
Kredit imej: Astro Awani
2 November 2019 merupakan tarikh bersejarah dan keramat buat semua peminat kugiran yang menjadi perintis muzik grunge tempatan sekitar awal 90-an dahulu, tidak lain tidak bukan; Butterfingers. Konsert yang diadakan di Stadium Malawati ini adalah bersempena menyambut ulangtahun ke-20 album studio mereka yang ketiga berjudul Transcendence. Naskah yang diterbitkan pada tahun 1999 itu memahat pelbagai sejarah serta nostalgia kepada remaja seantero Malaysia dan ribuan peminat hadir dari serata pelosok negeri hingga mengakibatkan semua merchandise rasmi habis dijual ketika itu.
Konsert ini menjadi eviden betapa aura dan gelombang dibawa oleh Butterfingers masih berada di makam yang tertinggi. Walaupun Loque selaku gitaris utama mengakui beliau dan anggota lain seakan offline di media sosial dari mempromosikan konsert ulangtahun yang amat bermakna ini, tetapi kesemua tiket habis licin dijual and it’s Ruin By The Selling Out. Begitulah kuasa viral peminat muzik Malaysia yang kita sangkakan telah mati.
Walaupun penulis tidak berpeluang untuk turut sama menyaksikan hari bersejarah tersebut dek beberapa kekangan yang dihadapi di selatan tanah air, namun aura Butters sebelum, semasa dan selepas konsert itu berlangsung telahpun merebak bertebaran ke setiap muka bumi Malaya. Semua peminat tidak kira baru atau lama, tua atau muda termasuk unit Royal Butters sibuk berkongsi memori, trivia, ulasan album dan lagu-lagu dalam album yang pernah menjadi siulan anak muda suatu ketika dahulu ini. Itu belum cerita pasca konsert lagi di mana lebih sebulan peminat masih tak boleh ‘move on’ dengan atmosfera konsert tersebut. Banyak benar kenangan yang mahu dikongsikan mereka, tetapi kesemuanya sangat positif dan membanggakan.
Jika ditanya penulis, lagu yang menjadi kegemaran penulis ketika konsert tersebut bukanlah The Chemistry yang sudah menjadi kebiasaan dan agak overplayed. Namun penulis gemar akan persembahan mereka dalam lagu Mermaids (Fair-God And Stone Faces). Mungkin kesan khas tremolo dan wah-wah yang dimainkan Loque seolah meninggalkan parut memori yang tak dapat dapat dilupakan. Walaupun tidak berpeluang untuk hadir bersama, penulis dapat merasakan kesedihan dan kekecewaan para penonton yang berada di situ dek peristiwa Kadak yang tidak dapat meneruskan persembahan kerana mengalami sesak nafas. Lagu Chrome yang dimainkan selepas insiden itu menjadi agak suram kerana tiada bassline yang berbunga dari Kadak dan pukulan dram maut dari Loko. Tapi tidak mengapa, kita hanya mampu merancang tetapi hanya Tuhan yang menentukan.
Penulis percaya semua peminat pasti menanti Butterfingers mengadakan konsert ulangtahun sebegini lagi selepas ini dengan skala yang lebih besar. Mungkin balas dendam untuk festival Nusa Fest 2020 yang terpaksa ditunda kerana pandemik Covid-19?

Kredit imej: Maskulin.
Kami selaku peminat dan mewakili Royal Butters juga turut berharap akan ada cetakan semula (reissue) bagi album 1.2 Milligrams, Transcendence dan Selamat Tinggal Dunia khas dari Butterfingers sendiri. Kepada Royal Butters sampaikanlah perkhabaran ini ke telinga-telinga Loque, Emmett, Kadak dan juga Hafiz Loko bahawa kita semua ternanti-nanti akan koleksi reissue tersebut.
Akhir kata, there’s no Antidote for us to Love cause we had been Ruin By The Selling Out. Kami akan kekal Mati Hidup Kembali selama 1000 Tahun.