dari keterbatasan pergerakkan, akhirnya Alhamdulillah projek ini siap pada tahun ini.

MAMY : Dari manakah datangnya idea untuk menggabungkan empat genre dalam satu lagu dan bagaimana setiap artis memberi input dari segi sudut pandang dan ideologi masing-masing yang mungkin berbeza?

AKID : Idea asal datangnya dari AzamRhadio yang ingin cuba mengabungkan Hip Hop dan muzik alternatif lain. Bagi input artis yang terlibat, masing-masing membawa idea sendiri dan diterjemahkan ke dalam lagu. Bagi projek ini kami memberi kebebasan dalam berkarya berpandukan tema yang diberikan.


Secara jujurnya, variasi yang dibawa kesemua artis yang terlibat amat memuaskan hati dan telinga penulis. Semangat yang ditonjolkan di dalam Bangsa Merdeka sememangnya harus dipandang tinggi. Semoga muzik terus bersatu dan menyatukan, seiring dengan motto Music Addicts Malaysia sendiri; Muzik Tanpa Prejudis!

Ikuti SilentSet Entertainment:

Instagram
YouTube

Tinggalkan Komen Anda

Anda juga mungkin meminati

Ala... Ada pasang Adblocker Eh?

Support la kitorang dengan benarkan ads di pelayar web korang. Kitorang faham memang sakit mata tengok ads ni. Tapi, kasi chance lah. 😅