Fourtwnty : Nalar Tour Pengubat Jiwa-jiwa Rencam Di Pantai Timur

oleh Music Addicts Malaysia
1.1K bacaan

Penulis: ZainlRR

Foto: Mustaqim/Nourul


Sejujurnya penulis hanya baru mengenali Fourtwnty Ketika era PKP beberapa tahun sudah walaupun album pertama mereka sudah dirilis pada tahun 2015. Kelambatan mengenali kumpulan ini yang rata-ratanya diminati oleh remaja lingkungan 15 hingga akhir 20 tahun bukan penghalang bagi penulis untuk menyelongkar karya-karya mereka.

Sedikit kekesalan berlaku dalam diri penulis apabila terlepas persembahan live mereka dalam rangka konsert Heliotropisme di Kuala Lumpur tahun sudah. Namun kegalauan jiwa terubat apabila pada tahun 2023 ini mereka menggerakkan siri jelajah ‘Nalar’ mereka di empat bandaraya utama semenanjung yang bermula di Kuantan, Pahang. Pastinya ini merupakan keseronokan besar buat peminat mereka di negeri Pahang khususnya dan Terengganu serta Kelantan amnya.

Apa lagi yang kami semua di Kuantan andalkan selepas terbitnya album ketiga selain datang dan menikmati persembahan langsung dari kumpulan pop folk yang membawakan pelbagai irama dalam setiap lagu-lagu mereka. Sesuai dengan lanskap Kuantan yang terkenal dengan pantai dan air terjun, kumpulan ini juga mempunyai variasi irama dari RnB, jazz hingga reggae. Hal irama bagi penulis biasa sahaja. Sama dengan band-band pop terkini indonesia. Namun apa yang semakin menarik minat penulis ada baur-baur keMelayuan yang kuat dalam lirik mereka. Ia sangat berbeza dengan kebanyakan band Indonesia lain. Lebih realistik romantismanya malah tidak terlalu hiperbolik …jujur.  Setelah kami menelusuri kisah band ini, penyanyi dan penulis liriknya Ari Lesmana berasal dari Pekan Baru, Riau. Patutlah Melayu sangat liriknya. Senang tangkap oleh pendengar di sini.

Dalam persembahan langsung di Stadium SUKPA Kuantan, Ari sangat tidak kekok berkomunikasi dengan penonton bumi Pantai Timur Semenanjung ini. Lagak dan gaya Fourtwnty sangat natural dan bersahaja. Nuwi tetap tenang dengan gitarnya dan hanya perlu duduk santai sepanjang persembahan namun tetap memberi energi kepada Ari seterusnya dipindahkan kepada penonton. Roots kekal dalam bentuk sebuah gitar akustik dalam konsert ini. Entah bila agaknya peminat-peminat Fourtwnty dapat melihat Roots dalam bentuk seorang manusia? Hanya mereka dan Maha Esa yang tahu. Inilah identiti unik Fourtwnty.

Penulis sedar persembahan kali ini terbahagi kepada beberapa bahagian yang sangat berubah-ubah moodnya. Dengan bantuan kesan cahaya yang baik dan persembahan visual yang sangat konseptual sebagai latar mengiringi lagu-lagu yang dialunkan sangat synchronize antara deria pandang dan dengar. Kami semua sangat terhibur sepanjang dua jam persembahan kerana direksi mereka dengan memainkan pelbagai mood penonton. Satu persembahan yang tidak malar. Sengaja penulis tidak menyatakan susunan lagu dalam persembahan pertama siri jelajah Konsert Nalar Tour ini kerana mereka ada tiga lokasi lagi untuk melengkapkan siri ini. Anda yang berada di utara, barat, dan selatan perlu merasai pengalaman berenang dan terbang melayang sendiri tanpa ‘multi spoiler’ dari kami.

Secara keseluruhan, penulis antara yang terakhir keluar dari stadium. Dari wajah peminat Fourtwnty yang hadir, kami tidak nampak satu pun keluar dengan wajah berkerut dan duka lara. Fourtwnty berjaya mengubat jiwa-jiwa rencam di pantai timur di hari Jumaat yang berkat ini.

Dengan berakhirnya episod pertama Nalar Tour di Stadium Tertutup SUKPA Kuantan, selepas ini Fourtwnty akan meneruskan siri jelajahnya di Johor Bahru, Pulau Pinang dan berakhir di Kuala Lumpur. Syabas dan jutaan terima kasih buat Shiraz Project kerana membawakan Fourtwnty ke bumi Pantai Timur Semenanjung Malaysia setelah lama kami tunggu kehadirannya di sini.

Tinggalkan Komen Anda

Anda juga mungkin meminati

Ala... Ada pasang Adblocker Eh?

Support la kitorang dengan benarkan ads di pelayar web korang. Kitorang faham memang sakit mata tengok ads ni. Tapi, kasi chance lah. 😅