Agak kelakar apabila jabatan netizen Malaysia beranggapan lagu hits 2011, Tear Us Apart dinyanyikan oleh penyanyi Filipina, Charice duet bersama Taio Cruz (siapa?). Sungguh rendah ekspetasi kita terhadap bakat-bakat lokal ya. Lagu tersebut adalah hasil kolaborasi Nadhira bersama penyanyi kelahiran Australia, Ron E. Jones yang dipetik dari album kedua beliau, 12 Shades. Selain Ron, ramai artis terkenal yang telahpun bekerjasama bersama beliau seperti Vandal, Ras Muhamad, B-Heart dan juga David Cook dimana lagu Fire pernah dicalonkan dalam Anugerah Industri Muzik (AIM 2014). Sebelum itu beliau telah merilis EP pertamanya, From Malaysia With Love yang menampilkan sebuah banger, Do It Again dimana video tersebut ada menampilkan penglibatan awal suami Yuna, Adam Sinclair.
Pada tahun 2021, Nadhira nekad untuk membuat transformasi baru dan penjenamaan semula termasuk nama yang kini dikenali sebagai NADDI; lantas menutup semua lembaran lama Nadhira tanpa menoleh belakang lagi. Menampilkan gaya baru yang lebih moden, feminin dan sedikit street style sesuai dengan jalur muzik semasa yang dibawakannya ketika ini, beliau hadir dengan single kedua pada tahun ini berjudul LOWKEY. Lagu yang bertulang-belakangkan trap beat dan hip hop ini diterbitkan oleh SXPH disulami dengan flow & spit pedas di dalam pembawakan NADDI yang sangat bersahaja. Sungguh lazat dan pastinya pendengar akan menambah buat sekalian kalinya kerana penulis tak henti-henti repeat order (menambah view di Youtube!)
Secara terperincinya lagu ini menceritakan tentang pahit maung dan tunggang langgang emosi seseorang di dalam sebuah perhubungan di dalam dunia yang serba serbi mencabar ini; barangkali bertepatan dengan isu semasa yang diperjungkan dunia, Mee Too Movement (#MeeToo). Lirik-lirik asal yang dipersembahkan adalah sangat eksplisit kerana menurut NADDI, beliau memilih cara ini kerana ianya akan terus sampai kepada pendengar tanpa berselindung disebalik kata-kata madah atau sopan. Penyanyi yang membesar dengan muzik Datuk Sheila Majid ini, banyak mengambil inspirasi dari muzik Neo-Soul semasa seperti idolanya Jhene Aiko malah pernah menyatakan hasrat ingin berkolaborasi dengan artis tersebut.
Pada pendapat penulis, instrumentasi lagu ini ada sedikit persamaan dengan lagu Baby nyanyian Madison Beer terutama pada intro nya. Itu cuma pendapat peribadi penulis sahaja. Tiada kaitan antara yang hidup atau yang mati. Menurut NADDI, kemungkinan ini adalah lagu English yang terakhir darinya. Kemanakah beliau selepas ini padahal baru sahaja membuat kemunculan baru? Katanya beliau akan lebih fokus kepada lagu-lagu berbahasa Melayu dan khabarnya akan bekerjasama dengan beberapa produser dari tempat lahirnya, Negeri Sembilan. Pendengar bakal mendengarkan sesuatu yang baru dan berlainan dari sebelumnya; selari dengan penampilan barunya ini. Dengar-dengar ada dialek nogoghi dan Minangkabau sekali. Tak sabo den nunggu eh!
Ikuti perkembangan terbaru NADDI: