Dirgahayu Roger Waters – Arkitek Pink Floyd dan Aktivis Bersuara Lantang

oleh Rahmat Mohd Did
2.1K bacaan

Hari ini, bekas vokalis dan pemain bass Pink Floyd, Roger Waters meniup 78 batang lilin di kek hari jadinya. Beliau yang dilahirkan pada 6 September 1943 di Surrey, England merupakan individu terpenting yang memacu Pink Floyd ke puncak kegemilangan di era 70an setelah frontman asal mereka, Syd Barret meninggalkan Pink Floyd akibat masalah mental.

Bermula dari album Dark Side of the Moon (1973) hingga The Final Cut (1983), Waters menjadi penulis lagu dan lirik paling dominan dalam Pink Floyd serta bertindak sebagai ‘arkitek’ yang mencorak tema serta konsep setiap album.

Setelah keluar daripada Pink Floyd pada tahun 1985, beliau menghasilkan enam buah album solo termasuk The Pros and Cons of Hitch Hiking (1984), Radio K.A.O.S. (1987), Amused to Death (1992), Ca Ira (2005), Is This the Life We Really Want? (2017) dan Igor Stravinsky’s The Soldier’s Tale (2018).

𝐀𝐤𝐭𝐢𝐯𝐢𝐬𝐦𝐞

Selain digelar sebagai ‘The creative genius of Pink Floyd,’ Waters turut aktif dalam kerja-kerja aktivisme serta hak asasi dan sangat lantang melawan kekejaman Israel terhadap rakyat Palestin.

Pada tahun 2011, beliau secara rasmi menyertai gerakan Boycott, Divestment and Sanctions (BDS) yang menuntut Israel menghentikan penindasan terhadap Palestin, merobohkan tembok Tebing Barat dan mengiktiraf rakyat Palestin sebagai penduduk asal di negara tersebut.

Sekitar 2015 hingga 2017, Waters mendapat perhatian media barat apabila menulis surat terbuka kepada Bon Jovi, Radiohead dan Nick Cave supaya membatalkan konsert mereka di Tel Aviv dan bersolidariti bersama rakyat Palestin.

Sehingga kini, di usia 77 tahun, Waters masih kental dan lantang mengkritik kebobrokan penguasa dan ahli politik seluruh dunia. Sewaktu siri jelajah Us + Them dari 2017 hingga 2018, beliau secara terang-terangan mengkritik kepimpinan Donald J. Trump sehingga mengguris hati sebahagian besar peminat-peminatnya di Amerika.

Beliau digelar anti-semitik, American Express membatalkan tajaan $4 juta untuk siri jelajahnya, dihina peminat-peminatnya sendiri serta dikecam media, namun beliau tidak sekalipun berhenti bersuara. Walaupun tiada elemen punk dalam muzik Waters, namun jiwanya punk tegar!

𝐀𝐥𝐛𝐮𝐦 𝐓𝐞𝐫𝐛𝐚𝐢𝐤 𝐑𝐨𝐠𝐞𝐫 𝐖𝐚𝐭𝐞𝐫𝐬 𝐏𝐢𝐥𝐢𝐡𝐚𝐧 𝐏𝐞𝐧𝐮𝐥𝐢𝐬

𝐀𝐦𝐮𝐬𝐞𝐝 𝐭𝐨 𝐃𝐞𝐚𝐭𝐡 (𝟏𝟗𝟗𝟐)

Sebuah magnum opus dari segi produksi, penulisan lagu dan konsep. Album solo ketiga beliau ini membincangkan perihal kebergantungan manusia terhadap media dan di-alegorikan melalui imej sekumpulan beruk yang sedang menonton TV di kulit album. Rekaan kulit album ini diubah dalam versi keluaran semula pada tahun 2015 dan memaparkan seorang anak kecil sedang menonton TV dengan imej mata besar di skrin.

Waters mendapat inspirasi untuk album ini daripada sebuah buku karya Neil Postman yang berjudul “Amusing Ourselves to Death.”

Setiap patah lirik dalam album ini disampaikan dengan gaya metafora, sinikal serta paradoks dan memerlukan minda yang terbuka untuk mememahami isi yang ingin disampaikan. Suara ‘orang kebanyakan’ Waters yang kedengaran seperti bersajak turut memberi dampak lebih dekat dengan masyarakat yang terkesan dengan impak hiburan dan media yang merosakkan minda dan sedikit demi sedikit menghilangkan keupayaan manusia untuk berfikir dan membuat keputusan sendiri tanpa dipengaruhi pihak lain.

“This species has amused itself to death!”

Waters juga tanpa belas kasihan mengkritik manusia yang mahu menjadi tuhan, peperangan yang kini dilihat seperti sebuah acara sukan serta penunggang agama yang menjadi perosak apabila diberikan kuasa terlalu besar.

“Give any one species too much rope and they’ll fuck it up.”

Gitaris-gitaris handalan termasuk Jeff Beck, Steve Lukather dan Andy Fairweather-Low turut memberi input unik masing-masing dan mengangkat album ini ke tahap yang lebih baik.

Secara peribadi, Amused to Death adalah album terbaik sepanjang zaman bagi penulis kerana Roger Waters membuktikan bahawa tanpa suara yang merdu dan skill muzikal yang hebat, sesiapa pun mampu menghasilkan mahakarya dengan ‘idea’ dan pelaksanaan yang sempurna.

𝐋𝐚𝐠𝐮 𝐓𝐞𝐫𝐛𝐚𝐢𝐤 𝐑𝐨𝐠𝐞𝐫 𝐖𝐚𝐭𝐞𝐫𝐬 𝐏𝐢𝐥𝐢𝐡𝐚𝐧 𝐏𝐞𝐧𝐮𝐥𝐢𝐬

𝐄𝐚𝐜𝐡 𝐒𝐦𝐚𝐥𝐥 𝐂𝐚𝐧𝐝𝐥𝐞 (𝟐𝟎𝟎𝟎)

Walaupun lagu ini tidak pernah dirakam dalam mana-mana album, versi live-nya untuk album In the Flesh – Live (2000) berada di kedudukan pertama pilihan penulis sebagai lagu terbaik yang pernah ditinta Roger Waters.

Beliau mendapat inspirasi menulis lagu ini selepas membaca berita tentang kisah menarik sewaktu Perang Kosovo di mana seorang askar Serbia melihat seorang ibu (babushka) dan anaknya sedang menangis ketakutan. Tanpa ragu, askar tersebut melanggar perintah (break ranks) kemudian melutut memberi air, membalut luka dan menenangkan anak tersebut.

Waters yang selalunya membenci perang, kali ini menulis sesuatu yang indah di sebalik malapetaka dan ia adalah mahakarya epik yang mencengkam jiwa. “Each Small Candle” merupakan sebuah testamen bahawa setiap insan di dunia ini mampu menjadi lilin menerangi orang lain dalam kegelapan!

“Lying in the burnt out shell/ Of some Albanian farm/ An old Babushka/ Holds a crying baby in her arms/ A soldier from the other side/ A man of heart and pride/ Breaks ranks, lays down his rifle/ To kneel by her side.”

Paduan tiga gitar daripada Snowy White, Andy Fairweather-Low dan Doyle Bramhall memberi magis yang mampu menitiskan air mata, belum lagi cerita tentang permainan drum ketat Graham Broad dan pasukan choir yang mampu menaikkan bulu roma sesiapa sahaja.

Lagu ini bermula dengan melodi agak manis sebelum menghentak secara bertubi-tubi dengan kisah tragik pahit-manis di sebalik liriknya.

 


Penulis meletakkan Roger Waters di tempat kedua penulis lirik terbaik sepanjang zaman selepas Bob Dylan kerana lirik-lirik mereka memberi impak peribadi kepada penulis dalam membaca psyche manusia dan memahami dunia.

Bagaimana dengan kalian?

Tinggalkan Komen Anda

Anda juga mungkin meminati

Ala... Ada pasang Adblocker Eh?

Support la kitorang dengan benarkan ads di pelayar web korang. Kitorang faham memang sakit mata tengok ads ni. Tapi, kasi chance lah. 😅