Insiden Judas 1966: Bagaimana Bob Dylan Mengubah Lanskap Muzik Dunia Selamanya

oleh Rahmat Mohd Did
2.2K bacaan

Bob Dylan pada tahun 1966.

54 tahun lepas, Robert Allen Zimmerman aka Bob Dylan baru sahaja berusia 24 tahun namun beliau sudah berada di puncak kerjayanya.

Enam album studio, diberi pelbagai gelaran seperti suara generasi, Shakespeare moden dan sebagainya, 1966 adalah tahun yang sangat penting bagi Dylan kerana beliau sedang berada di fasa paling berani, paling keras kepala dan paling berwawasan jauh.

Pada waktu itu, Dylan sudah bosan dengan muzik Folk. Beliau tidak suka dengan komuniti Folk di Amerika yang berlebih-lebihan dan menganggapnya seperti ‘nabi’ yang menyampaikan utusan kepada sekalian umat. Beliau rasa seperti dipergunakan dan sudah tidak bebas berkarya mengikut kehendaknya.

Hasilnya, lahirlah dua album elektrik berjudul Bringing It All Back Home (1965) dan Highway 61 Revisited (1965). Lagu Maggie’s Farm secara berkias mengutuk peminat-peminat muzik Folk di Amerika yang mahu beliau kekal menulis lagu-lagu protes dan jadi seperti penyanyi Folk lain tanpa memikirkan perasaannya yang hanya mahu berkarya dan menulis lagu.

“Well, I try my best,
To be just like I am,
But everybody wants you,
To be just like them.”

Seperti dijangka, kedua-dua album tersebut mendapat reaksi yang sangat negatif daripada peminat-peminatnya. Daripada seorang ‘nabi,’ Dylan kini dilabel dengan gelaran keji seperti pembelot, di-boo ke mana-mana beliau pergi dan macam-macam lagi.

Kontroversi bermula apabila Dylan mengambil keputusan untuk bermain set elektrik di Newport Folk Festival 1965. Beliau di-boo sepanjang persembahan dan ada khabar angin mengatakan bahawa Pete Seeger mengamuk di belakang pentas dan mahu mengapak kabel-kabel agar Dylan berhenti.

Keputusan Dylan untuk bermain set elektrik di Newport Folk Festival ’65 mengundang kecaman daripada peminat-peminatnya sendiri.

Selepas siri jelajah Amerika, Dylan melancarkan jelajah dunia 1966 dengan band The Hawk yang kemudiannya dijenamakan semula sebagai The Band (juga legenda). Turut serta adalah pengarah D.A Pennebaker yang merakam di sebalik tabir jelajah tersebut dan dimuatkan dalam filem Don’t Look Back (1967).

Di akhir-akhir jelajahnya, tepatnya pada 17 Mei 1966 di Manchester Free Trade Hall, England, satu insiden berlaku dan ia telah mengubah lanskap muzik dunia selamanya.

Segalanya bermula dengan baik di set pertama. Dylan dengan gitar akustik dan harmonikanya mendendangkan lagu-lagu Folk popularnya.

Situasi berubah di set kedua. Dylan kembali dengan gitar elektrik bersama The Hawk dan terus menghenjut Tell Me Momma ke muka penonton dengan kelantangan maksimum.

Bagi peminat muzik Folk, muzik elektrik adalah taboo dan membingitkan telinga. Tambahan lagi, atas faktor geografi dan demografi, peminat-peminat Dylan di England agak lambat berbanding peminat-peminat di Amerika yang sudah mula menerima stail baru Dylan tersebut.

Mereka sangat terkejut melihat Dylan sedemikian. Semuanya terpaku tidak tahu bagaimana mahu memberi reaksi. Ada yang bercakap sesama sendiri, bertepuk tangan perlahan dan keluar dari dewan. Namun, yang menarik perhatian adalah satu jeritan di satu sudut dewan tersebut ketika suasana sedang sunyi;

“JUDAS!”

Dylan mendengar jeritan tersebut dengan jelas seraya memberi respon;

“I don’t believe you. You’re a liar!”

Beliau kemudian berpaling ke arah The Hawk dan berkata;

“PLAY IT FUCKING LOUD!”

Like a Rolling Stone bergema dan Dylan menjulang tangannya ke udara. Saat itu, Bob Dylan telah mengubah segala-galanya. Muzik, budaya, falsafah, fesyen dan pelbagai lagi.

Dylan adalah artis pertama dalam sejarah muzik popular yang secara terbuka menentang peminatnya sendiri dan melakukan apa yang dimahukannya tanpa sebarang rasa kesal. Tanpa sedar, dia memberi inspirasi kepada artis-artis popular lain untuk tidak takut mengubah haluan dan tetap berjaya dengan pilihan masing-masing. Ia juga adalah satu pernyataan jelas bahawa seorang artis berhak menentukan halatuju sendiri tanpa memikirkan apa yang label dan pengkritik mahukan. Ia adalah semangat Rock ‘n’ Roll sebenar!

Insiden Judas ini merupakan salah satu peristiwa paling penting dalam sejarah muzik popular malah ada juga yang menggelarnya sebagai saat lahirnya Punk!

Menurut majalah Rolling Stone, Bob Dylan berada di kedudukan kedua artis paling berpengaruh di dunia dan antem Like a Rolling Stone adalah lagu terhebat sepanjang zaman!

Kalian boleh menonton sendiri bagaimana peristiwa tersebut berlaku melalui klip D.A Pennebaker yang direstorasi oleh Martin Scorsese dalam dokumentari No Direction Home (2005) ini:

Sumber:

1. Manchester Evening News
2. Wikipedia
3. Mashable
4. Wikipedia
5. BBC
6. One Man

Tinggalkan Komen Anda

Anda juga mungkin meminati

Ala... Ada pasang Adblocker Eh?

Support la kitorang dengan benarkan ads di pelayar web korang. Kitorang faham memang sakit mata tengok ads ni. Tapi, kasi chance lah. 😅