Penyanyi, komposer dan penyair kebanggaan Amerika, Bob Dylan menyambut ulangtahun ke-80 hari ini!
Robert Allen Zimmerman yang dilahirkan pada 24 Mei 1941 di Duluth, Minnesota adalah antara personaliti terpenting yang membentuk budaya popular dan mencorak hala tuju muzik dunia abad ini.
Sejak bermulanya karier beliau lebih 50 tahun lepas, boleh dikatakan semua anugerah tertinggi dalam industri muzik pernah dimenanginya. Itu tidak termasuk Anugerah Nobel yang diraihnya pada tahun 2016 bagi kategori sastera!
Kesaktian Dylan tidak terletak pada suaranya, jauh sekali kemampuannya bermain alat muzik. Seorang peminat Dylan pasti kenal benar dengan lirik-liriknya yang puitis, surreal dan mengganggu. Lagu-lagunya juga sangat mudah dihadam dengan suara orang kebanyakan yang menyentuh hati dan mewakili sebahagian besar masyarakat Amerika ketika itu, malah sehingga kini.
Di usia remajanya, seperti remaja lain, Dylan tercari-cari identiti dan mengidolakan Little Richard dan Elvis Presley. Beliau juga pernah mengiringi Bobby Vee sebagai pemain piano dan menubuhkan kugiran rock and roll.
Beliau kemudian beralih arah ke muzik folk selepas mengenali idolanya, Woody Guthrie. Pada tahun 1960, Dylan berhijrah ke New York dan melawat Guthrie yang sedang sakit di hospital. Di mindanya, beliau melihat Guthrie sebagai hero dan bersungguh-sungguh mahu mengikut jejak langkahnya. Pengaruh ini dapat didengar pada album pertama beliau, Bob Dylan (1962) di mana majoritinya adalah lagu saduran dan dua lagu original iaitu Talkin’ New York dan Song To Woody. Album ini sebenarnya sangat hambar penerimaannya dan Dylan masih belum meletup ketika itu.
Selepas itu, muncullah album folk terpenting dalam sejarah peradaban dunia, Freewheelin’ Bob Dylan (1963). Album kedua Dylan ini akhirnya menunjukkan taring sebenar beliau sebagai seorang penyanyi-penulis lagu dan telah mendahului Guthrie sendiri dari segi impak dan populariti!
Dengan seleksi lagu-lagu original seperti Blowin’ in the Wind yang menjadi antem protes tahun 60an di Amerika, Freewheelin’ juga mengandungi lagu-lagu terbaik dalam sejarah nukilannya seperti Masters of War, A Hard Rain’s a-Gonna Fall, Don’t Think Twice, It’s Allright dan Talkin’ World War III Blues yang mengaitkannya dengan Pergerakan Hak Asasi (Civil Rights Movement) di negara Uncle Sam ketika itu.
Jika kalian masih ingat dengan ucapan bersejarah Martin Luther King yang mengandungi teks “I have a dream” pada tahun 1963, Bob Dylan turut berada di situ dan membuka pentas dengan lagu Only A Pawn in Their Game di hadapan ribuan penonton kulit hitam!
Dua album seterusnya iaitu The Times They Are a-Changin’ (1964) dan Another Side of Bob Dylan (1964) menyaksikan beliau dijulang sebagai hero dan ramai juga fanatik yang melihatnya seperti utusan tuhan pada ketika itu, namun beliau yang dikenali sebagai seorang yang sangat sinikal dan misteri menolak sebarang perkaitan dengan sebarang parti politik dan gerakan protes, apatah lagi melabel dirinya sebagai penyanyi lagu-lagu protes.
Akibat terlalu rimas dengan golongan fanatik yang memujanya, Dylan akhirnya mengubah haluan muziknya dengan album Bringing It All Back Home (1965) yang menyaksikan buat pertama kalinya beliau bermain instrumen elektrik yang bising dan menampilkan trek Maggie’s Farm yang terang-terang mencaci peminatnya sendiri.
“I ain’t gonna work on Maggie’s farm no more,
No, I ain’t gonna work on Maggie’s farm no more,
Well I try my best,
To be just like I am,
But everybody wants you,
To be just like them,
They sing while they slave and just get bored,
I ain’t gonna work on, nah,
I ain’t gonna work on Maggie’s farm no more.”
Di sinilah bermulanya era Dylan yang paling penulis cintai. Sikapnya yang tidak suka dikongkong, rebel, unik dan genius amatlah ketara pada ketika itu. Dylan di-boo di mana sahaja beliau membuat persembahan, peminat-peminatnya sebelum itu berpaling arah dan membencinya, pengkritik-pengkritik muzik folk mencurahkan sepenuh tenaga melabelnya sebagai pembelot, namun Dylan tidak sedikit pun mempedulikannya. Bak katanya, “Aku hanya mahu bermain muzik!”
Rantaian kebencian ini mencapai kemuncaknya pada tahun 1966 di Manchester Free Trade Hall, England dengan insiden “Judas” di mana dalam masa sama, beliau telah memulakan satu revolusi baharu sebagai seorang pemuzik dan personaliti budaya popular.
Baca di: Insiden Judas 1966: Bagaimana Bob Dylan Mengubah Lanskap Muzik Dunia Selamanya
Terlalu banyak sumbangan Dylan dalam industri muzik dan budaya popular jika mahu diceritakan. Ikon ini tidak pernah duduk selesa dan merevolusikan dirinya berkali-kali dan kekal relevan sehingga kini selepas 40 album studio. Album terbaharunya, Rough and Rowdy Ways yang dirilis pada tahun lepas turut mendapat rating yang cemerlang dalam kalangan pengkritik muzik dan menampilkan opus 17 minit, Murder Most Foul.
Penulis tidak mahu menceritakan semua tentang Dylan di sini. Nantikan lebih banyak kisah-kisah menarik tentang beliau selepas ini ya. Antaranya:
– Bagaimana lagu Hurricane membebaskan Rubin Carter dari penjara.
– Supergroup The Travelling Wilburys yang dianggotai Bob Dylan, George Harrison, Jeff Lynne, Roy Orbison dan Tom Petty.
– Kisah cinta tidak kesampaian dengan Joan Baez.
– Penglibatannya dalam filem Pat Garrett & Billy the Kid (1973), Renaldo and Clara (1978), Hearts of Fire (1987) dan lain-lain.
– Menyumbangkan vokal rap untuk lagu Kurtis Blow berjudul Street Rock pada tahun 1986.
Apa pun, selamat menyambut ulangtahun kelahiran ke-80, Bob Dylan!
Lagu-lagu pilihan penulis:
1. Subterranean Homesick Blues
2. Desolation Row
3. A Hard Rain’s A-Gonna Fall
4. Idiot Wind
5. Forever Young
6. Is Your Love In Vain
7. One More Cup of Coffee
8. Blind Willie McTell
9. Beyond Here Lies Nothin’
10. Duquesne Whistle