Tidak menunggu lama untuk kembali menghiburkan peminat setianya di sini, Cakra Khan terbang sekali lagi ke tanah Malaya bagi mengubati kerinduan menerusi konsert Panggung Malaya Pop Vol 2. Jika penyanyi kita masih berkira-kira sama ada jika diadakan konsert, laku atau tidak nanti jualan tiket, Cakra ternyata melepasi dengan mudah kegurasan tersebut.
Kejayaan konsert-konsert beliau terdahulu meyakinkan Majlis Budaya Lantera Mas untuk melamar Cakra bagi berpentas di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR), Universiti Kebangsaan Malaysia.
Tirai konsert dibuka lewat daripada jadual. Hanya pada jam 9.30 malam Hafiz Suip mula tampil di panggung untuk memanaskan acara. Sorakan kuat daripada hadirin membuktikan walaupun Hafiz sepertinya sudah agak sepi dari radar pentas komersial, dia masih punya sokongan kuat daripada para peminat.
Memilih Kisah Cinta Kita sebagai lagu pembukaan, Hafiz sedikit shaky pada minit pertama persembahan tersebut. Mungkin ada masalah teknikal yang mengganggu kosentrasi Hafiz, mungkin. Namun Hafiz tidak membiarkan perkara itu berlanjutan. Turun sahaja beliau dari pentas untuk menyanyi lebih dekat dengan fans, ketika itu momentum persembahan beliau kembali memuncak. Peminat apa lagi, sing along bersama, seperti mengimbau semula persembahan Hafiz pada final Anugerah Juara Lagu 34.
Bahagiamu Deritaku menjadi lagu kedua dan juga lagu terakhir Hafiz pada malam itu. Lagu ini walaupun sudah berusia 10 tahun, namun masih diingati peminat. Kemantapan vokal anak seni yang seorang ini menyanyi secara langsung, tiada apa yang perlu diragukan. Jikalau tidak, masakan 4 trofi vokal terbaik AJL kemas dalam genggaman Hafiz Suip, bukan?
Konsert pada malam Sabtu itu kemudian diteruskan. Mikrofon bertukar tangan dengan Marsha Milan tampil anggun dalam busana serba putih. Sumandak Sabah yang seorang ini juga tiada salam perkenalan perlu diberi secara panjang lebar. Selepas berbelas tahun tidak kenal penat lelah mencuri perhatian peminat muzik tanah air, keunggulan Cinta menerusi pentas AJL juga membuka banyak mata bahawa Marsha bukan hadir ke industri berbekalkan wajah cantik dan personaliti manja sahaja. She has an incredible voice and persona to offer!
Lagu keramat itu menjadi pilihan Marsha untuk didendangkan di hadapan hadirin. Lagu dah cukup hebat, melodi juga cukup solid, dilengkapi pula dengan vokal merdu dan lantang finalis Akademi Fantasia musim ke-3, Marsha ternyata tidak kedekut! Tiada apa yang mahu disembunyikan, Marsha memberikan persembahan bertenaga, seterusnya menerima sorakan dan tepukun gemuruh daripada para peminat. Marsha menjadi bukti bahawa kalau kita punya bakat, cepat atau lambat, rezeki untuk dikenali pasti tiba juga.
Jam menunjukkan hampir 10 malam, peminat sudah mula tertanya-tanya bila lagi penyanyi kesayangan mereka mahu muncul. Tidak mahu membiarkan penonton terus tertunggu-tunggu, pengacara majlis menjemput penyanyi yang cukup dikenali dengan suaranya yang serak-serak basah, Cakra Khan untuk menggepalai pentas. Seperti dijangka, saat kelibat Cakra muncul di atas pentas, suasana menjadi gamat dengan sorakan peminat!
Adalah Aku dijadikan hadiah awal kepada peminat. Walaupun lagu ini tidak begitu mesra di telinga penulis, tapi buat peminat setia Cakra, mereka ternyata hafal dan menyanyi bersama-sama. Malam indah buat peminat Cakra diteruskan apabila mereka hanyut dengan persembahan Setelah Kau Tiada, lagu yang memperkenalkan beliau di arena seni 11 tahun yang lalu. Persembahan ini cukup menarik apabila lagu ini diubah melodinya kepada jazz music, dan ternyata rendition ini cukup menyenangkan dan sedikit sexy pada penulis. Tiada siapa di dalam dewan yang tidak hafal lagu ini, apatah lagi bila Cakra membiarkan saja penonton menyanyi pada rangkap chorus.
Kepada Hati dan Mencari Cinta Sejati menjadi lagu seterusnya yang dipersembahkan kepada audiens. Mencari Cinta Sejati yang merupakan runut bunyi bagi filem Rudy Habibie menjadi persembahan favourite penulis pada malam tersebut. Tiada apa yang berlebih-lebih, namun emosi dan suara Cakra membuai satu dewan, apatah lagi bait lirik didendangkan dengan penuh makna. Cakra tidak sekadar bernyanyi, tetapi di atas panggung, dia seperti tok dalang, yang bercerita dan menjadi penglipur lara. Seperti biasa, bisa utama dalam persembahan live adalah pada bahagian chorus, apabila Cakra menghulurkan microfon kepada penonton supaya mereka boleh bernyanyi bersama-sama. Pengalaman lebih sedekad menjadi anak seni, memberi kelebihan buat Cakra untuk membaca apa yang penonton mahukan ketika menonton konsert.
Marsha dijemput kembali ke atas pentas untuk berduet menerusi Seluruh Cinta. Kedua-dua penyanyi hebat ini saling memuji dan saling mengkagumi antara satu sama lain, sebelum mereka memberikan persembahan sepenuh jiwa. Maaflah jika penulis bersikap sedikit bias, tapi magika Datuk Sri Siti Nurhaliza yang memberi persembahan sungguh merdu dalam rakaman lagu ini, membuatkan persembahan malam itu seperti ada bahagian yang hilang. Mungkin saja Marsha yang kita kenali dengan vokalnya yang lantang, membuatkan persembahan malam itu seperti hilang manis dan merdu. Tiada apa yang salah, cuma tidak dapat lari untuk penulis membandingkan dengan versi asal lagu tersebut.
Panggung Malaya Pop Vol 2. pada malam itu diteruskan dengan lagu-lagu seperti Kamu Adalah, Broken Symphony dan Salah Tapi Baik. Sedikit trivia bagi lagu-lagu ini; Kamu Adalah merupakan karya terbaru Cakra Khan, yang direlease Febuari lalu, dan dicipta oleh Ade Govinda. Broken Symphony pula merupakan lagu bahasa Inggeris yang mana komposernya merupakan penyanyi dari Malaysia, si cantik Aishah Retno. Dan untuk Salah Tapi Baik, Cakra Khan ceritakan bahawa lirik lagu itu diambil dan diolah dari sebuah puisi dan diterbitkan pada tahun 2019.
Menerusi Hal Hebat, Cakra membuatkan seluruh dewan lebih teruja apabila dia turun pentas lagi dan berjalan serta bersalaman dengan para penonton. Di tengah dewan dan celahan penonton, Cakra membiarkan saja penonton diberi peluang untuk bernyanyi sambil diiringi pemain orkestra. Cakra sendiri seakan larut dalam emosi bila penonton turut menyanyi bersama. Momen seperti ini pasti dikenang buat sang peminat setia.
Apalah namanya konsert si Cakra kalau lagu cari makan; Kekasih Bayangan dan Harus Terpisah tidak dihidangkan, bukan? Pasti saja lagu-lagu besar seperti ini disimpan hingga ke hujung konsert. Mana boleh senjata besar dikeluarkan awal. Satu dewan terus bertukar kepada mood galau apabila lagu ini didendangkan. Kita cukup tahu bahawa lagu Cakra dan galau tidak boleh dipisahkan. Sorakan penonton penulis kira, menjadi bukti bahawa yang hadir pada malam itu ternyata terhibur dengan persembahan-persembahan yang disajikan. 10 lagu disajikan Cakra pada malam itu, penulis kira cukup buatkan peminat setianya berasa puas.
Sebenarnya pada malam konsert tersebut, Cakra baru saja tiga hari pulang dari mengerjakan ibadah Umrah namun dia tetap mampu memberikan persembahan yang luar biasa. Tiada alasan diberikan oleh Cakra, dia tahu bahawa peminat setianya menantikan persembahan hebat dari penyanyi kesayangan mereka.
Apa lagi yang penulis boleh katakan, ini bukan konsert sulung beliau. Cakra cukup faham segala formula yang perlu digunakan ketika membuat persembahan secara langsung. Penulis puji dengan interaksi yang diberikannya kepada penonton, bersahaja dan tidak dibuat-buat. Dari ketawanya yang tidak berhenti sepanjang celoteh, jelas dia ikhlas dan gembira melayani peminat setia dari Malaysia.
Satu perkara lagi yang penulis cukup suka dari konsert ini ialah idea bijak penganjur untuk membawa Orkestra Kuala Lumpur bagi mengiringi persembahan sepanjang malam acara. Muzik dan melodi secara automatik menjadi lebih grande apabila digarap dan digubah dengan iringan pemuzik orkesta.
Tepukan gemuruh harus diberikan kepada 32 orang pemuzik dari Orkestra Kuala Lumpur diketuai oleh Encik Mohd Isa Ismail. Keberanian UKM dengan memberikan green light kepada pelajarnya untuk menganjurkan acara sebesar ini juga harus diberi kredit, kerana tidak semua pusat pengajian terbuka untuk memberi ruang dan peluang kepada para pelajarnya. Acara ini sudah tentu memberikan siswazah UKM yang terlibat mendapat pengalaman cukup berharga dalam mengendalikan acara berskala besar.
Penulis percaya, Cakra akan kembali lagi pada siri-siri konsert akan datang!