Satu penghormatan besar buat penulis kerana berpeluang mendengar album sulung Zuuraa, No . 1 issue minimal pop yang dianggotai Zura (vokal/bass), Azmeer (Ukulele/Percussion), Nora (Keyboard) dan Jay Ridzwan (Gitar). Perasaan dibuai dengan alunan muzik lo-fi, pop kamar tidur merupakan satu pengalaman yang mengasyikkan apabila mendengar keseluruhan album ini. Penulis memilih mendengar lagu Inggeris terlebih dahulu, Honey wake up! It’s Apocalypse. Ternyata pilihan yang tepat kerana halwa telinga penulis terus ingin mendengar lagu seterusnya, seakan kecanduan irama yang indah.
Menarik sekali apabila ke trek bahasa Melayu yang berjudul Gayung. Suntikan elemen keroncong moden bersama bait-bait lirik yang ringkas tetapi indah tentang gayung, membuatkan penulis tersenyum dan mengangguk-angguk mengikut iramanya. Sebuah fusion yang genius jika tidak keterlaluan untuk melabelkan lagu ini.
Produksi muzik keseluruhan album juga kedengaran kemas dan seimbang. Tiada ruang kecaman terhadap produksi muzik mereka yang kedengarannya begitu berhati-hati dalam memberikan yang terbaik kepada kelahiran naskah sulung ini. Setiap instrumen yang dimainkan kedengaran jelas dan merdu sekali, sebagai contoh lagu Cempaka yang menampilkan pelbagai instrumen klasik di dalamnya. Lagu lain juga tidak kurang menariknya. Ada yang kedengaran simple tetapi masih catchy dan enak didengar seperti Romance in the 90’s sebagai contoh.
Penulis juga sempat menemubual mastermind di sebalik Zuuraa, Zurafendi untuk bertanyakan beberapa persoalan.
MAMY: Dari mana datangnya idea Zuuraa menyuntik elemen fusion keroncong bersama muzik alternative?
Zuuraa: Kami mendapat inspirasi dari keroncong Indonesia, seperti lagu Begawan Solo, Keroncong Kemayoran dan lain-lain.
MAMY: Bagaimanakah Zuuraa membentuk kumpulan ini?
Zuuraa: Zurafendi dan Azmeer kawan lama, pada October show di Lake Cabin Putrajaya Nora volunteer untuk main keyboard, dan Jay Ridzwan kenalan di Merdekarya. Kami sering satu stage bersama dan Jay volunteer untuk bermain guitar.
MAMY: Selain Modern Talking, apa rujukan lain Zuuraa dalam menghasilkan karya? Kerana ada kedengaran seperti The Strokes juga.
Zuuraa: Pada awalnya influence kami dari The Strokes dan My Chemical Romance. Oleh kerana band sebelum Zuuraa kami bermain pop punk, bila bersama Zuuraa ada part yang memang tak boleh lari dari dua band tu, dan Zuuraa juga experiment dengan genre yang lain.
Disoal tentang harapan mereka terhadap album ini, ini jawapan beliau.
Zuuraa Band berharap agar lagu-lagu kami dapat sampai kepada pendengar dan dapat meluaskan lagi kenalan agar ia menjadi semangat kepada kami untuk menulis lagu lagi di dalam album yang akan datang
Satu harapan yang ringkas dan padat, menggambarkan albumnya yang juga ringkas dan padat dengan idea segar serta berada di kelas yang tersendiri. Sekalung tahniah diucapkan kepada Zuuraa kerana begitu berani bermain dengan elemen klasik dan lo-fi yang manis, kemas dan menyejukkan telinga sesiapa yang mendengarnya. Penulis yakin band ini boleh melangkah lebih jauh dengan karya asli dan indah seperti ini. Moga Zuuraa akan mencapai lebih ramai pendengar yang menghargai seni indah mereka ini.
Tracklist album No. 1 Issue Minimal Pop:
- Serenity Break
- Mimpi Yang Absurd
- Gayung
- Cempaka
- Tentang Perasaan
- Romance in the 90’s
- Honey Wake Up! It’s Apocalypse
- Penafsir Mimpi
Untuk anda yang ingin mengenali lebih dekat dan mencipta satu kenangan muzikal yang indah seperti penulis, ikuti mereka di: