Artikel sumbangan: Uzai
Kedengaran seperti acara persembahan pada petang itu sudah pun bermula ketika aku sedang sibuk mencari parkir motosikal. Aku bergegas untuk cuba cepat-cepat masuk tetapi rupa-rupanya band Krusty baru sahaja selesai membuat persembahan mereka. Jadi aku memutuskan untuk berlegar-legar di luar tempat SoundCircus Festival berlangsung sementara menunggu persembahan band yang seterusnya.
Jaket kulit, seluar jeans dan kasut but. Itu persamaan yang aku dapat lihat antara punkers dan bikers yang hadir pada hari pertama acara tersebut walaupun salah satu tagline Art Of Speed dan SoundCircus Festival tahun ini ialah #RaikanBezamu. Deruman ekzos motor berkuasa tinggi berderu-deru melintasi orang ramai di hadapan perkarangan dewan MAEPS Serdang. Walaupun ramai yang pergi menonton Muse serta ada banyak lagi event-event lain yang diadakan pada yang hari sama, festival ini memang ada crowd mereka tersendiri dan masih ramai orang yang hadir seperti tahun-tahun sebelumnya.
Seterusnya, aku masuk ke dalam tapak SoundCircus semula dan di bawah terik mentari, aku melihat crowd masih lagi tidak memenuhi seluruh perkarangan acara itu. Dum Dum Tak terus sahaja meneruskan event dengan memainkan lagu-lagu mereka seperti “Pergi Jahanam Kau” dan “Petrol Petrol Petrol.” Usai persembahan mereka, Skudap Skudip merancakkan suasana dengan mempersembahkan karya-karya mereka yang penuh dengan bunyi bass yang groovy dan trumpet yang mengasyikkan. Beberapa tutorial tarian ska sempat diajarkan oleh vokalis mereka untuk para hadirin yang ingin turut berdanska dengan lagu “Ska La La.”
Selepas itu, Armpunk Syndicate pula berada di atas pentas untuk terus menghiburkan orang ramai dengan petikan dari ukulele elektrik dan sound mereka yang agak nyaring. Sedikit masalah teknikal telah berlaku tetapi dalam masa lima minit kemudian, persembahan mereka diteruskan kembali. Antara lagu mereka yang mampu menggerakkan penonton ialah “Noisy Punk.”
Tepat 5.30 petang, band hardcore dari Kuala Lumpur, Restraint menyambung acara tersebut dengan berjersi merah yang dikatakan prototaip merchandise mereka yang bakal dikeluarkan tak lama lagi. Sebagai pendengar, memang aku berpuas hati dengan sound mereka yang begitu jelas dan tight. Lazimnya, peminat-peminat mereka akan melakukan two-step dan breakdown setiap kali mereka berpanggung. Habis saja persembahan mereka, Massacre Conspiracy pula mengambil alih pentas dan memainkan lagu-lagu mereka. Yang menarik perhatian aku adalah apabila hanya satu gitaris sahaja yang bermain tetapi tetap cukup untuk membawa sound mereka yang berunsurkan metalcore dan aku anggarkan ketika ini bilangan crowd adalah lebih kurang 2,000 orang.
Malam SoundCircus Festival diteruskan dengan persembahan Naratu yang tampil dengan intro visual yang menarik. Kelihatan orang ramai sudah mulai masuk ke dalam dan memenuhi ruang-ruang kosong yang dianggarkan berjumlah lebih kurang 6,000 orang yang berada di sekitar acara itu. Memang chaos habis bila mereka sudah berada di atas pentas. Mereka menutup persembahan dengan lagu wajib Naratu iaitu “Maki Hamun.”
Seterusnya, kugiran ska punk dari Johor Bahru iaitu Plague Of Happiness pula berpanggung di atas pentas. Mereka cuba memainkan seberapa banyak lagu yang boleh tanpa banyak berbicara memandangkan set masa bagi setiap band adalah 30 minit sahaja. Penonton turut sing along dan berdanska dengan lagu-lagu popular mereka seperti “Malam,” “Kawan” dan “Konspirasi.”
Festival sarkis bunyi dilanjutkan dengan pengumuman pemenang Battle Of The Band yang berlangsung pada pagi acara itu dan dimenangi oleh kugiran Chylypdy. Selanjutnya, malam itu diteruskan dengan persembahan band dari Indonesia iaitu Superman Is Dead. Ramai orang di situ sudah menantikan mereka walaupun ini adalah kali ketiga tak silap aku mereka datang berpentas di Malaysia. Set mereka berjalan lebih kurang satu jam setengah yang turut memuatkan lebih daripada sepuluh lagu. Mereka turut berulangkali meluahkan rasa teruja mereka kerana dapat kembali ke Malaysia untuk membuat persembahan. Antara karya-karya yang dipersembahkan adalah “Sunset di Tanah Anarki,” “Kuta Rock City,” “Tentang Tiga” dan “Kuat Kita Bersinar.”
Di penghujung acara, band lokal yang kini sudah mencapai status kult, No Good mengambil alih pentas bagi menutup acara tahunan yang telah bermula sejak 2017 ini. Ada juga sebuah lagu baharu yang mereka bawakan khas buat penonton yang hadir selain daripada lagu-lagu yang mereka mainkan daripada album “Punk-Gong” dan EP “Demo Kawe.”
Acara ditamatkan dengan letupan bunga api di luar perkarangan berserta lagu “Tok Dae Hambat” dan SoundCircus Festival pun berakhir.
Keras. Laju. Bingit. Itu kesimpulan yang aku rasakan untuk acara ini.