Fourtwnty Nalar Tour – Lebih Dari Sekadar Siri Jelajah

oleh Music Addicts Malaysia
699 bacaan

Kredit: Shiraz Projects

Penulis: Pokjay


Setelah lebih dua minggu berjelajah di rantau ini, berlabuhlah sudah tirai Fourtwnty: Nalar Tour bagi siri Malaysia dan Singapura.

Album Nalar merupakan rilisan penuh ketiga daripada kugiran Fourtwnty yang tidak asing lagi sebagai sebuah jenama dengan pembawakan bait-bait lirik yang puitis dan mencengkam jiwa. Tidak hairanlah bagaimana mereka dapat mengumpulkan kumpulan peminat yang cukup setia mengikuti perkembangan band asal Jakarta ini.

Kredit: Shiraz Projects

Bercakap dari sudut seorang yang bukan peminat tegar Fourtwnty, penulis yakin mengatakan sesiapa pun yang julung kalinya mendengar nyanyian Mas Ari pasti terpana akan keindahan vokal beliau. Malah, ketika menghadiri siri jelajah ini di Kuala Lumpur, terasa suatu perasaan seakan-akan jatuh cinta pada bunyian pertama. Persembahan secara langsung dari Fourtwnty merupakan sebuah surat cinta kepada peminat-peminat mereka dan ini terbukti daripada sebuah performa yang penuh jiwa dan perasaan dari mereka.

Kredit: Shiraz Projects

Siri jelajah kali ini sangat sarat dengan momen-momen yang akan kekal terpacak di minda para peminat. Persembahan dimulakan dengan lagu Nematopmorpha yang rancak menghidupkan audiens lantas menetapkan tempo bagi sepanjang kelangsungannya. Lagu High yang dibawa sebagai satu-satunya lagu berbahasa inggeris membawa para hadirin ke satu ruang minda seperti berada di sebuah majlis tari-menari tahun akhir sekolah tinggi seperti kita selalu tonton di kaca televisyen, di saat terlamun cinta penuh perasaan namun hendak menginjakkan diri ke umur dewasa. Pertunjukan cahaya yang tersusun indah juga berjaya mencapai  mood yang hendak disampaikan Fourtwnty.

Aku Tenang yang digemari ramai dinyanyikan Mas Ari sebagai sebuah dedikasi kepada sahabatnya yang telah pergi, menambahkan rasa sendu dan memberi suatu makna lebih indah pada lagu tersebut. Sebagai jeda, satu tayangan visual bertemakan horror digunakan membawa perlambangan kepada ‘kegilaan’ yang pasti pernah dilalui banyak orang. Selang beberapa lagu, sebuah lagi jeda menayangkan visual dengan tema yang sama, namun simboliknya kali ini adalah ‘kegelisahan’ yang sering datang sesudah ‘kegilaan’ membuatkan jelajah ini terasa seperti sebuah seni performatif.

Kredit: Shiraz Projects

Nyanyian Kita Pasti Tua dan Besi Tua secara back-to-back sangatlah cantik disusun bagi meluahkan bahawa kalau pun diri takut akan menjejakkan diri ke usia tua, hidup tidak segera berakhir dan hidup perlu dinikmati dan diteruskan.

Penutup persembahan dengan lagu-lagu Zona Nyaman dan Fana Merah Jambu, disulami galakan menari dari Mas Ari memberikan peminat suatu ruang terakhir untuk berdansa semahunya. Walaupun sesudah hampir dua jam berdiri, para peminat masih bertenaga untuk melompat dan bergembira bersama-sama.

 

Tinggalkan Komen Anda

Anda juga mungkin meminati

Ala... Ada pasang Adblocker Eh?

Support la kitorang dengan benarkan ads di pelayar web korang. Kitorang faham memang sakit mata tengok ads ni. Tapi, kasi chance lah. 😅