Indie Nostalgic Showcase 2024: Malam Kenangan Yang Berbisa

The A.C.A.B. kembali selepas 18 tahun

oleh Hamizan Hamsan
534 bacaan

Kredit: A.C.A.B Productions

Bertepatan dengan tema yang dibawakan – Indie Nostalgic Showcase, The A.C.A.B. berjaya membawa peminat kembali bernostalgia mengimbau kenangan apabila mereka memainkan kesemua 10 buah lagu yang terkandung dalam album This is The A.C.A.B. yang dirilis pada tahun 2006.

Bertempat di Bentley Music Auditorium, Damansara pada 1 Jun 2024, acara dimulakan tepat jam 8:30 malam oleh hos Atoi (Rakita) yang membuka pentas dengan memperkenalkan barisan anggota The A.C.A.B. yang ditunjangi Megat Hafiz sebagai penyanyi utama, Edy J sebagai pemain gitar, Mono sebagai pemain bass dan Irfan sebagai tukang belakang yang bermain dram. Kesemua barisan ini merupakan anggota asal The A.C.A.B. sewaktu ditubuhkan pada tahun 2005-2006 yang hanya sempat mengeluarkan satu album penuh sebelum mereka hiatus dan membawa haluan masing-masing.

The A.C.A.B. memulakan konsert dengan lagu Now & Again sebagai pemanas badan dan mendapat sorakan daripada penonton yang teruja. Tidak menunggu lama, sebuah lagu yang pernah mendapat liputan meluas di media arus perdana, Setelah dimainkan sekali gus mengundang sing a long yang padu daripada para penonton. Lagu Setelah ini juga pernah dicalonkan dalam program berprestij Muzik-Muzik dan berada lama di dalam carta mingguannya.

Setlist disambung terus dengan lagu ciptaan Mono, Comin’ at You menjadikan acara semakin hangat disusuli lagu Astray dan Bertemu yang lebih menyentuh jiwa-jiwa patah hati. Di antara sela masa, Megat berulang kali memohon maaf kerana kurang sihat pada malam itu kerana keletihan menguruskan persiapan acara dan latihan bersama band. Walaupun sebenarnya tidaklah mengganggu persembahannya sangat kerana beliau mampu beraksi dengan baik.

Inner City, mungkin lagu paling “keras” yang ada di dalam album This Is The A.C.A.B. dimainkan. Ketika ini penonton sudah mula melakukan body surf dan sedikit pogo di ruangan depan pentas, mungkin kerana nuansa lagu ini yang agak keras dan mempunyai persamaan dengan era Eastern Oi! A.C.A.B. Acara kemudian disambung dengan lagu Angkasa yang menurut Megat lagu ini ditulis bersama dengan seorang lagi ikon peradaban muzik tanah air iaitu Radhi (OAG).

Seperti yang dicanang di media sosial, sebuah lagu cover, I Predict A Riot (Kaiser Chief) dimainkan. Lagu dan band yang memberi Megat ilham untuk menubuhkan The A.C.A.B sewaktu melanjutkan pelajaran di tanah Inggeris. Tidak dilupakan, Edy dan Mono juga bertindak cemerlang sebagai backup vocalist sepanjang lagu-lagu dimainkan.

Set Indie Nostalgic Showcase dihabiskan dengan baki tiga lagu hits mereka; Bermimpi Di Siang Hari, Goodbye dan Haven’t I yang menjadikan auditorium bergema dengan nyanyian crowds yang hampir memenuhi semua ruang dewan. Paling menyentuh hati mungkin sewaktu lagu Goodbye yang berkisar tentang penghijrahan Megat dari seorang pioneer Skinhead di Malaysia yang kemudian meninggalkan imej dan tata-budaya Skinhead itu sendiri.

Usai set This Is The A.C.A.B lengkap dimainkan dan selepas sedikit masa diambil untuk berehat, keempat-empat figura Megat, Edy, Mono dan Irfan kembali ke pentas. Seperti yang dijanjikan, mereka terus memainkan lagu-lagu ikonik dari A.C.A.B demi peminat tegar band ini yang mencetuskan fenomena kultus Skinhead sejak 30 tahun dahulu. Streets Of Uptown, Where Have All The Bootboys Gone dan We Are The Youth cukup untuk membuatkan peminat bernyanyi, menari dan berteriak bersama. Sebagai penutup persembahan, lagu yang jarang-jarang dimainkan, Fight For Your Right dihadiahkan dalam rentak rocksteady membuatkan semua yang hadir puas dengan keseluruhan konsert malam itu.

Kredit: A.C.A.B Productions

Sebagai kesimpulan, perjalanan This is The A.C.A.B.: Indie Nostalgic Showcase 2024 berlangsung dengan amat baik. Segala perancangan rapi dapat diterjemahkan dengan kualiti penataan bunyi yang mantap di sepanjang acara termasuk showmanship hebat Megat bergandingan dengan Edy yang sememangnya sangat kuat chemistry mereka berdua dibantu pula dengan skills padu dari Mono dan Irfan menjadikan The A.C.A.B. antara sebuah supergroup yang terbaik pernah ada di Malaysia.

Tahniah diucapkan dan jutaan terima kasih kepada pihak penganjur A.C.A.B Productions dan semua yang terlibat dalam menjayakan konsert ini.

Tinggalkan Komen Anda

Anda juga mungkin meminati

Ala... Ada pasang Adblocker Eh?

Support la kitorang dengan benarkan ads di pelayar web korang. Kitorang faham memang sakit mata tengok ads ni. Tapi, kasi chance lah. 😅