“Kami sekadar menyuarakan isi hati rakyat di skala yang lebih besar” – Temubual Eksklusif Bersama No Good

oleh Rahmat Mohd Did
7K bacaan

No Good dari kiri: Yie, Abe Yed dan Che Ali.

Bukan mudah bagi sesebuah band baharu untuk membina jenama kukuh sebelum meluncur album pertama, apatah lagi di era serba moden di mana sesiapa sahaja mampu merakam lagu dan memasarkan muzik masing-masing di internet. Namun, ramai di antara mereka yang gagal untuk bertahan kerana asyik mengulang formula sama dan tidak tersentuh ‘magis’ yang diidam-idamkan.

Berbeza dengan No Good. Kehadiran EP Demo Kawe pada November 2019 mengingatkan penulis kepada fenomena A.C.A.B dan Eastern Oi! pada lewat dekad 90an di mana pertaruhan pakej muzik, imej dan seni visual mereka punya identiti Malaysiana yang sangat kuat ditambah pula sisi lirikal yang rugged, radikal dan dekat dengan jiwa anak muda yang memberontak.

Magis sebegini jarang-jarang sekali ‘hinggap’ ke band tempatan. Mungkin dalam 100 band yang mencuba, hanya ada satu yang benar-benar berjaya dan No Good sudah membuktikannya dengan jenama punk budu yang menerobos jauh hingga ke segenap ceruk di mana anthem seperti Che Using menjadi siulan remaja-remaja Felda dan kampung. Ia kemudian diperkasakan lagi dengan siri jelajah Tubik Derak yang sold out dari Perlis hingga ke Johor dan setiap patah lirik dialek Kelantan mereka dihafal oleh peminat tak kira latar belakang. Ia sesuatu yang sangat mengujakan dan dalam masa sama amat membanggakan. Lihat pula bagaimana setiap keluaran material fizikal mereka tidak kira kaset, CD, t-shirt, piring hitam dan banyak lagi direbut oleh peminat hingga tidak sempat sampai ke kedai pun sudah habis ditempah! Ini adalah fenomena sihat yang bakal merevolusi semula kecintaan peminat terhadap hasil seni penggiat muzik tempatan yang mungkin telah lama pudar.

Memundar laju dua tahun ke hadapan, No Good akhirnya melancarkan album sulung mereka, Punk Gong pada 11 November 2021 di YouTube dan Bandcamp. Mereka bukan yang pertama melakukannya, tetapi ia adalah strategi berani yang bagi penulis adalah taktik psikologi genius. Mereka sudah tahu bahawa walaupun edisi fizikal akan dikeluarkan lebih lambat, ia akan tetap habis diburu, jadi ini adalah ‘hadiah’ terbaik yang mampu mereka berikan kepada setiap satu individu yang terus menyokong perjuangan mereka sejak dari awal.

Bagi meraikan muka hadapan muzik rock Malaysia era baharu ini, kami sempat bertanyakan beberapa soalan kepada mereka tentang album Punk Gong. Baca selanjutnya di bawah.


MAMY: Setelah beberapa kali tertunda akibat PKP, akhirnya keluar juga Punk Gong. Adakah korang puas hati? Secara peribadi, adakah korang rasa impak album ni akan lebih besar berbanding EP Demo Kawe?

Abe Yed: Alhamdulillah, kami memang jangkakan pembikinan album dalam tempoh PKP, namun ada beberapa versi PKP yang menghalang rencana kami. Kami berpuas hati dengan hasil Punk Gong, kami berpuas hati cara kami kendalikan album ni dalam tempoh PKP juga.

Dalam kesempitan itu dengan bantuan pihak-pihak terlibat, kami dapat ciptakan satu ruang kecil untuk siapkan album sulung kami.

MAMY: Agak mengejutkan strategi korang kali ni dengan memuatnaik keseluruhan album ke YouTube dan Bandcamp dahulu sebelum rilisan fizikal. Ada sebab-sebab tertentu?

Yie: YouTube adalah antara streaming platform yang paling accessible untuk zaman sekarang. Selepas release EP Demo Kawe, kami dapati ramai pendengar discover No Good melalui YouTube. Sebenarnya tak ada beza pun release album secara percuma di Youtube atau release di Spotify. Siapa je yang buat duit melalui Spotify? Kami gunakan YouTube sebagai medium untuk pasarkan album dan kalau ada pendengar yang betul-betul suka, dia akan beli lagu kami di Bandcamp yang kualiti audio lebih bagus, beli physical release, merchandise dan datang ke show kami.

MAMY: Bila rilisan fizikal akan keluar dan apa yang istimewa kali ni? Mungkin ada collector’s bundle atau lain-lain?

Yie: InsyaAllah awal tahun depan. Kaset, CD, LP, merchandise etc akan direlease secara berperingkat. Menarik juga idea collector’s bundle tu. Boleh dipertimbangkan. Pelan dah disusun. Cuma harap semua sabar menunggu.

MAMY: Kalau ikut trend sebelum ni, material fizikal No Good akan habis stok sebelum sampai ke kedai lagi. Jadi, berapa korang target untuk cetak album Punk Gong ni?

Yie:  Sememangnya kami akan press dengan lebih banyak sebab ramai orang dah naik angin sebab tak sempat beli. Kami lebih selesa menguruskan hal-hal pressing album dan merch distribution secara DIY, bekerja dengan kawan-kawan dan komuniti yang kami percaya, selesa bekerja dan boleh deliver. Problem bila press banyak-banyak ni ialah how to manage the large orders. Nevertheless, it is a good problem to have. Sambutan tuan puan amat kami hargai.

MAMY: Sebelum ni, EP Demo Kawe sepenuhnya mendapat sentuhan Moktharizal di iSeekMusic Studio dari recording sampai mastering. Kenapa kali ni bertukar ke Bijan FX untuk proses mixing dan mastering?

Yie:  Semua lagu-lagu direkod di Iseekmusic kecuali lagu Gewe Abe. PKP 3.0 pada bulan Jun 2021 sedikit sebanyak mengganggu proses finishing album Punk Gong di Iseekmusic sebab Mokhtar tak boleh cross state dari N.Sembilan ke studio Iseekmusic di Kota Damansara. Kami sempat bekerja dengan team Bijan FX ketika show Fred Perry pada November 2020. Pada bulan Ogos kami decide untuk re-record lagu Gewe Abe dan bass lagu Suay dan beberapa lagi bahagian tambahan, dan seterusnya kami putuskan untuk habiskan proses final mixing & mastering dengan Najib (Bijan FX).

MAMY: Lebih banyak elemen baharu diterapkan dalam Punk Gong seperti Psychobilly (Bo Bo La), Reggae/ Dub (Kayaba), Balada (Gewe Abe), Thai Pop + Dikir Barat (Suay) dan lain-lain. Secara keseluruhan, muzik No Good kedengaran lebih dinamik dan bervariasi walaupun pendekatannya agak berbeza dengan lagu-lagu dalam Demo Kawe yang majoritinya lebih straight forward. Adakah korang rancang benda ni atau inspirasi tu datang sendiri sepanjang penulisan lagu-lagu baharu?

Abe Yed: Sesetengah lagu dalam Punk Gong memang kami siapkan sebelum meneruskan Tubik Derak Tour. Masa tu pun lagu-lagu tu tak masak sepenuhnya lagi. Contohnya lagu Bo Bo La dan Kayaba. Mengenai variasi tu, No Good memang nak cuba bawakan lagu-lagu dalam genre punk tersendiri sejak Demo Kawe lagi. Kerana kali ini ianya dalam format album, jadi kami punyai lebih banyak peluang untuk meneroka subgenre lain yang berkaitan dalam Punk Gong.

MAMY: Pemilihan Kide Baharudin untuk membawa imej dan konsep keseluruhan Punk Gong nampaknya sangat kena dan menjadi. Mengapa korang memilih Kide?

Yie: Secara peribadi memang kami suka dan follow kerja-kerja Kide. His work reminds me of Lat tapi versi lebih punk dan raw which lagi dekat dengan No Good. Sebagai peminat, kami sangat-sangat berbesar hati Kide sudi menyumbangkan hasil kerja tangan beliau. Dari segi art direction, kami serahkan bulat-bulat kepada Kide. Semua artwork yang digunakan dalam cover album Punk Gong adalah lakaran asal first submission Kide dan kami terima tanpa was-was.

MAMY: Bila No Good nak main di luar Malaysia dan bawa jenama muzik lokal kita ke pentas antarabangsa? Mungkin dah ada tempahan dari penganjur festival serantau?

Che Ali: Setakat ni belum ada sebarang pelawaan, tapi kalau diajak pasti kami akan cuba ejah sampai jadi. Borneo pun tak sampai lagi ni, itu pun salah satu lagi perkiraan dalam masa terdekat.

[bandcamp width=100% height=42 album=885952017 size=small bgcol=ffffff linkcol=0687f5]

 

MAMY: Dari segi lirikal, No Good makin berani mencarut dan memaki hamun. Haha. Kritikan sosio-politikal juga semakin tajam dan sinikal, mengingatkan saya kepada band Idles dari UK yang kini berada di puncak kerjaya. Apa pendapat korang tentang censorship dan adakah korang bersedia untuk dikritik pula oleh golongan peminat yang mungkin tidak bersetuju dengan perspektif politik korang?

Abe Yed: There’s nothing better than self-censorship sebab semua orang ada akal, tapi ini hanya mungkin pendapat cetek saya. Carutan No Good pun dalam dialek Kelantan, band lain lagi “out there” dari seni carutan. Kalau tak bersetuju takpe, ni bukan parti politik. Band punk je.

Yie: Wakil rakyat pun mencarut dan maki hamun di parlimen. So it’s nothing new. Pihak yang dicaruti dalam lirik-lirik No Good pun pada pendapat aku, they asked for it. Kami sekadar menyuarakan isi hati rakyat di skala yang lebih besar dari sembang kedai kopi. Memang hipokritlah kalau orang tak mengaku maki politicians, lebih-lebih lagi zaman politik sekarang. Masih ramai politikus yang dah tak relevan dengan peredaran masa & masih mengamalkan ideologi politik lapuk mereka. Bo bo la.

MAMY: Soalan terakhir. Adakah No Good akan kekal berkarya sebagai sebuah band atau ini hanya sekadar projek sementara dan masing-masing akan kembali ke band asal selepas ini? Apakah harapan korang pula dalam tempoh 10 tahun akan datang?

Abe Yed: 10 tahun akan datang kita tak tahu keadaan sosio-ekonomi kita macam mana lagi. Mungkin masa tu kita dah tak ada golongan M40 yang mampu pergi gig dan beli merch, terus B80 dan T20 – jadi nak buat muzik pun tak mampu sebenarnya sebab semua orang daif. Sekarang pun kita sedang tengok benda ni terjadi dengan perlahan.

Mungkin juga masa tu negara ni dah aman gila babi, dengan sistem kerajaan mantap yang dah kalahkan Sweden, jadi tak perlu lagi muzik punk atau pemberontakan lagi.

10 tahun jauh lagi untuk difikirkan No Good. Yang kami tahu, 2022 jumpa di show blako!

Tinggalkan Komen Anda

Anda juga mungkin meminati

Ala... Ada pasang Adblocker Eh?

Support la kitorang dengan benarkan ads di pelayar web korang. Kitorang faham memang sakit mata tengok ads ni. Tapi, kasi chance lah. 😅