Jika Johnny Cash masih hidup hari ini, sudah 89 tahun umurnya. Beliau yang dilahirkan pada 26 Februari 1932 di Arkansas meninggal dunia pada 12 September 2003 di Nashville akibat Shy-Drager Syndrome (multiple system atrophy).
Sepanjang kariernya sebagai pemuzik, beliau dikenali sebagai salah seorang artis paling prolifik dalam sejarah dan telah mengeluarkan sebanyak 97 buah album dengan jualan lebih 90 juta unit di seluruh dunia.
Pada tahun 1955, Cash telah merakam lagu Folsom Prison Blues setelah menonton filem Inside the Walls of Folsom Prison pada tahun 1953 sewaktu berkhidmat dalam Angkatan Tentera Udara AS. Beliau menulis lagu tersebut sambil membayangkan kehidupan di dalam penjara walaupun beliau tidak pernah ke penjara.
Lagu tersebut menjadi hits lebih-lebih lagi dalam kalangan banduan penjara dan mereka mengutus surat kepada Cash untuk mengadakan persembahan di penjara mereka.
Hasratnya itu tertangguh sehingga tahun 1967 apabila beliau berjaya mengawal masalah ketagihan dadahnya serta kemasukan Bob Johnston ke Columbia Records.
Bersama isterinya, June Carter serta penyanyi/ gitaris, Carl Perlkins and The Tennessee Three mereka mengadakan dua persembahan di Penjara Folsom pada 13 Januari 1968 di mana persembahan tersebut telah dirakam dalam bentuk album dengan judul Johny Cash at Folsom Prison dan dilancarkan pada bulan Mei tahun sama.
Apa yang istimewanya tentang persembahan ini? Sebenarnya ia tidak boleh digambarkan dengan kata-kata. Jelas sekali ia bukan tentang kesempurnaan dari segi produksi, tetapi atmosfera dalam penjara itu sendiri, interaksi antara Cash dengan banduan, seleksi lagu-lagu dan latar belakang politik AS sewaktu itu. Cash adalah artis popular pertama yang berani membuat persembahan di penjara dan beliau langsung tidak punya perasaan takut dan kekok. Kepada yang pernah mendengar album ini, pasti sudah tahu bagaimana Cash melayan banduan-banduan ini dan sokongan dari banduan-banduan di situ kepadanya seolah-olah beliau salah seorang daripada mereka!
Bermula daripada pengenalan “Hello, I’m Johnny Cash,” banduan-banduan disajikan dengan single Folsom Prison Blues yang menjadi pemula kepada hari bersejarah tersebut. Mereka juga turut dihiburkan dengan lagu-lagu hits beliau yang lain termasuk lagu-lagu saduran seperti Dark as the Dungeon, Cocaine Blues, 25 Minutes to Go, Send a Picture of Mother, The Wall, Give My Love to Rose, I Got Stripes, Greystone Chapel dan banyak lagi yang mengisahkan tentang jenayah dan kehidupan dalam penjara.
Buat pertama kali, banduan-banduan ini melihat Cash sebagai seorang wira yang dekat dengan rakyat termasuk golongan banduan yang selalunya dicemuh oleh masyarakat. Interaksi antara Cash dan banduan-banduan ini turut dirakam dalam album. Sekali sekala, Cash juga turut bergurau dengan isterinya, ahli kumpulan The Tennessee Three dan polis penjara kemudian disambut gelak tawa daripada semua banduan. Ia adalah pengalaman yang sangat indah dan mengasyikkan dan tidak pernah berlaku sebelum itu!
Album At Folsom Prison juga menerima ulasan yang sangat menggalakkan daripada pengkritik-pengkritik muzik. Al Aronowitz dari majalah Life menulis,
“Cash menyanyikan lagu-lagu itu seperti beliau salah seorang daripada mereka!”
Ann Fisher dari Village Voice pula menulis,
“Setiap detik adalah sangat istimewa” manakala Richard Golstein pula memberi komen, “Album tersebut dipenuhi emosi yang jarang-jarang ditemui dalam muzik rock.” Selain itu, Fredrick E. Dunker dari Sing Out! memuji At Folsom Prison sebagai “Satu pengalaman halwa telinga yang berstruktur dan mantap.”
Sudahkah kalian semua mendengar album ini? Kalau belum, cubalah dengar di Spotify/ Tidal/ Apple Music atau beli albumnya secara fizikal.
Single “Folsom Prison Blues” boleh didengar di sini:
TRIVIA TAMBAHAN:
1. Lagu Greystone Chapel ditulis oleh salah seorang banduan Penjara Folsom bernama Glen Sherley. Beliau tidak tahu menahu langsung Johnny Cash akan menyanyikan lagu itu.
2. Setelah kejayaan album At Folsom Prison, Johnny Cash sekali lagi merakam album live pada tahun 1969 di Penjara San Quentin. Konsert ini lebih menarik kerana telah diabadikan dalam bentuk filem oleh Granada Television. Tonton single San Quentin di sini:
3. Masih ingat dengan video muzik Metallica – St. Anger pada tahun 2003? Idea untuk merakam muzik video untuk single dari album kelapan mereka itu sebenarnya diinspirasikan daripada persembahan Johnny Cash di Penjara San Quentin pada tahun 1969.
Setelah membuat penggambaran selama 18 jam bersama-sama 800 banduan di situ untuk muzik video St. Anger, Metallica bersetuju untuk membuat persembahan tertutup selama lebih satu jam pada 1 Mei 2003. Ia juga merupakan kali pertama pemain bass, Robert Trujilo membuat persembahan live bersama mereka.
Kredit foto: Sonic Editions/ ITV Archives