Kali terakhir penulis mendengar lagu rakyat Tanjung Puteri “dimetalkan” adalah melalui naskah As Sahar, Tanjung Puteri (Baku Karama, 1999). Baru-baru ini, sekali lagi legenda Tanjung Puteri disentuh dalam karya terbaharu Farasu berjudul Si Bongkok Tanjung Puteri yang meneroka sisi lebih gelap dan tragik; tentang pejuang yang dilupakan.
[bandcamp width=100% height=42 track=3773711939 size=small bgcol=ffffff linkcol=0687f5]
Lagu yang dikarang secara bersama oleh Nahax, Jack dan Mus Fidaiyyin manakala lirik pula ditinta oleh Shah Z ini dimulai dengan jampi serapah sebelum pendengar ‘diserang’ dengan riff melodic death metal yang penuh unsur ketimuran. Jika kita biasa mendengar nuansa Eastern Metal ala Sil Khannaz, vibe lagu ini dari segi struktur melodi, vokal dan lirikalnya memang amat mudah menangkap sanubari. Sekali dengar pasti nak diulang lagi. Farasu juga bijak mengadun pelbagai elemen lain ke dalam Si Bongkok Tanjung Puteri seperti bahagian gitar akustik yang catchy dan outro irama asli yang berkesan. Sebagai penerus legasi band-band Nusantara Metal terdahulu seperti Langsuyr, As Sahar, Tasyim dan banyak lagi, single ini adalah buah tangan yang pastinya ditunggu-tunggu peminat mereka selepas kali terakhir mengeluarkan album Sulalatus Salatin pada tahun 2018.
Apa yang menarik tentang lagu ini adalah ia melalui proses rakaman dan adunan di Malaysia kemudian mendapat khidmat mastering oleh Sean Magee di Abbey Road Studios, London. Hasilnya amat memuaskan hati, walaupun secara jujur, penulis lebih suka sound dalam album Sulalatus Salatin lagi. Tetapi itu hanyalah pendapat peribadi penulis sahaja.
Menurut Nahax, Si Bongkok Tanjung Puteri akan dimuatkan dalam album mereka yang seterusnya sekaligus menggambarkan konsep Nusachestra Metal yang akan ditampilkan nanti. Oleh itu, bolehlah kita jangkakan lebih banyak lagi karya-karya epik sebegini menanti untuk dipersembahkan kepada para peminat.
Kepada yang belum mengenali Farasu, unit ini telah ditubuhkan pada tahun 2002 dan sejak itu telah melalui pelbagai evolusi.Nama Farasu berasal daripada perkataan Arab yang bermaksud kuda. Ia dipetik daripada Sejarah Melayu (Sulalatus Salatin) dalam kisah Raja Suran mengembara ke dunia bawah laut yang digelar ‘Bum Sum’ dengan menunggang seekor kuda semberani yang bernama ‘Farasu al-Bahri’. Setakat ini, mereka telah menghasilkan sebuah demo (Millennium Of Madness, 2003), sebuah EP (Blackmoon Eclipse, 2006) dan tiga buah album iaitu Menongkah Arus (2010), Against Tyranny (2015) dan Sulalatis Salatin (2018). Barisan anggota terkini adalah Shah Z (Vokal), Nahax (gitar), Jack (gitar), Apai (Bass), Aman Keys (Keyboards) dan Mus Fidaiyyin (Drums).
Tambah Nahax lagi, video lirik Si Bongkok Tanjung Puteri juga bakal diluncur pada 20 November ini di saluran YouTube mereka. Bolehlah tekan butang peringatan mulai sekarang.
Ikuti Farasu di: