Anggota asal Grey Daze kembali ke studio untuk merakam penghargaan tertinggi buat Chester Bennington.
Muzik yang baik pastinya akan membawa kita mengembara ke terowong masa atau daerah tertentu, manakala penyanyi yang hebat sudah tentu akan dikenang sepanjang zaman. Begitulah halnya dengan Grey Daze dan Chester Bennington melalui mahakarya yang dilancarkan pada 26 Jun 2020, Amends.
Majoriti mengenali Bennington hanya sesudah beliau menyertai kugiran nu-metal paling berpengaruh, Linkin Park. Tidak ramai sedar permulaannya sebagai penyanyi band alternative rock asal Phoenix, Grey Daze pada dekad 90an walaupun berjaya menghasilkan dua album bersama mereka iaitu Wake Me (1994) dan …No Sun Today (1997).

Barisan anggota Grey Daze 2020. Depan: Chester Bennington, Mace Beyers. Belakang: Sean Dowdell, Cristin Davis.
Tragedi yang menimpa persona ini pada tahun 2017 bukan sahaja merentap nyawanya, tetapi berjuta lagi jiwa di seluruh dunia termasuk keluarga, sahabat dan peminat-peminatnya. Pemain dram, pengasas Grey Daze dan sahabat beliau, Sean Dowdell sedar akan perkara ini lantas mengambil tanggungjawab besar apabila memutuskan untuk mengusahakan buah tangan terakhir Bennington sekaligus memberi ‘pampasan’ (Amends) kepada semua pihak yang terkesan dengan pemergiannya.
Projek ini sebenarnya bermula pada Oktober 2016 apabila Bennington bertemu Dowdell untuk satu projek reunion Grey Daze di mana mereka akan merakamkan kembali lagu-lagu daripada dua album pada tahun 90an dan turut merancang persembahan khas pada bulan September 2017. Bagaimanapun, semua sedia maklum bahawa Bennington mengambil keputusan membunuh diri pada Julai 2017 sekaligus membantutkan agenda mega tersebut.
Dowdell antara yang paling terkesan dengan peristiwa tersebut mengambil masa 11 bulan sebelum bangkit kembali dan nekad menyempurnakan buah tangan yang hari ini dikenali sebagai Amends, mengandungi 11 buah lagu melalui teknik rakaman yang hampir mustahil iaitu menggunakan trek vokal asal Bennington sebagai panduan kepada rakaman instrumentasi baharu oleh anggota asal Grey Daze termasuk Dowdell (dram), Cristin Davis (gitaris) dan Mace Beyers (bass).
Sebagai penambah perisa, album yang mendapat restu daripada balu Beninngton, Talinda dan anggota Linkin Park ini turut menampilkan sahabat-sahabat Bennington yang lain termasuk Brian ‘Head’ Welch dan James ‘Munky’ Shaffer (KoRn), Page Hamilton (Helmet), Chris Traynor (Bush, Helmet), LP (Laura Pergolizzi), Jasen Rauch (Breaking Benjamin), Marcos Curiel (P.O.D.) dan Ryan Shuck (Orgy). Anak lelaki beliau, Jaime Bennington turut menyumbang suara latar untuk lagu Soul Song. Bayangkan, Jamie yang berusia 23 tahun merakamkan lagu ini bersama suara asal ayahnya yang baru berusia 21 tahun sewaktu lagu ini diterbitkan (1997).
Penulis mengamati album ini melalui platform strim digital, Tidal dengan kualiti Master Audio dan ternyata hasil produksinya amat memuaskan hati seraya membuat penulis mengangkat topi kepada Dowdell dan anggota Grey Daze kerana berjaya ‘menghidupkan’ kembali Bennington dengan restorasi vokal yang sangat indah selain mewujudkan aura nostalgik kepada peminat-peminat Linkin Park sekalian alam yang pasti akan memori indah kepada mereka.
Keseluruhan trek dalam album ini terasa sangat kuat, dinamik dan dipersembahkan seperti sebuah novel autobiografi yang meneroka sisi paling rapuh Bennington di usia mudanya dengan lirik-lirik bertemakan depresi, isolasi, frustasi dan ketagihan dadah.
Peminat-peminat Linkin Park sudah tentu akan jatuh cinta dengan trek seperti Sickness yang memiliki atmosfera Crawling, kombo piano dan vokal yang memiliki aura In the End dalam lagu Soul Song, sengsara dalam In Time persis Heavy, selain beberapa lagi trek seperti The Syndrome, She Shines dan Shouting Out yang memberi bayangan ia adalah daripada katalog Linkin Park yang hilang.
Perlu diingat, suara Bennington yang digunakan adalah ketika beliau berusia antara 18 hingga 21 tahun, sangat mentah (raw) dan kasar. Ia amat berbeza dengan rakaman akhirnya bersama Linkin Park untuk album One More Light (2017) yang lebih bersih dan matang. Faktor itu sahaja sudah tentu memberahikan pendengar untuk mengulang mahakarya ini berkali-kali dan mungkin meletakkannya sebagai album terbaik untuk tahun ini.

Chester Bennington (dua dari kiri) bersama anggota Grey Daze pada tahun 90an.
Trek pilihan penulis adalah What’s in the Eye di mana ia adalah lagu pertama penulis mengenali Grey Daze setelah video muzik rasminya menjengah ruang maya pada bulan Januari tahun ini. Bernuansa grunge, ia merupakan wajah sebenar Grey Daze yang menggambarkan hala tuju mereka pada tahun 90an dan projek reunion ini jika Bennington tidak meninggalkan kita terlalu awal. Ia memberi dimensi baharu kepada figura yang sudah kita kenali tanpa diulit cebisan nostalgia semata-mata. Stail vokalnya yang mirip Layne Staley (Alice in Chains) turut memberi dampak derita kepada pendengar yang rindu dengan kedua-dua figura legenda ini.
Jika kalian tertanya-tanya bagaimana album ini mendapat nama, dengarkan trek Morei Sky yang berkisar tentang peluang kedua dengan paduan lirik “If I had a second chance/ I’d make amends/ Only to find myself losing in the end/ If I had a second chance/ I’d make amends/ Only to find myself losing, losing.”
Album ditutup dengan cuplikan panggilan telefon Bennington yang diakhiri dengan kata-kata, “I love you and I’ll talk to you soon.” Nah, terus terasa seperti dada ditendang hingga tersandar ke dinding. Sedih, rindu, marah, semua tergabung menjadi satu.
Kesimpulannya, Amends adalah mahakarya yang membawa kita kembara ke masa lepas dan mengenali susuk tubuh seorang Chester Bennington di usia remaja dan permulaannya sebagai seorang pemuzik. Mendengar keseluruhan album ini menghenjut kita dengan perasaan pahit manis yang mampu mengalirkan air mata kerinduan dan menghantui masa depan di mana kita terpaksa akur dan terima, Chester Bennington sudah mati!
Dokumentari tentang pembikinan album Amends: