Ber-Tari Jiwa Bersama Penunggu

oleh Boes!
1.3K bacaan

Kredit: FB Rasmi Penunggu

Sekitar 10 tahun lepas, sebuah kumpulan muzik telah ditubuhkan di satu daerah di Selangor oleh pasangan kembar yang memperjuangkan muzik heavy metal sebagai wadah seni. Bermadah ke setiap jiwa yang menagih ritma menggoncang jiwa dan raga, Penunggu sememangnya tidak asing lagi dalam lapangan muzik bebas dan tidak pula kekok dalam menghasilkan karya-karya yang bermakna buat pendengarnya.

Dibarisi oleh Ary (vokal), Haizeel (gitar kedua), Richi (dram), Shaz (gitar utama) dan Darryl (bass), kumpulan ini tidak janggal dalam mempertaruhkan muzik mereka kepada khalayak ramai. Siapa sangka, EP debut mereka yang berjudul ‘Fables Of Reality’ yang diterbitkan pada tahun 2019 boleh dikatakan mendapat sambutan hangat. Lagu Budak Rangka dan Fratricide antara yang menjadi pilihan wajib untuk didengar. Mereka juga telah menerbitkan beberapa single dalam tempoh pra dan pasca pandemik, antaranya Gurindam Terkukur (2020), Wira Cyborg (2021), Wayang Amanah (2021) dan Sulfur (2022). 

Menghampiri Disember, kumpulan ini sekali lagi membuktikan bahawa heavy metal masih kekal relevan dengan menghasilkan satu karya yang luar daripada kebiasaan mereka. Menggabungkan elemen Melayu tradisional, lagu Tari Jiwa telah dilancarkan secara rasmi pada 21 November yang lepas bersekali dengan video muzik (MV) di YouTube rasmi mereka. Komposisi lagu ditulis oleh Haizeel, Ary Hussin & Aerrichi Setiawan manakala lirik pula ditinta oleh Ary Hussin. Lagu ini mendapat sentuhan Raja Nazmin Shah di bahagian adunan.

Menyentuh sedikit berkenaan penghasilan MV Tari Jiwa, selaras dengan elemen tradisional yang disuntik di dalam lagu ini, mereka telah berkelana ke Malaysia Heritage Studio yang terletak di Melaka untuk sesi rakaman. Berlatar belakangkan struktur rumah tradisional Melayu, MV ini turut menampilkan dua orang penari Joget iaitu Fatin Hazwani dan Nurazliyana Ahmad. Satu kombinasi yang pada penulis cukup unik, gabungan lagu rock dan tarian tradisional. Uncommon but impressive!

Untuk memahami karya Tari Jiwa ini dengan lebih mendalam, penulis sempat berhubung dengan Haizeel selaku gitaris dan komposer utama.  Pertamanya, penulis bertanyakan tentang mengapa konsep gabungan ini dipilih dan ditunjukkan menerusi lagu ini dan mengapa elemen Melayu seperti Joget dan Inang diketengahkan. Berikut merupakan pandangan beliau:

Saya personally sebagai komposer utama untuk lagu ni sememangnya minat dengan muzik klasik seperti Joget, Gurindam dan lain-lain. Saya juga dapati banyak band di luar sana yang mengetengahkan muzik elemen tempatan mereka seperti Myrath, Orphaned Land, Bloodywood yang membuatkan band mereka lebih stand out daripada beribu-ribu band rock/metal yang lain.

 

Jadi saya mengambil pendekatan untuk memasukkan elemen joget dalam lagu ini, kerana di negara kita sememangnya kaya dengan alunan kita tersendiri tetapi kebanyakan band lain hanya menggunakan influence seperti gamelan dan scale jawa yang lebih berbunyi dark, tetapi Penunggu ingin mencuba approach yang sedikit berlainan dan fresh. – Haizeel

Meneliti jawapan yang diberikan, ianya menjawab persoalan penulis yang sedikit skeptikal akan pemilihan motif tersebut. Penulis seraya mengajukan soalan yang seterusnya berkaitan dengan inspirasi penghasilan lagu ini.

Inspirasi utama bermula dari “what if” thinking process. Misi utama Penunggu adalah untuk mengeluarkan muzik yang exciting untuk didengarkan. Jadi kami memikirkan what if kami membawa energy yang sama tetapi disuntik dengan elemen muzik tradisional? Dari situ kami mendapati joget merupakan satu influence yang bagus dan sesuai. – Haizeel

Berdasarkan kedua-dua jawapan yang diberikan, Penunggu mempunyai alasan yang kukuh dalam menghasilkan dan mempertaruhkan lagu ini. Satu percubaan yang patut dirai kerana tidak ramai yang mahu mengambil risiko sebegini dan mempertaruhkan muzik bercoraf fusion. 

Ini juga bukan percubaan pertama Penunggu kerana sebelum ini mereka telah bereksperimentasi melalui rilisan sebelumnya, tambahan pula mereka mempunyai aspirasi untuk menghasilkan lebih banyak karya unik sebegini di masa hadapan.

Kami mula bereksperimentasi dengan gabungan rock/metal + tradisional dari singles kami yang lepas iaitu Gurindam Terkukur. Kami sangat berkeinginan untuk terus bereksperimentasi dengan laluan ini, tapi kami tidak akan memaksanya. Because it needs to be genuine dan bukan dipaksa. Apabila datangnya ilham, kami pasti akan terus berkarya. Penunggu sentiasa berfikiran terbuka dalam penulisan dan kami sentiasa mahu mengeluarkan muzik yang dekat di hati kami dan creatively satisfying kepada kami. – Haizeel

Kembali kepada subjek utama pada entri kali ini, lagu Tari Jiwa pada penulis punyai kekuatan yang tersendiri. Pemilihan Inang dan Joget dalam lagu ini berjaya berdasarkan premis yang diperjuangkan mereka iaitu untuk menghasilkan sesuatu yang segar, memotivasi dan bertenaga. Walaubagaimanapun,  pada penulis motif yang diketengahkan di awal lagu itu kedengaran biasa kerana telah terdapat lagu-lagu terdahulu menggunakan corak yang seakan sama contohnya Epitome – Butterfingers dan Sekilas Cinta – Ella. Kelainan yang disampaikan kurang ‘menyengat’ penulis.

Dari segi susunan pula, penulis merasakan momentum yang diberikan sekitar pre-chorus kurang ‘memberi’ dalam menyampaikan tema lagu yang bertenaga tetapi dicanakkan semula bermula selepas korus kedua sehingga ke bridge dan pengakhiran lagu. Bunyian riff dari gitar dan bass disulamkan bunyi dram menaikkan semula energi lagu ini selaras dengan tajuknya.

Haizeel juga turut berkongsi tentang makna di sebalik lirik lagu ini.

Lirik lagu ini meraikan kehidupan dan muzik. Dan muzik menjadi peneman dalam melalui kehidupan yang kadang ada dugaan dan pancarobanya – Haizeel

Memandangkan Tari Jiwa mengetengahkan emosi yang postif, pemilihan perkataan dalam liriknya mudah, sesuai dan padan dengan lagu ini. Cuma mungkin penceritaan dalam lagu ini agak kurang jelas bagi orang kebanyakan.

Dari segi vokal, penulis tiada masalah dengan lantunan suara Ary. Malah pujian harus diberikan kepada beliau dengan penyampaian qasidahnya di pertengahan lagu. Mantap.

Secara keseluruhan, Tari Jiwa pada pandangan penulis adalah sebuah lagu yang berani dan berjaya dari segi eksperimentasi.  Pujian harus diberikan kepada mereka kerana cuba menyampaikan sesuatu yang berbeza berbanding karya-karya sebelumnya. Penulis juga ingin mendukung harapan yang diberikan oleh komposer utama lagu ini:

Kami berharap para pendengar dapat menerima direction baru yang kami cuba ketengahkan dalam karya lagu terbaru kami ini agar boleh terus menjadi kreatif dalam penulisan kami di masa hadapan – Haizeel.

Selamat maju jaya buat Penunggu! Semoga karya-karya akan datang lebih baik dan menggugat jiwa!

Ikuti mereka di:

Instagram

Facebook

Tinggalkan Komen Anda

Anda juga mungkin meminati

Ala... Ada pasang Adblocker Eh?

Support la kitorang dengan benarkan ads di pelayar web korang. Kitorang faham memang sakit mata tengok ads ni. Tapi, kasi chance lah. 😅