IDENTITY – THE CATALYST

oleh Music Addicts Malaysia
1.6K bacaan

Band: 𝐼 𝐷 𝐸 𝑁 𝑇 𝐼 𝑇 𝑌

Tajuk Single: The Catalyst

Tarikh Pelancaran: 20 Mac 2020

Genre metalcore yang pernah meletup di dunia malah di Malaysia suatu ketika, kini tidaklah serelevan dahulu walaupun pertumbuhan band-band metalcore di Malaysia melalui fasa naik turun. Paling meriah ketika saudara Rom Mohd Nor, bos ROTTW secara tidak langsung bertanggungjawab menaikkan band-band metalcore tanah air melalui penganjuran ROTTW Soundstage.

Nama-nama seperti Massacre Conspiracy, Tres Empre, I,Revival,The Padangs dan beberapa band metalcore lainnya pada waktu itu dengan mudah memecahkan pasaran metalcore tanah air, namun di tahun 2020 kemeriahan tersebut semakin mengecil.

Tetapi usah khuatir. Sebuah berita gembira kini beredar apabila band metalcore dari Kuala Lumpur yang menggelarkan diri mereka dengan nama Identity hadir memeriahkan lagi majlis metalcore tanah air, menyaksikan kemunculan mereka tidak hanya dengan tangan kosong malah kehadiran ini sudah pasti menguntumkan senyuman manis di bibir, apabila mereka secara rasminya melancarkan debut single yang bertajuk “The Catalyst” pada 20 Mac 2020.

Identity yang dibarisi oleh 5 sahabat ini diawali dan diasaskan oleh saudara Arn yang pernah bersama Ballad For Layla pada suatu ketika dahulu dan Arn juga bertanggungjawab memutuskan kesiapsiagaan penubuhan band Identity ini. Selain itu, Identity yang ditubuhkan secara rasmi pada May 2016 ini telah menyertai Battle Of The Band anjuran Perodua pada tahun yang sama dan berjaya mendapat anugerah Best Performance.

Mereka tidak berhenti di situ, malah memutuskan untuk mula serius meneruskan perjalanan dengan menulis beberapa lagu dan mencari ‘bunyi’ mereka sendiri walaupun pada awalnya sekadar sebuah band jamming yang menyadur lagu-lagu popular band-band metalcore terkenal.

Okay, cukup dengan perkenalan. Menariknya, di atas segala urusan metalcore dunia, band ini menampilkan bukti-bukti bahawasanya genre metalcore di Malaysia belum mati. Salah satu perkara yang penulis hendak sentuh ialah single ini tidak lebih dan tidak kurang seperti di awal penubuhan As l Lay Dying. Menariknya, turut kedengaran bahagian spoken-words seperti hero metalcore dari Aussie, iaitu Stepson. Jika digabungkan, ternyata Identity berjaya menjana kredibilitinya dengan bunyi-bunyian yang teliti, seiring langkah band-band metalcore lain di seluruh dunia yang bereksperimentasi mencari bunyian baharu.

Di samping itu, vokal memainkan peranan penting dalam lagu “The Catalyst” ini. Elemen ini sangat penting untuk memastikan Identity kekal dengan ‘identiti yang tersendiri’ jika ingin terus melangkah ke hadapan atau terus dibayangi oleh nuansa band-band metalcore sedia ada.

Menariknya mengenai single ini dan band Identity itu sendiri adalah teknik rakaman, jeritan tersusun yang masih jelas kedengaran, muzikal jujur dan mujur ada sedikit spoken-words di tengah-tengah lagu menjadikan band yang satu ini agak berbeza. Permainan gitar padat, bass yang padu dan cara dram bekerja sememangnya sudah menjadi cap mohor majoriti band-band metalcore dunia. Mungkin perlu ditambah elemen lain untuk meletakkan diri di aras lebih tinggi selepas ini. Mungkin keyboard?

Penulis masih belum dapat mencari alternatif yang sesuai jika semua band-band metalcore tempatan menjadi tidak aktif atau mati. Bayangkan jika itu sendiri mati, maknanya band Identity ini akan hidup kerana mereka berbeza. Saya harap ini bukan sebuah band tribute kerana bakat-bakat dan idea-idea yang Identity miliki harus diterjemahkan dalam bentuk karya-karya segar. Tak lupa juga untuk terus mengkreatifkan pengaruh muzik, tidak hanya metalcore sahaja. Mana tahu selepas ini Identity akan bermain muzik keras dengan pengaruh P. Ramlee?

Secara kritikalnya, penulis melihat band ini masih kaku di bahagian penceritaan lagu (story-telling). Walaupun sudah bagus dengan gaya susunan muzik, itu belum cukup dan memuaskan. Amat jarang, band metalcore bercerita. Jika ada, ia akan menjadikan Identity sangat unik. Boleh jadikan nama-nama seperti We Came As Romans, Underoath, Fit For A King, The Amity Affliction, Of Mice And Men, Memphis May Fire sebagai rujukan.

Bagaimanapun, penulis sangat yakin dengan kemampuan Identity untuk terus menulis karya-karya yang lebih segar. Pasti lebih lengkap dan tulus. Memang agak mencabar, namun jujur sahaja itu adalah sebenarnya cabaran yang harus dilalui mereka.

Akhir sekali, Pihak MAMY akan terus menyokong perjuangan muzik Identity. Teruskanlah menghasilkan karya-karya yang superb, unik, kreatif dan sudah pasti memeriahkan kembali genre metalcore itu sendiri.

Sebelum penulis menutup artikel ini, mari kita berkongsi siapakah orang-orang di sebalik Identity:

• ZAWAWI ALI (Vokal/Scream)

• HAZMAN KAMARUDZAMAN (Gitar)

• SAIFUL AMMAR (Gitar/Vokal Latar)

• MUHAMMAD NURAZAM (Bass)

• NIRWAN IZHAN (Dram)

#Ronnenfelt

Tinggalkan Komen Anda

Anda juga mungkin meminati

Ala... Ada pasang Adblocker Eh?

Support la kitorang dengan benarkan ads di pelayar web korang. Kitorang faham memang sakit mata tengok ads ni. Tapi, kasi chance lah. 😅