Borneo Rock Fest: Pertembungan Epik Muzik dan Budaya di Bawah Bayu

oleh Music Addicts Malaysia
753 bacaan

Kredit: Rock City

Oleh: Shafinaz.AS


Siapa sangka negeri di bawah bayu telah menjadi pilihan penganjur, Imika Culture untuk membawakan Borneo Rock Festival (BRF) yang menampilkan  lima nama besar dalam industri muzik tanah air terdiri daripada kumpulan Search, Wings, Butterfingers, Hujan dan A.C.A.B.

Festival ini julung kali diadakan di Sabah dan sudah tentunya meninggalkan momen-momen yang epik serta indah buat para pencinta muzik rock di sana.

Apa yang menarik ketika berada negeri di bawah bayu ini, aku seperti kembali ke era bapak aku dulu. Seakan-akan tiba di suatu zaman rock kapak di mana rata-rata penonton yang hadir mengenakan busana bertemakan rock dan ini menjadi salah satu tarikan BRF kali ini. Sebahagian mereka masih mengekalkan identiti rock di dalam diri mereka khususnya peminat Search dan Wings. Bukan itu sahaja, peminat A.C.A.B juga tidak ketinggalan dalam mengenakan busana Skinhead yang ikonik.

Hujan. Kredit: Rock City

Sebagai pencinta muzik indie, semangat Raingers sukar untuk disangkal lagi, vokalis Hujan, Noh Salleh menyatakan jutaan terima kasih buat para raingers yang sanggup hadir dari seluruh pelusuk Malaysia. Manakan tidak, ada yang sanggup menunggang motosikal dari Sarawak ke Sabah semata-mata untuk menyaksikan Hujan.

Butterfingers. Kredit: Rock City

Begitu juga dengan penampilan sulung Butterfingers di Sabah yang menaikkan lagi atmosfera festival ini. Emmet yang bersahaja di atas pentas, betul-betul menghiburkan hati kami para peminat di Borneo.

Malah objektif penganjuran festival ini bukan hanya semata-mata membawa suasana muzik rock, tetapi penganjur telah menghadirkan suatu kelainan dengan menggabungkan dua tema iaitu seni dan budaya di bawah satu bumbung di mana sebahagian artis-artis tempatan seperti Datuk Francis Landong dan Jesseltone D’ Folk memperkenalkan budaya Sabah melalui persembahan mereka. Pengunjung yang hadir turut ikut menari tarian sumazau.

Tidak lupa juga kepada band-band lokal Sabah seperti Silversun, AMEF, Makhluk, Markaz 69, MelodyChain, Measmata, Dita Darcia dan Beyond My Race turut menghangatkan lagi suasana. Secara tidak langsung orang luar dari Sabah dapat mengenali dengan lebih terperinci akan bakat-bakat dan budaya Sabah.

Apa yang luar biasa dari segi penganjuran BRF ini adalah pihak penganjur juga menghadirkan ustaz di tengah-tengah konsert. Sesuatu yang tidak pernah dibuat mana-mana penganjur. Selain daripada berhibur, pihak penganjur tidak lupa akan nasib rakyat Palestin dengan mendoakan kesejahteraan buat mereka di sana.

Pendek kata, semua yang hadir menyatakan rasa gembira serta teruja dengan kehadiran artis yang mereka minati. Sering kali kita saksikan konsert pada masa kini sering dipenuhi dengan kehadiran anak-anak muda tetapi berbeza dengan Borneo Rock Festival 2023 yang mana warga veteran juga turut hadir. Melihat suasana begini, memang betullah apa yang ditafsirkan bahawa muzik itu tiada batasan had umur dan sesiapa sahaja boleh menikmatinya.

Memetik kata-kata Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, “Karya seni adalah satu daripada kerja Tuhan, Oleh itu, buatlah bersungguh-sungguh dengan penuh kejujuran.” Diharapkan pada masa depan, pihak penganjur dapat menambahbaik serta melipat kaligandakan usaha mereka dengan memberikan yang lebih baik buat para pengunjung yang hadir.

Tinggalkan Komen Anda

Anda juga mungkin meminati

Ala... Ada pasang Adblocker Eh?

Support la kitorang dengan benarkan ads di pelayar web korang. Kitorang faham memang sakit mata tengok ads ni. Tapi, kasi chance lah. 😅