Billie Eilish & No Good: Refleksi ‘Killjoy’ dan Prejudis Golongan Konservatif Agama

oleh Chiv Iscandar
3.1K bacaan

Sebelum berlangsungnya 2 konsert dan gig independen minggu ini, telah banyak kedengaran suara-suara sumbang oleh puak-puak yang mahukan agar kedua-duanya dihentikan atas alasan moral (panik moral).

Kredit: kosmo.com.my

Walaupun begitu, konsert superstar Billie Eilish berjaya berlangsung pada 18hb Ogos 2022 di Stadium Bukit Jalil, namun satu lagi persembahan kemuncak jelajah ‘Punk Gong’ oleh band punk rock fenomena tempatan, No Good yang sepatutnya diadakan di Cherating, Kuantan 20hb Ogos semalam terpaksa dibatalkan pada saat-saat akhir akibat mendapat tentangan seorang ‘ustaz’ yang mengaitkannya dengan elemen negatif sehingga aduan ke pihak berkuasa.

Jelasnya, kedua-dua artis (Billie Eilish dan No Good) berkenaan mempunyai pengikut-pengikut yang unik dan tersendiri dalam kalangan generasi muda negara.

Yang ke konsert Billie bukanlah minah-minah rewang kelas ketiga Baby Shima tetapi mereka dalam kalangan kelas menengah yang rata-rata berpendidikan tinggi – profesional muda berkarier, lepasan kolej universiti dan hijabis-hijabis urban manakala pengikut-pengikut No Good ialah kebanyakannya para peminat muzik independen yang ‘celik’ dengan latar belakang pendidikan yang baik.

2 spektrum yang berbeza tetapi membawa 1 wacana yang sama: idea-idea muzikal.

Sama ada Sad Pop atau Punk Rock dialek kelate, idea-idea muzikal mereka telah memberi nilai dan pembaharuan kepada kehidupan moden.

Namun, ia jelas menimbulkan ancaman dan ketakutan kepada puak yang ‘blabla’ (sekadar memetik Kid Search dalam konsert Rooftop) ini lalu memberikan ‘killjoy‘ dan ‘cockblocker‘ – kegilaan atau kemaruk untuk merencatkan kegembiraan dan keghairahan orang lain – kepada kita.

Tohmahan bahawa punk sebagai anasir negatif adalah sesuatu yang dangkal, berunsur kebencian melulu dan kurang cerdik. (rujuk tangkap layar ‘Ustaz’ dalam perbualan Whatsapp di bawah untuk memohon protes No Good).

Ia seolah-olah memukulrata semua pendengar muzik dengan aliran kepercayaan songsang dan gaya hidup negatif.

Ini berlaku kerana puak-puak ini gagal memahami seni seperti muzik atau filem sebagai satu medium yang di dalamnya juga mengandungi aspek-aspek keilmuan dan elemen positif.

Akibatmya, timbullah prejudis dan ketakutan mereka maka itulah seringkali kedengaran ratib-ratib yang diluncurkan sejak zaman berzaman – akhir zaman, illuminati.

Punca yang lain ialah, kurangnya edukasi di kalangan mereka kerana tidak mendapat pendedahan ilmiah yang betul (bulan salah ibu mengandung agaknya).

Seperti aliran liberal, idea-idea muzikal di luar arus perdana sepetii Punk, Metal hatta Dugem sekalipun sering menjadi sasaran oleh puak-puak konservatif.

Mengapa ini berlaku? Kerana ia dikatakan memberi ancaman kepada nilai-nilai konservatif yang menjadi ketaksuban dalam hidup mereka.

Secara hakikinya, ya Punk mungkin berorientasikan liberal namun yang dinyatakan liberal tersebut bukanlah sekadar ‘minum arak, berjoget sakan atau seks bebas sebagaimana yang sering diracun oleh puak-puak konservatif agama ini, tetapi Ia lebih daripada itu.

Ia berkaitan dengan melahirkan ekspresi tanpa ketakutan, melawan penindasan dan tidak lebih tidak bukan, hanya meraikan kehidupan.

Seperti ditekankan, idea-idea kebebasan ekspresi, berkreativiti dan bersosial secara positif adalah satu ancaman yang nampaknya ditakuti oleh golongan tersebut.

Pujian harus diberikan kepada No Good kerana mengambil jalan tengah (bukan jalan ‘selamat’) dan sanggup membatalkan persembahan demi menjaga harmoni dan ‘sensitiviti’ (?), namun itu bukan bermakna kita mengalah atau takut.

Tohmahan bahawa punk memesongkan akidah dan menyesatkan juga adalah fitnah yang dangkal dan sangat tidak berasas. Ia perkara yang mustahil bagi pendengar-pendengar muzik Punk atau peminat-peminat No Good untuk ‘terlupa kalimah syahadah’ sebaik mendengar Che Using atau Yak Boktey, kecuali seperti diterangkan di atas – wujudnya golongan bersikap prejudis khususnya konservatif bertopeng agama yang akan sedaya-upaya memindahkan ketaksuban mereka kepada orang lain yang tidak bersalah.

Dari satu sudut lain, kita juga khuatir kerana perkara sebegini akan ‘meleret’ kepada pengharaman-pengharaman lain yang jelas akan merugikan negara dalam aspek pembinaan ekonomi kreatif anak muda.

Sejak dekad 90-an lagi, kita telah dibebankan dengan stereotaip negatif Punk makan sampah atau ‘Blek Metal minum darah kambing’ tetapi kita tidak harus selama-lamanya diperlecehkan dengan kejumudan seperti itu.

Stereotaip sebegini terhadap punk dan idea-idea muzikal lain perlu dihentikan agar daya kreativiti anak-anak muda dan artis-artis independen tempatan dapat terus diraikan dan berkembang subur, apatah lagi dalam era kelajuan digital dan informasi tanpa sempadan.

Benarlah kata pengasas Minor Threat dan Fugazi, Ian Mackaye, ‘Making Punk a Threat Again‘ – kesempurnaan Punk sebagai satu ancaman terhadap kebejatan dan prejudis masyarakat arus perdana.

#ChivasAlexandria

Tinggalkan Komen Anda

Anda juga mungkin meminati

Ala... Ada pasang Adblocker Eh?

Support la kitorang dengan benarkan ads di pelayar web korang. Kitorang faham memang sakit mata tengok ads ni. Tapi, kasi chance lah. 😅