Pada 26 dan 27 Februari yang lepas, penulis mendapat undangan menghadiri acara Blood Thirst yang dikelolakan oleh 919CVLT dan Nothereal.ltd bertempat di Rumah Api, Kuala Lumpur. Acara ini disertai oleh beberapa kugiran baru mahupun yang lama antaranya Death Trigger, Consecrate, Fausse Humanite, Esclave 857, Moneybag 1327, Sekam, Defoulters, Danella, Rawmind, Lost Control dan Shut Up! Mereka percaya acara ini akan mendapat perhatian penggemar muzik bawah tanah dan menjadi satu festival yang menarik pada 2022.
Salah satu faktor gig ni diadakan untuk menyatukan scene underground dan bangkitkan semangat muzik bawah tanah untuk masa akan datang -Syaz-
Sedikit pengenalan, 919CVLT merupakan penganjur yang pertama kali penulis dengar kewujudan mereka ketika itu. Selepas munculnya Freshtown Records dan F*ck Ifan sebagai penganjur, muncul pula anak muda yang berjiwa besar ini untuk memastikan Hardcore masih hidup.
919CVLT bermula pada 2019, dianggotai oleh Syaz, Dee dan Reid. Kami wujud kerana nak kenalkan kepada orang luar semua apa itu underground scene and kenalkan muzik keras yang kita bawa bukan yang seperti deme sangka. -Syaz-
Untuk Blood Thirst, penulis merasakan acara ini merupakan acara yang berjaya. Dimulakan dengan pemilihan kugiran dari 919CVLT yang seimbang dan tiada masalah tentang pengurusan masa oleh mereka, dilengkapi dengan karisma setiap kugiran dalam mempersembahkan lagu-lagu yang membuatkan penonton semakin lama semakin ganas melakukan Mosh Pit, 2 Step, Crowd Kill dan Wall of Death pada kedua-dua hari tersebut.
Namun begitu, penulis mendapat tahu terdapat beberapa perkara yang tidak menyenangkan sepanjang acara ini berjalan. Antaranya kerosakan barang di Rumah Api seperti mikrofon, kabel mikrofon dan juga monitor stand disebabkan oleh keganasan kugiran dan penonton yang melampaui batas. Penulis juga perasan pihak penganjur dan krew tidak menjalankan tugas menjaga keselamatan semasa acara ini dijalankan. Penulis faham kalian ingin berhibur namun adab harus dijaga di mana jua tempat kalian berada dan jangan kerana istilah “Eleh Rumah Api je pun bukan venue besar” terus hilang adab ketika berada di sana. Harus diingatkan bahawa jika tiada Rumah Api, di manakah lagi pemuzik dan penonton ingin lepaskan geram? Rumah Api merupakan venue yang kita harus jaga bukan sekadar kebersihan malah backline juga.
Selain itu, masih ada beberapa insan yang pergi ke acara namun tidak ingin membayar harga yang ditetapkan dengan alasan masuk sekejap, menggunakan nama band atas dasar menjadi krew, dan paling mengecewakan mereka memberi alasan persembahan terakhir. Jika semua ini masih wujud dalam pemikiran kalian, sampai bila nak maju? Jika memberi alasan persembahan terakhir sekalipun, kalian boleh berbincang berapa nak bayar atas budi bicara. Benda boleh borak…
Kesimpulannya, Blood Thirst merupakan acara yang bagus namun penulis mengharapkan pihak penganjur cakna dengan beberapa perkara yang penulis sampaikan. Semoga kita berjumpa lagi dan Selamat Berpuasa semua!
Ikuti 919CVLT dan Nothereal.ltd untuk acara yang seterusnya.