Baru-baru ini, penulis dikejutkan dengan beberapa luahan dari pemain muzik tentang isu segelintir band yang mengutuk band lain dari pelbagai aspek. Bukan sahaja dari sudut pemakaian, bahkan hingga ke sudut permainan, penggunaan perkakas dan juga adab yang tidak sahih kebenarannya. Hanya kerana isu kecil, terus dipanggil poseur. Persoalan penulis di sini, sampai bila kita perlu ada sentimen negatif sebegini terhadap orang lain? Kenapa perlu ada sifat hasat dan dengki? Ke mana perginya adab dan semangat untuk memajukan industri bersama-sama?
Mungkin akan ada sebilangan individu akan berkata:
“Kau try tengok negara lain toksik dia macam mana?”
“Kau pun sama toksik.”
Okay, mari kita lihat ciri-ciri manusia sebegini. Selain rasa kurang diberi perhatian, penulis melihat dari tiga sebab ini turut memainkan peranan:
- Rasa tercabar jika ada yang lebih baik dari dirinya.
- Kurang keyakinan diri (insecured).
- Merasakan perli dan menjatuhkan orang lain adalah alternatif terbaik untuk nampak lebih bagus.
Sejujurnya, jika semua aspek negatif itu ditukar kepada aura positif, contohnya:
“Peh! dia lagi terrer main gitar dari aku. Aku kena practice lagi ni, to be better.
“Aku pun tak perfect. Daripada aku cerita pasal keburukan orang, lebih baik aku majukan diri sendiri.”
Jika semua pemuzik berfikiran sebegini, pasti kita akan lebih gembira untuk terus bermain muzik sekaligus mewujudkan persaingan sihat dan berupaya membawa suara generasi kini ke peringkat lebih tinggi. Namun jika tiga aspek tersebut masih membelenggu scene, kutuk-mengutuk dan jatuh menjatuhkan akan berterusan dan muzik tempatan juga tak akan ke mana-mana. Perkara ini masih berlaku dan kepada yang peka, dapatlah melihat ‘drama’ sebegini di media sosial. Cuba fikirkan, apa yang peminat dapat daripada pertelingkahan sebegini? Sudahlah scene kita ini kecil sahaja, pemuzik pula sibuk bertelagah sesama sendiri.
Kemudian, jika ada antara pemuzik yang kita lihat adabnya kurang bagus, alangkah baiknya jika kita sebagai manusia menegur kesilapannya secara bersemuka atau secara privasi di media sosial (contoh: direct message) dan sesama minta maaf jika ada khilaf di mana-mana bahagian. Jika beliau masih sama dan tidak mengendahkan teguran, apa boleh buat, kita sudah menjalankan tanggungjawab sebagai manusia.
Seterusnya, isu instrumen. Jika kita nampak beliau menggunakan peralatan muzik yang murah atau tiruan, apa kata kita lihat dahulu kemampuan beliau dalam aspek komposisi, sound dan sebagainya. Nak bikin muzik, bukan sekadar jenama gitar yang menentukan sedap atau tidak sedap.
Selepas itu, cuba berikan kata-kata positif dan juga cadangan di masa hadapan untuk menaiktaraf barang muzik seperti gitar murah yang berkualiti, tuner pedal, distortion dan lain-lain peralatan berbanding terus memberi makian dan kata-kata nista yang mungkin menyebabkan insan tersebut terus patah hati dan berhenti bermuzik. Jika isu gitar tiruan? Tidak mengapa kerana mungkin itu sahaja yang mereka mampu tambahan pula duit dia bukan duit kita. Tugas kita? Doakan mereka dilimpahi rezeki untuk membeli alatan yang lebih baik. Tidak perlu mengutuk dan menghina kerana banyak lagi perkara baik yang kita boleh buat.
Terakhir, isu permainan. Tak semua pemain muzik itu boleh bermain muzik dengan baik. Tak semua pemuzik boleh baca skor, tak semua pemuzik boleh bermain dengan sempurna. Mungkin permainan gitarnya tidak sehebat Yngwie Malmsteen, tetapi dia mampu menghasilkan melodi-melodi indah yang mesra telinga dan mampu menarik minat golongan muda yang sudah muak dengan permainan teknikal. Apa tugas kita? Terus berikan semangat kepada pemuzik di luar sana dan jika ada tips berharga, jangan tamak dan kongsikan kepada mereka demi untuk memantapkan lagi permainan mereka dan mewujudkan ekosistem yang lebih sihat antara pemuzik berpengalaman dengan yang baru tak kira tua atau muda.
Konklusinya, tak perlulah kita teruskan dengan sentimen-sentimen yang tidak sepatutnya wujud dan merosakkan. Penulis juga ingin mengingatkan kepada semua termasuk diri sendiri supaya terus positif dalam hidup. Umur makin lama makin pendek. Jangan hubungan dengan Tuhan sahaja mantap namun hubungan sesama manusia hancit. Seimbangkan keduanya. Semoga kita semua dilindungi Tuhan dan Semoga Tuhan Selamatkan Muzik Malaysia.