James Yusof Ajak Bicara pada ‘3 A.M’

oleh Aniq Ammar Ekhwan
2K bacaan

 

Permulaan 2021 menyaksikan segala usaha untuk mencari jalan penyelesaian kepada pandemik Covid-19 masih menemui jalan buntu, ditambah lagi dengan Perintah Kawalan Pergerakan 2.0 yang menyaksikan ramai pemuzik tanah air berusaha menyiapkan material masing-masing dan mengharapkan ada sinar baharu buat mereka. Termasuklah James Yusof, seorang multi-instrumentalist, songwriter, dan juga producer dari Ampang yang bakal melancarkan single terbaharu beliau berjudul 3 A.M menampilkan Danish Shahrin dari Last Diary berserta muzik video pada 28 Januari 2021, jam 8 Malam.

Untuk makluman, James Yusof memulakan perjalanan seni beliau sebagai gitaris bersama Sleeping Sorrows, Lux Spectra, Ivory Aisle, dan sekarang bersama Modescape dan juga artis solo. Tidak dilupakan, pada tahun lepas beliau telah melancarkan dua single iaitu Apex dan Playground: Earth menampilkan saudara Nash Muhandes. Selain itu James juga aktif sebagai seorang Youtuber dan menjadi produser kepada beberapa band seperti Chat Musique dan Space Between Us.

Cukup cerita tentang James. Sejujurnya penulis amat teruja kerana menjadi insan terawal untuk memberi review single baharu ini sebelum ia dilancarkan. Dan tibalah masa untuk penulis merungkaikan dari sudut bunyi, susunan, lirik, vokal dan kualiti.

Dari sudut bunyi, penulis agak teruja akan permainan gitar dan bass yang ditonjolkan oleh James sendiri dalam setiap bahagian lagu dan bunyian “jahat” ini mengingatkan penulis kepada beberapa band seperti Underoath, Saosin, My Chemical Romance dan beberapa band lagi di era 2000 – 2010. Penulis juga tahu James Yusof ini seorang gitaris yang bermazhabkan muzik dari zaman tersebut. Bunyian drum yang baik dan kena pada lagu ini. Cuma penulis berpendapat bahawa James patut meletakkan elemen synth dalam lagu ini agar kedengaran lebih segar dan ke hadapan. Mungkin beliau mempunyai sebab tersendiri namun tidak mengapa. Bunyian sebegini sudah cukup segar bagai buah mangga yang baru dipetik dari pokok.

Dari segi susunan lagu, agak mengejutkan penulis kerana single 3 A.M ini memberi sebuah evolusi baharu dalam muzik rock dan sangat berbeza berbanding single beliau sebelum ini. Dari awal lagu sehingga akhir, penulis amat terpesona akan aura “gelap” yang ditampilkan. Kemas dan tiada cacat cela di setiap sudut dan paling penting, breakdown yang sangat padat dan memberi kesan kepada pendengar.

Seterusnya, perihal vokal. Seperti biasa James tidak pernah gagal dalam pengisian vokal. Vokalnya digarap dengan sempurna, irama amarah yang jitu tepat pada sasaran dan kedatangan Danish Shahrin memberi impak jitu pada single ini.

Sedikit pengenalan, Danish Shahrin merupakan vokalis dari band Last Diary dan mereka berdua pernah bekerjasama dalam sebuah lagu cover dari Zynakal iaitu Sakit. Menerusi vokal Danish atau lebih mesra dipanggil Nil, penulis terpesona dengan lontaran vokal Nil yang sangat baik dan secara tidak langsung memberi impak maksima dalam lagu ini.

Tentang lirik pula, penulis berpendapat lirik ini straight forward dan mudah dihadam serta faham apa yang ingin disampaikan. Penulis menggemari bait lirik mereka yang berbunyi ‘You know my darkest fears/ Intangible but still on our plane/ A language must be spoken/ I need to hear you.’ Dari lirik mereka sendiri penulis dapat menggambarkan tentang kegelapan yang dikongsi bersama.

Akhir sekali, kualiti yang dikeluarkan sangat bagus dan James telah menjalankan tanggungjawab dengan baik sebagai produser untuk lagu ini. Tiada apa yang penulis boleh katakan dan mengharapkan lagu ini mendapat sambutan dari para pendengar muzik rock tanah air.

Akhir kata, tahniah dan syabas buat James Yusof dan Danish Shahrin atas pelancaran single ini. Semoga terus maju dan jangan berhenti separuh jalan. Dan paling penting, jangan lupa ke You Tube James Yusof dan klik pada butang ‘set reminder’ agar kalian tidak terlepas magnum opus ini malam esok!

Ikuti James Yusof dan Danish Shahrin di:

James Yusof:

Facebook
Twitter
Instagram
Youtube

Danish Shahrin:

Facebook
Twitter
Instagram

Tinggalkan Komen Anda

Anda juga mungkin meminati

Ala... Ada pasang Adblocker Eh?

Support la kitorang dengan benarkan ads di pelayar web korang. Kitorang faham memang sakit mata tengok ads ni. Tapi, kasi chance lah. 😅