Oleh: Wan Ahmad Syakir
Jika dahulu Si Luncai terjun bersama labu-labunya di laut, tahun 2024 memperlihatkan giliran Hang Tuah mengetuai Luncai Emasnya terjun ke gelanggang Tamasya Anak Muda.
Kiasan ini adalah manifestasi kepada festival Tamasya Anak Muda: Pesta Jiwa Rakyat yang berlangsung pada tanggal 5 hingga 6 Januari yang lepas. Bertempat di JioSpace, Petaling Jaya, Dato’ M. Nasir selaku penghulu Luncai Emas Sdn Bhd telah membuka kalendar tahun 2024 dengan mempertaruhkan gabungan beberapa artis solo dan kumpulan di bawah naungannya dan juga bakat-bakat baharu untuk berkongsi satu gelanggang pada festival tersebut. Antara nama-nama yang mendapat “restu” daripada maestro muzik Malaysia ini termasuklah Fazleena & The Lasykar, Arish Mikael, Pitahati, Amir Jahari, Satwo, Margasatwa, Leaism, Jemput Dengar dan Iqbal M.
Formula rahsia nama-nama artis yang diadun sendiri oleh produksi Luncai Emas untuk beraksi di atas pentas tersebut ternyata mengena dan sesiapa sahaja yang hadir pada hari tersebut bagaikan terkena sihir. Syahdu yang dicari-dicari itu bagaikan hampir sampai kepada peminatnya namun sedikit tergantung dek beberapa faktor yang mungkin di luar jangkaan pihak penganjur sendiri. Entah di mana silapnya, kualitas bunyi pada hari itu kedengaran seperti Dayang Juita mengerang tak cukup sifat. Jika tidak salah, kualitas bunyi merupakan ‘steroid’ bagi sesebuah festival. Peminat yang sanggup menghabiskan ratusan ringgit berhak mendapatkan kualiti yang semaksimumnya. Bukanlah niat menghentam, sekadar berkongsi rasa sebagai seorang peminat.
Apa yang membimbangkan ialah apabila saya mendengar desas-desus yang mengatakan terdapat double standard venue terhadap artis-artis tempatan. Kemampuan sebenar speaker diletakkan limiter membuatkannya kedengaran sebu dan tidak seimbang antara instrumen. Bukankah bila penganjur membayar penuh, mereka berhak untuk mendapatkan kualiti maksima?
Pun begitu, acara terjunan tetap diteruskan dengan professionalnya oleh barisan penerjun. DJ Set meningkat naik, Jemput Dengar merasmikan gelanggang tersebut. Diikuti comeback daripada Fazleena & The Lasykar, benar- benar memberi ruang kepada peminat mereka melepaskan rindu kepada sebuah supergroup gabungan pada satu ketika dahulu yang menampilkan lagu-lagu puisi kontemporari.
Arish Mikael, seorang penyanyi jalanan yang kini melangkah ke fasa artis rakaman, memiliki suara mirip penghibur lagenda, Allahyarham Sudirman membuktikan beliau berhak berkongsi gelanggang tersebut. Suara dan personalitinya benar-benar membuatkan sesiapa yang hadir terpukau melihat persembahannya pada hari itu.
Acara terjun di gelanggang tersebut diteruskan oleh Satwo dan Leaism sebelum festival berhenti berehat. Kedua-dua nama ini tidak perlu dipertikaikan lagi akan kualiti dalam identiti mereka. Pengunjung pasti akan terkesima melihat energi yang ada pada mereka. Disebabkan itulah mengapa dan kenapa mereka tersenarai dalam artis solo/duo pilihan untuk Anugerah Pemilihan MAMY 2023.
Margasatwa, Amir Jahari, Pitahati dan Iqbal M. boleh dianggap sebagai medan pemanas badan yang paling efektif kepada pengunjung pada hari tersebut sebelum mengadap Hang Tuah. Jika di persembahan sebelum itu, pengunjung kelihatan masih ‘malu-malu’ untuk ekspresikan jiwa, kehadiran empat penerjun ini mula mengeluarkan roh nabati dan rewani mereka. Tangan dihayun, kaki melangkah ke kiri kanan mengikut rentak, senyuman terserlah menguntum dan peluh membasahi dahi menandakan kehangatannya kian terasa. Bak kata pengayuh perahu si Luncai, “Biarkan! biarkan!” Biarkan mereka bersedia mencapai syahwat bertemu Hang Tuah.
Momen paling dinanti-nanti, pastinya melihat Hang Tuah terjun ke gelanggangnya sendiri. Kelihatan susuk tubuh legenda berusia 66 tahun yang segak berpakaian kemeja kasual, menyarungkan topi di kepala, berseluar jeans, berkasut Fung Keong melangkah masuk ke gelanggang bersama-sama jiwa mudanya. Jika ada 1,500 orang di hadapan gelanggang menonton, nescaya kesemuanya pasti inzal hatta yang mati pucuk sekalipun sebaik sahaja beliau mengeluarkan suara emasnya mengalunkan bait-bait lirik.
Lebih kurang 12 senarai lagu yang dibawa selama satu jam bagaikan tidak terasa jarum saat berdetik. Antara lagu-lagu yang dibawakan adalah Gerhana, Raikan Cinta, Apokalips, Mentera Semerah Padi, Phoenix Bangkit Dari Abu dan Falsafah Cinta. Paling mencuri perhatian, Hang Tuah turut mendendangkan lagu-lagu tulisannya yang pernah dipopularkan Search dan Wings seperti Gadisku, Hukum Karma dan Pawana.
Jika ingin melihat Hang Tuah berjoget, malam itu adalah waktunya. Tanpa berehat dan berhenti minum walau seteguk air pun, energinya tidak berkurang walau sekelumit pun. Begitulah figura Hang Tuah membuktikan akan kehebatannya ketika berkarya.
Suara emasnya masih tidak berubah, tidak langsung memerlukan AI. Kualiti bunyi sewaktu set Hang Tuah ini juga adalah yang terbaik pada malam itu membuatkan beberapa penonton di bawah menitik air mata melayan keasyikan seni dan teknologi bersatu. Mungkin juga pada waktu ini sudah tiada lagi ‘limiter?’
Festival ini juga turut dihiasi dengan Tamasya Sunburst Marketplace di perkarangan luarnya untuk penggemar yang mencintai seni kreatif. Pelbagai material seni kreatif dapat diterokai oleh pengunjung secara percuma sambil merasai pengalaman membeli belah ditemani alunan muzik busking dan persembahan dikir barat. Ruangan khas ini berjaya mengetengahkan dan memberi platform kepada produk lokal untuk mempromosikan hasil tangan mereka dan berinteraksi lebih dekat bersama para pengunjung. Sejujurnya, objektif pihak penganjur yang ingin membuka pintu kepada revolusi budaya yang diilhamkan oleh seni dan muzik berjaya dicapai dengan jayanya.
Begitulah sedikit coretan cetek ilmunya daripada saya sang penulis di Gelanggang Tamasya Anak Muda ini. Syabas diucapkan kepada pihak penganjur atas kejayaan festival ini. Sekalung tahniah juga diucapkan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan festival ini. Dan juga, kepada anda-anak muda yang hadir pada festival tersebut, tahniah kerana memiliki jiwa yang tidak penat lelah mengangkat kepelbagaian tradisi dan budaya di negara kita. Sampai berjumpa lagi.
Jika Si Luncai datang mengadap raja dan menggula-gulakannya, sang penulis akan mengadap bonda dan mengatakan, “Bonda, saya telah melihat pencipta gula manisan muzik di Malaysia”. Dialah, Hang Tuah (M.Nasir) bersama Luncai Emasnya.