Artikel sumbangan: Wan Ahmad Syakir
Tanggal 29 Julai 2023 merupakan detik bersejarah bagi peminat-peminat kumpulan Muse di Malaysia. Hello Universe sebagai penganjur mengumumkan band asal UK ini akan singgah ke Kuala Lumpur bagi mempromosikan album terbaharu mereka, Will of the People dan ia merupakan satu-satunya lokasi yang dipilih untuk jelajah mereka di Asia.
Untuk aku yang tidak sempat merasa zaman kegemilangan mereka di sekitar era lewat 90 an dan awal 20 an, peluang ini pasti tidak akan dilepaskan. Kali terakhir Muse datang ke Malaysia, ketika itu aku masih di bangku sekolah. Ketika itu,
kekangan masa, komitmen dengan pelajaran, soal wang dan pengangkutan, izin dari ibu bapa merencatkan hajat tersebut. Kali ini, aku tidak akan persiakan. Aku dah besar!
Keterujaan melihat band yang aku explore sendiri bersama-sama rakan yang sama citarasa, yang sebelum ini hanya mampu aku tonton di YouTube dan album fizikal, tidak dapat dibendung lagi sebaik sahaja kaki melangkah ke perkarangan Stadium Nasional Bukit Jalil. Auranya hadir meresap dalam diri menandakan tubuh sudah tidak sabar lagi ingin menikmati hidangan muzik daripada kumpulan yang ditubuhkan sejak 1994 dan telah memenangi dua anugerah Grammy ini.
Rata-rata peminat yang hadir segak menggayakan t-shirt Muse. Ada juga yang berfesyen aneh-aneh seperti baju liplap liplap seperti M.Daud Kilau. Tapi peduli apa. Hak berfesyen hak masing masing. Muzik dan fesyen berpisah tiada.
Peminat yang hadir rata-ratanya manusia yang digelar 90’s baby. Terasa diri amat kecil dan malu untuk berdiri bersama otai-otai ini. Sempat berbual dengan seorang brother dari Shah Alam. Beliau menyatakan kali terakhir Muse datang ke Malaysia, full house. Padat! Untuk edisi kali ini, agak kurang jika nak dibandingkan dengan edisi lepas. Mungkin generasi hari ini tidak mengenali siapa Muse, atau mungkin faktor clash dengan konsert lain pada hari yang sama. Atau mungkin juga, generasi sekarang lebih meminati konsert berkonsepkan galau dan malam healing.
Walaupun disidai hampir satu jam menunggu susuk tubuh Matt Bellamy dan rakan-rakan melangkah masuk ke atas pentas, ditambah dengan bahang panas, itu sedikit pun tidak mematahkan semangat penikmat Muse. Sebaik sahaja kedengaran intro lagu Will of the People dimainkan, hati bagaikan dirasuk. Keriangan jelas terpancar di wajah semua peminat setia yang hadir dari setiap pelusuk negara, bahkan ada yang datang dari negara jiran seperti Thailand, Singapura dan Indonesia.
Bila tiba giliran lagu Plug in Baby dimainkan, jiwa sudah tidak siuman lagi, rasa nak Hysteria dan teriak sekuat-kuatnya. Terlalu menggamit kenangan kerana ini merupakan titik perkenalan aku dengan Muse. Masih segar di ingatan, inilah lagu pertama aku belajar di gitar Kapok pada usia 13 tahun. Hampir menitis air mata jantan apabila lagu ini dimainkan. Lantaklah orang nak cakap diri ini Psycho ke, Madness ke, persetankan semuanya. Muse kot!
Melalui pemerhatian, memang berbeza personaliti dan perwatakan Gen Z dan Gen Y (millenials) ketika di konsert. Gen Y lebih bersifat santai, cool dan matang dalam menikmati muzik. Amat jarang sekali melihat mereka memegang telefon merakam detik emas Muse di pentas. Kelakuannya lebih behave, tidak terkinja-kinja dan saling menghormati.
Ya benar, faktor usia mungkin merencatkan semua itu, atau mungkin darah muda mereka telah basi, tetapi generasi ini beruntung kerana di zaman mereka terlalu banyak kugiran hebat yang muncul. Mungkin juga mereka membesar seiring muzik ini meningkat naik, jadi sudah masak serba serbi cara sebenar menikmati muzik. Gen Z, perlu belajar dengan orang lama!
Pun begitu, sebagai Gen Z yang digelar murtad peredaran zaman muzik, aku berbangga 3/4 lagu keseluruhan dalam setlist yang dibawa tempoh hari mampu aku singalong dengan funnya.
Siapa kata tiada Gen Z layan Muse? Siapa kata Gen Z hanya tahu satu lagu, Time is Running Out sahaja? Siapa kata “Ala Gen Z mesti tak hafal lirik Resistance?” Siapa kata, siapa kata? Aku salah seorangnya peminat Muse dari Gen Z.
Aku Gen Z, aku hadir #museliveinKL .