Alternative ialah satu terma popular yang lahir pada era 90-an dan sering dikaitkan dengan ledakan band-band seperti Nirvana, Red Hot Chili Peppers dan sebagainya semasa itu. Bagi menggambarkan apakah yang ditakrifkan sebagai Alternative, satu perkara penting perlu dijelaskan terlebih dahulu.
Pertama-tama kali, Alternative bukanlah satu genre atau jenis muzik. Adalah satu kriminaliti jika mentakrifkan Alternative sebagai jenis muzik seperti pop, jazz, rock.
Ia sebenarnya adalah satu bentuk ‘tagging‘ atau pengelasan umum yang asalnya merujuk kepada muzik yang tidak memasuki radio arus perdana (mainstream).
Dari segi industri muzik pula, ia adalah strategi untuk mengkomersilkan identiti band-band atau artis-artis di luar radar radio mainstream ini bagi tujuan ‘hype‘ dan pemasaran. Dan ia adalah satu taktik gerila yang sangat berjaya. Kerana pengelasan tersebut menyebabkan satu kelompok muzik baharu terhasil dan kesemua band baru pada masa itu berlumba-lumba untuk dilabelkan sebagai ‘Alternative’. Juga, tiba-tiba menjadi Hard Rock atau Guns N Roses adalah sesuatu yang tidak ‘cool’ dan old-fashioned.
Pada awal kemunculan sekitar 90-an, lazimnya kaset-kaset (masa tu, takda streaming) yang dijual di pasaran Malaysia akan dilekatkan sticker ‘This Is Alternative!’ di luar kotak kaset, jadi menandakan bahawa artis tersebut tergolong dalam ‘Alternative’. Namun hakikatnya, ia sebagai menggambarkan bahawa artis tersebut adalah dari kalangan mereka yang lagunya tidak memasuki radio arus perdana.
Di bawah label Alternative ini, baharulah genre atau subgenre-subgenre seperti Grunge, Modern Rock, Emo Rock, Post-Punk, Indie Rock, Nu Metal, Post-Grunge dan lain-lain berkembang dan beranak-pinak. Kewujudan rangkaian kabel MTV yang galak menyiarkan video-video dari kelompok Alternative ini semakin menyemarak dan mempercepatkan evolusi muzik. Syarikat-syarikat gergasi korporat pula membentuk subsidiari-subsidiari yang khusus menerbitkan artis-artis dalam kelas ini.
Namun, perlu diingat roots atau akar Alternative ini ialah tidak lain tidak bukan, Pop. Manakala sumber akar-umbinya yang paling ekstrim ialah Punk. Artis-artis yang mengharung muzik mereka tanpa perhatian radio arus perdana sejak 80-an seperti R.E.M, Husker Du, Sonic Youth, Soul Asylum, Pixies juga adalah pelopor awalan gagasan Alternative ini. Alternative juga dianggap sebagai ‘Brit-Pop Amerika’, kerana gelombang baru (Blur, Oasis) juga muncul di UK ketika itu maka Alternative ialah jolokan Brit-Pop bagi Amerika.
Red Hot Chilli Peppers (RHCP) telah dianggap band alternative paling besar dan berjaya dengan hampir 80 juta rekod mereka terjual. Seperti takrif label ‘Alternative’ ini, RHCP aktif sejak era 80-an tetapi muzik mereka tidak pernah memasuki radio arus perdana. Mereka bermula dengan 4 album yang tidak keluar ke mana-mana saluran perdana sehinggalah album Blood Sugar Sex Magik (1991). Mereka memenangi anugerah Grammy dengan lagu ‘Give It Away‘ pada tahun tersebut tetapi anehnya, dalam kategori Hard Rock with Vocal Performance kerana pengkhususan label ‘Alternative’ belum begitu rasmi ketika itu. Kejayaan Nirvana dengan album ‘Nevermind’ serta-merta membuka lembaran Alternative menjadi kelompok muzik arus baharu yang legasinya berterusan hari ini.
Artis-artis lain yang asalnya tidak mendapat saluran arus perdana seperti Offspring, Green Day (Punk Rock), Collective Soul, Goo Goo Dolls, Smashing Pumpkins, Weezer (College Rock) dan lain-lain seumpamanya juga tergolong dalam lapisan Alternative ini.
Ia jelas menunjukkan bahawa asal-usul muzik moden kita hari ini ialah daripada kelompok mereka yang tidak mempunyai ruang dalam radio arus perdana, ia telah mengalami evolusi menjadi terlampau dominan sejak 90-an dan terus berkembang sehingga ‘menakluk’ dunia arus perdana hari ini. (contoh: Coldplay, Imagine Dragon)
Mesin Rumput di Era Digital
Pada era digital ini, stesen-stesen radio terutama di Malaysia menjadi tidak ubah seperti mesin rumput yang hanya mengkitarkan lagu-lagu popular yang viral dari media online seperti You Tube, TikTok yang asalnya tidak pernah memasuki atau dihiraukan radio arus perdana. Mereka hanya menunggu lagu-lagu viral dari media digital dan memutarkan semula tanpa segan-silu, manakala stesen TV arus perdana pula mengutip artis-artis separuh siap ini ke dalam rancangan mereka.
Jadi, stesen radio adalah produk era zaman batu yang sudah jauh ketinggalan dan hilang fungsinya!! Tapi, mungkin ramai masih tertanya-tanya kenapa stesen radio di Malaysia masih berdiri, nah…mungkin anda ada jawapannya kenapa stesen-stesen zaman batu ini masih wujud walaupun sudah jauh ketinggalan dan tidak relevan? Dan dalam era digital dan akan datang internet satelit, adakah takrifan baru Alternative akan terhasil, memandangkan radio arus perdana kini bukan lagi medan sebenar muzik alaf baharu. Hmmm.
#ChivasAlexandria