“Euforia, from yesterday“.
Inilah antara bait yang bermain-main di fikiran penulis selepas Bhumiband meriliskan single terbaharu mereka yang bertajuk Euforia.
Bhumiband merupakan sebuah unit modern rock yang berasal dari Singapura dan menampilkan Awi Rafael di bahagian vokal. Sedikit info menarik berkenaan Bhumiband adalah band ini telah mula bertapak dalam industri sejak tahun 2003. Vokalis asal buat masa itu adalah Ard dan Awi Rafael sendiri, Hang Dimas yang kita kenali pernah bermain bersama Hujan turut bersama memegang posisi keyboard, Zuher selaku pemain dram, manakala gitar dan bass diisi oleh Athif dan Kif serta Eddy sebagai pemain perkusi. Mungkin peminat muzik di Malaysia lebih mengenali Awi Rafael dek kerana beberapa single beliau yang memperoleh maklumbalas dan penerimaan yang sangat baik di sini.
Naskah yang dipersembahkan oleh band yang pernah menyertai siri jelajah bersama Sheila On 7 ini juga turut hadir juga dalam bentuk video muzik (MV) yang menggunakan konsep Kecerdasan Buatan (AI).
Terlebih dahulu, penulis ingin menyentuh bab bunyian dan susunan lagu ini. Secara mudahnya ia adalah modern rock yang mesra radio. Vokal yang dilontarkan oleh Awi Rafael juga cukup rencah dan berkesan. Jika di Malaysia kita ada Hazama, di Singapura Awi Rafael antara penyanyi lelaki yang memiliki alunan vokal high and low serta falsetto yang sangat baik. Instrumen dengan bunyian elektronik pada permulaan lagu secara progresif juga merupakan susunan yang bijak, disusuli bahagian korus yang mendengarkan kesemua instrumen termasuklah gitar dijalinkan dengan nuansa moden yang gemilang dan enak di telinga.
Seterusnya pada bahagian tengah lagu, terdapat solo gitar yang bunyinya selari dengan korus dan terdapat bahagian solo keyboard. Minit 1:32 juga ada sedikit chugging dari gitar yang melengkapkan lagi lagu ini menjadi lebih segar. Penulis juga sempat mememubual Bhumiband secara dalam talian untuk mengetahui proses pembikinan lagu ini dengan lebih lanjut.
Sound dalam lagu terbaru Bhumiband kali ini kedengaran lebih moden. Ceritakan serba sedikit tentang proses rakaman dan hala tuju baru ini.
Kami bermula experimentasi dengan bunyian moden dari album “Inilah Dunia”. Dengan lagu-lagu seperti “Kau di hatiku” dan “Imaginasi ku”, kami berjinak-jinak dengan peralatan muzik moden. Selepas Covid, kami dapat berjumpa dengan Awi semula dan kami mula berbincang tentang lagu-lagu moden, dari situ la tercetus idea “Euforia”. Selepas itu kami siapkan demo lagu-lagu baru di studio Awi dan pada bulan december 2022, kami merakam beberapa buah lagu di Archive Studio – Kuala Lumpur. – Kif
Dengan lagu Euforia, kami mula rasa serasi dengan bunyian moden dan harapan kami ialah untuk mempersembahkan Bhumiband denagn identiti baru ini. Insya allah selanjutnya, kita akan merilis beberapa lagu Inggeris pula bersama Awi. – Zuher
Selepas album Inilah Dunia (2021) yang mengetengahkan ramai penyanyi undangan, Bhumiband akhirnya kembali dengan vokalis asal, Awi Rafael. Tetapi kenapa di tajuk lagu ada feat. Awi Rafael? Adakah status Awi Rafael sekarang hanya sebagai vokalis undangan atau bagaimana?
Semenjak Awi pindah ke KL untuk kerja seninya, Bhumiband turut berehat. Bhumiband mulai active semula pada tahun 2018 dan kami sudah pun buat rancangan untuk bersama Awi pada tahun 2021 tetapi Covid melanda. Pada waktu itu kami mula berkarya bersama beberapa Vokalis jemputan sebagai “featuring”. – Kif
Jadi dengan “Euforia”, kami gunakan semula “Bhumiband Feat. Awi Rafael” untuk elakkan salah faham buat pendengar. – Awi
“Kami rasa ramai yang tidak tahu Awi Rafael adalah penyanyi asal Bhumiband dahulu. Ia adalah satu keputusan strategik untuk mengetengahkan nama Awi Rafael dengan identiti baru kami.” – Zuher
MV untuk lagu Euforia menggunakan elemen AI yang agak memukau dan dikreditkan kepada Awi Rafael. Bagaimana idea untuk menggunakan AI ini hadir dan jika boleh kongsikan sedikit tentang aplikasi dan proses yang digunakan.
Pada zaman ini, teknologi merupakann sesuatu yg penting dan tidak dapat dielakkan buat semua pengkarya seni. Awi & Bhumiband memilih untuk sentiasa di puncak pembikinan muzik dengan alaf baru & sound baru. Awi sendiri sangat minat dari pembikinan music videos, Artwork, band management semuanya melalui AI.” – Awi
“Antara kami sendiri, perbualan topic selalunya pada teknologi seperti NFT, crypto, cloud platforms, jadi it was a natural move to go into this concept and break away from the current 60s band template” – Kif
“Kami bangga untuk menjadi antara band-band terawal di Singapura & Malaysia yang menggunakan teknologi terbaru untuk muzik kami” – Naz
Apakah keunikan Bhumiband yang boleh diketengahkan kepada pendengar di Malaysia?
Sound Indie rock Bhumiband, bersama genre-genre yang lain, harap-harap akan diberi sokongan. Seperti lagu OST Remp-It ‘Goda’ dan lagu-lagu Awi Rafael, kami harapkan kawan-kawan di Nusantara akan beri support yang padu untuk lagu ‘EUFORIA’. – Awi
Di SG sendiri kami belum lagi ada band yang menerapkan elemen synth dengan instrumen band tradisional. Dari situ kami harap ia akan menjadi satu keunikan di antara band-band yang ada di radio sekarang. – Naz
Dari sudut MV, sepatutnya tontonan bagi MV ini mendapat jumlah yang lebih tinggi. Ini kerana jika video ini ditonton pada layar kaca yang lebih tinggi resolusinya, pastinya pengalaman yang amat puas akan diperolehi. Konsep AI ini juga selari dengan perkembangan terkini.
Secara jujurnya, penulis tidak dapat berhenti mengulang main lagu ini. Semua pendengar boleh mengakses lagu ini di semua platform digital utama seperti Spotify dan lain-lain.
Penulis mengharapkan akan kemajuan Bhumiband dan juga Awi Rafael dalam industri muzik di Singapura mahupun Malaysia agar lebih dikenali ramai. Jika korang peminat Awi Raael, berikan peluang kepada Bhumiband pula selepas ini.
Ikuti Bhumiband di: