Hausboom Music 2023 (Hari Pertama) – Gergasi, Gempita, Gemilang!

oleh Music Addicts Malaysia
920 bacaan

Kredit: cstproduction

Penulis: Aerol Roslan


Tiga adjektif yang bermula dengan huruf G dapat penulis simpulkan untuk Hausboom Music 2023 yang membuka tirai pada 9 September 2023 di Sepang International Circut (SIC). Gergasi kerana barisan artis yang terlibat bukan calang-calang, pentas pun bukan main besar dan canggih. Gempita kerana laungan dan sokongan pengunjung sangat bertenaga meskipun cuaca sedikit tak mengizinkan di waktu petang dan gemilang sebab boleh dik!

Acara muzik  yang telah memasuki siri ketiga penganjurannya kali ini mendapat kolaborasi bersama Affin Bank, dan disokong oleh Cuti-Cuti Malaysia, Era dan Gempak.com sebagai rakan radio dan rakan digital rasmi.

Kali ini barisan penghibur yang mengisi slot pada hari pertama dan kedua festival ini bukan calang-calang. Meskipun ada suara-suara sumbang yang mempertikaikan penukaran beberapa artis dan waktu persembahan, pada pendapat penulis, penganjur cuba untuk berlaku adil kepada semua orang. Iyalah, muzik menyatukan semua, dan semua harus belajar menerima semua jenis aliran muzik yang ada. Belajarlah kalian untuk membuka dan menikmati momen yang ada!

Penulis diberi peluang untuk menggalas tanggungjawab untuk merasai sendiri dan menyaksikan kegempitaaan hari pertama (dan membuat liputan), terima kasih kepada penganjur dan MAMY atas peluang ini! Jangan risau, penulis tidak pulang dengan tangan kosong.

Tapak acara dibuka seawal jam 10 pagi. Kalau tengok kemaskini Instagram rasmi Hausboom, seawal 9.30 pagi lagi ratusan manusia sudah pun berada di pekarangan SIC untuk menebus tiket. Walaupun persembahan pertama dijadualkan sekitar 12.00 tengah hari, mereka yang datang awal ini sudah cukup menggambarkan bahawa mereka sudah tidak sabar untuk menyumbang (wang dan tenaga) untuk menjayakan hari pertama ini. Hebat anak muda!

Tapi dalam keterujaan penulis, sejujurnya penulis merasakan sedikit kecewa terhadap diri sendiri kerana tidak mampu hadir seawal mungkin untuk menyaksikan beberapa penghibur ternama seperti Orkes A. Hizadin, Naratu dan IamNeeta dek masalah logistik dan pengangkutan di saat akhir. Lagi buatkan penulis gigit jari apabila melihat sorotan yang dikongsi penganjur di mana ketiga-tiga kumpulan ini membuka tirai hari pertama dengan meriah sekali. Lautan manusia sama-sama bertepuk dan melambai sambil menyanyikan lagu-lagu hits kugiran kegemaran masing-masing walaupun matahari sudahpun terpacak tinggi di kepala! Ah, rugi teruk.

Tapi tak mengapa kerana penulis berjaya sampai juga dan terus bergegas untuk menyaksikan persembahan ulung artis seberang, Hyndia yang buat pertama kalinya ke Malaysia. Dendangan beberapa lagu ikonik dari album Senandika seperti Palung Mariana dan Your Wa Is Super Cool didendangkan. Entah mengapa persembahan Hyndia ini membuatkan penulis sedikit emosi. Mungkin disebabkan energi yang diberikan Nan Tusum (vokalis) sampai ke hati ribuan pendengar.

Akeem emosi di atas pentas. Kredit: cstproduction

Seterusnya, rapper yang penulis tak sabar nak tengok depan mata, Akeem Jahat beraksi di pentas besar tersebut. Cuaca panas terik tak menghalang Akeem untuk beraksi dekat dengan peminatnya. Kehadiran Hullera dalam beberapa lagu menggamatkan lagi suasana dengan beberapa lagu kolaborasi mereka. Dan pertama kali juga penulis dapat menyaksikan persembahan penuh emosi Pesanan Mama. Top Notch! Penulis juga tersentuh dengan pembawakan lagu tersebut!

Sekitar tiga petang, giliran Budak Nakal Hujung Simpang pula untuk membuat persembahan. Pengunjung juga makin bertambah dan kumpulan reggae (atau reggae makrifat bak kata John Bear) ini boleh dikatakan MVP untuk slot petang kerana membuatkan keadaan haru-biru! Dengan berbusana baju sekolah, mereka mendendangkan beberapa lagu dari album Darsana, lagu ikonik NADA dan Cari Tapak membuatkan semua orang tak duduk diam dan berhibur bersama. Surfing trademark juga berjaya dilakukan pada tahun ni! Hebat Budak Nakal!

“Pulang! Pulang Sekarang!” Kredit: cstproduction

Insomniacks mengambil alih slot persembahan sekitar 3.30 petang. Pada awalnya energi yang disumbangkan kepada pengunjung sedikit merudum. Mungkin kerana kurangnya interaksi Iqie (vokalis) terhadap pengunjung, tapi kembali meningkat apabila mereka mendendangkan lagu hits mereka, Reminisensi dan Pulang. Semua orang menyanyi bersama sambil melambai tangan! Lagu putus cinta sentiasa membuatkan orang singalong together!

Gerhana Skacinta menyusuri dan mereka memberikan tenaga 110% kepada pengunjung. Walapun langit sudah mula menitiskan hujan, GSC tetap memberikan komitmen kepada ribuan pengunjung. Memang tak sah kalau mereka tak nyanyi lagu Senyuman Ragamu, This Is Ska dan menutupi persembahan mereka dengan Ali Baba Ska! Pengunjung di general area dan di rock zone tak lepaskan peluang untuk berbaris dan berkereta api ketika lagu tersebut didendangkan. Habis saja lagu, hujan terus turun dengan lebat!

Berbaki tiga artis dan kumpulan, jadual sedikit dianjakkan kerana cuaca yang tak mengizinkan. Tapi nasib baik tak lama dan pentas kembali dibuka dan No Good! Hujan tak hujan, yang penting laungan “Yak Boktey Yak Boktey Yak Boktey” berkumandang di SIC! Ramai tak duduk diam bila Suay dinyanyikan dan moshing  ketika lagu berhantu mereka, Che Using dimainkan!

Layan Exists dari general zone.

Memasuki jam terakhir untuk slot petang, kumpulan otai Exists mengambil alih persembahan. Kali ini penulis menyaksikan persembahan mereka dari general zone sambil mengisi perut. Tak sangka, layan juga mendengar lagu Mengintai dari Tirai Kamar dan Alasanmu sambil makan pizza dekat kawasan ini. Ramai yang berdiri singalong dengan penuh semangat sama seperti mereka bernyanyi di pusat-pusat karaoke. Terbaiklah Exists!

Dan penutup untuk slot petang, siapa sangka dangdut sebenarnya mampu memecah ego para jejaka yang datang berkunjung untuk mendengar lagu rock dan punk semata? Nah, Baby Shima bersama band jemputan, Himalaya (@himalayaproject) sambil diiringi dua penarinya membuatkan semua bergelek bersama. Dendangan lagu Pura Pura Bujang dan beberapa lagu hits seperti Secangkir Madu Merah dan Kopi Dangdut cukup membuatkan semua orang bergelek mundur, maju dan ke bawah bersama Baby Shima. Bukan main ya semua! Slot petang berakhir sekitar jam tujuh dan akan kembali bersambung semula pada jam lapan.

ForceParkBois Vs ChronicalZ menggamatkan pentas.

Sekitar jam lapan, slot malam bermula. Lampu pentas dan LED menceriakan lagi suasana malam. Bermula dengan ForceParkBois Vs ChronicalZ, kedua-dua entiti hip-hop ini masing masing merancakkan suasana malam dengan dendangan lagu-lagu mereka. Kali ini mereka membawakan konsep mash-up battle di mana pengunjung sendiri dapat menyaksikan lagu-lagu seperti Massa, Top Boi, Check Kat Beg berkumandang. Ini juga merupakan kali pertama penulis menyaksikan persembahan bertenaga mereka. Chaos habis!

Persembahan memukau daripada Alif Satar & The Locos. Kredit: cstproduction

Alif Satar & The Locos kemudiannya mengemudi slot malam tersebut. Pada awalnya penulis sedikit skeptikal dalam tindakan penganjur meletakkan mereka ini pada slot malam, tapi ternyata penulis silap. Siapa sangka sebenarnya ramai yang terhibur dengan kemunculan mereka ini dan lagu Lelaki Seperti Aku dan Jangan Nakal mendapat sambutan luar biasa oleh para pengunjung. Siap ada yang suruh diulang kembali dengan melaungkan “Baby” berulang kali. ALTS juga turut mendendangkan lagu hits mereka Anugerah Terindah dan mashup lagi Dan bersama Mungkin Nanti.

Antara persembahan paling mantap di hari pertama Hausboom Music 2023.

Band legenda Spider merancakkan lagi suasana. Lagu ikonik dari album Aladin (Aladin, Kasih Latifah) didendangkan penuh bertenaga dan paling ditunggu-tunggu lagu Relaku Pujuk dinyanyikan dengan penuh penghayatan bersama-sama ribuan pengunjung sambil menyalakan flashlight di telefon masing-masing. Spider menutup persembahan mereka dengan lagu Laukku Cukup Masin.

Bunkface menakluk Hausboom Music 2023.

Memasuki jam 10.30 malam, Bunkface merancakkan lagi suasana malam. Ketika ini energi sedikit merudum mungkin disebabkan kepenatan tetapi Sam (vokalis) tetap memberikan tenaga yang luar biasa kepada pengunjung. Lagu Rentak Laguku, Malam Ini Kita Punya dan Revolusi memecahkan keheningan dan kepenatan malam.

Search menutup persembahan di hari pertama Hausboom Music 2023 dengan jayanya.

Slot malam berkakhir dengan kumpulan ikonik Search! Fantasia Bulan Madu menjadi lagu pembukaan dan semuanya bernyanyi bersama. Tetapi energinya sedikit menurun di pertengahan persembahan tapi berjaya dinaikkan semula menerusi lagu Pawana, Pelesit Kota dan lagu terunggul mereka Isabella. Ternyata otai masih berbisa dan Search berjaya menutup tirai hari pertama dengan jayanya!

Dari segi masa, meskipun slot malam over-run dan pada petangnya pula hujan, pada pandangan penulis, penganjur berjaya untuk memastikan setiap inci teknikal dan susun atur acara berjalan dengan lancar. Semoga Hausboom meneruskan lagi festival ini pada siri yang akan datang dan mungkin juga menambahkan slot yang ada.

Dari segi barisan penghibur pula, penganjur boleh dikatakan bijak dalam mempelbagaikan genre yang ada sehabis baik. Hari pertama sudah menyaksikan pelbagai genre yang pada penulis adil untuk semua. Macam nasi kerabu, meriah dan cukup rasa.

Dari segi acara, logistik dan teknikal pada penulis lebih baik berbanding penganjuran sebelumnya. Mereka telah mengambil kira segala maklum balas yang diutarakan pada penganjuran sebelumnya dan menambah baik kualiti yang ada.

 

Tinggalkan Komen Anda

Anda juga mungkin meminati

Ala... Ada pasang Adblocker Eh?

Support la kitorang dengan benarkan ads di pelayar web korang. Kitorang faham memang sakit mata tengok ads ni. Tapi, kasi chance lah. 😅