Batika Luncur Album ‘We Are Batika’ – Imbau Era Letusan Muzik Alternatif 2008

oleh Aniq Ammar Ekhwan
1.2K bacaan

Batika

Untuk ulasan kali ini, penulis membawakan sebuah kugiran Alternative Rock, Batika yang baru sahaja melancarkan album pertama mereka pada 14 November 2022 di semua platform strim digital. Sebelum ini, mereka pernah mengeluarkan beberapa single dan akhirnya album ini hadir bertujuan untuk membuktikan rasa minat mereka yang mendalam terhadap dunia muzik tanah air dan berkongsi rasa kepada dunia. Batika dianggotai oleh Am (Vokal dan Gitar), Vick (Gitar Utama), Jay (Bass) dan Affan (Dram).

Album yang mengandungi tujuh buah lagu yang telah ditulis dan digubah oleh Batika sendiri manakala proses adunan dan mastering digalas oleh Syahir Miswan. Proses rakaman album ini turut dibantu oleh ahli kumpulan Fuze dan proses produksi telah dimulakan pada tahun 2019 sehingga tahun 2022. Keunikan pada album ini adalah senarai lagu yang mempunyai kesinambungan cerita lengkap tentang kebebasan bersuara, kehidupan jatuh bangun, perpisahan serta rasa cinta antara dua insan. 

Tanpa melengahkan masa, mari kita mendalami cerita di sebalik semua lagu dalam album ini dan apa yang ingin disampaikan oleh Batika.

Teruskan Menari

Trek pembuka yang baik. Rasa seperti dibawa ke zaman 2008 di mana kugiran Hujan, Meet Uncle Hussein dan Grey Sky Morning mendapat tempat di hati peminat ketika itu. Permainan instrumen mereka boleh dikatakan baik dan sekata. 

Bulan Dipagari Bintang (menampilkan Zaf Mirza)

Melihat pada tajuknya, mengingatkan penulis kepada lagu P. Ramlee. Bila mendengar, ternyata berbeza sekali. Secara peribadi, penulis menggemari trek ini kerana elemen moden dan klasik digabungkan menjadi satu entiti yang menyerlah. Gitar solo dalam trek ini mengingatkan penulis kepada AG Coco dan juga ada sedikit elemen city pop

Menjauh (Menampilkan Anis Syazwani)

Untuk trek ketiga, penulis merasakan mereka seperti cuba untuk menjadi sebuah band yang ada identiti sendiri walaupun penulis merasakan DNA Hujan telah banyak disuntik. Akan tetapi, tidak mengapa kerana kehadiran Anis Syazwani telah menjadikan trek ini lebih solid dan berketerapilan

Kita

Untuk trek ini, penulis menyukai elemen pop balada yang mereka cuba bawakan bukan sahaja kerana susunan lagu malah  kekuatan vokal dan solo gitar yang mellow membuatkan penulis terbang melayang dan menawan hati penulis. Kudos untuk trek ini.

Separuh Aku Ada Kamu

Trek yang simple dan ada kekuatan tersendiri. Lontaran vokal yang bersahaja membuatkan kita terbayang pemandangan di pantai atau ketika memandu kereta di waktu malam. Cuma penulis merasakan ada sedikit kekurangan pada trek ini kerana ada elemen yang hilang namun tidak mengapa. Usaha yang baik.

Akukan Pulang

Trek yang bersahaja. Kelebihan pada trek ini adalah jalan cerita dan lontaran vokalis membuatkan penulis rasa sedih sekejap kerana menceritakan pengorbanan seorang insan yang dipanggil Ayah. 

Tetap Bersama

Trek terakhir yang santai di mana hanya ada gitar akustik, vokal dan elemen ambience. Walaupun trek ini penulis dapat rasa apa yang vokalis ingin sampaikan, namun penulis berpendapat trek ini boleh ditambah baik seperti elemen strings. Keseluruhannya memuaskan.

Kesemua trek dalam album ini telah dipersembahkan dengan baik dari sudut susunan lagu dan instrumen serta penyampaian vokal juga bagus. Untuk di masa hadapan, penulis mencadangkan Batika lebih fokus kepada bunyian seperti piano, quartet dan ambience agar tidak kosong sekaligus menjadikan setiap trek lebih menyerlah. Keseluruhannya, album ini merupakan album pengenalan yang baik daripada Batika.

Tahniah buat Batika atas pelancaran album ini. Penulis mengharapkan naskah ini memberi impak yang positif kepada peminat muzik tanah air dan para penganjur harus menjemput mereka untuk membuat persembahan kerana sememangnya Batika mempunyai potensi besar dalam kancah muzik. Jumpa lagi di masa akan datang. Adios!

Ikuti perkembangan Batika di:

Facebook
Instagram
Twitter

Tinggalkan Komen Anda

Anda juga mungkin meminati

Ala... Ada pasang Adblocker Eh?

Support la kitorang dengan benarkan ads di pelayar web korang. Kitorang faham memang sakit mata tengok ads ni. Tapi, kasi chance lah. 😅