Sejak dahulu, perang sudah jadi perkara yang tidak lari dari sejarah peradaban manusia dan masih berulang sehingga kini. Perebutan kuasa, tanah, hingga konflik kuasa peribadi biasanya menjadi punca. Mereka yang tidak berdosa terus menjadi mangsa disebabkan sifat tamak dan salah guna kuasa manusia. Hingga pada akhirnya, peperangan dilihat menjadi inspirasi bagi sesetengah pemuzik dalam mencipta lagu.
Tidak hanya menjadi inspirasi kosong semata-mata, ada juga lagu yang turut menyampaikan mesej jelas tentang ironi dan betapa ngeri sesebuah peperangan supaya menjadi iktibar agar ia tidak berulang lagi.
Meskipun pada kenyataannya perang masih lagi terjadi sehingga sekarang, seperti hari ini – Palestin VS Israel, namun lagu anti perang seharusnya terus wujud bagi menyedarkan masyarakat bahawa apa juga bentuk perang, tidak kira di negeri sendiri atau luar negara, perlu dihentikan segera demi dunia yang lebih harmoni.
Persoalannya, sejauh mana sesebuah lagu dan muzik menjadi instrumen kepada kedamaian?
Jawapan kepada persoalan ini adalah sifat – Kemanusiaan. Definisi sebenar kemanusiaan adalah perihal manusia, sifat-sifat manusia dan apa-apa hujah tentang manusia dan sifat belas ihsan.
Terinspirasi dengan kesan kekejaman disebabkan peperangan dan sifat kemanusian yang dilihat semakin hilang dari dalam sesetengah golongan manusia, kumpulan Kiiyas tampil bersama lagu Kemanusiaan Sedang Bermimpi.
Lirik yang ditulis oleh Amir, pemain gitar kumpulan ini, menyifatkan lagu ini sebagai suatu ‘suara’ mewakili mereka yang tertindas oleh kuasa-kuasa besar kesan daripada peperangan dan hilangnya sifat kemanusiaan dalam diri. Amat sedih apabila ada sesetengah pihak yang sanggup membiarkan sahaja pencabulan hak asasi manusia dan membuta tuli menutup mata membunuh jiwa-jiwa tidak berdosa. Kuasa-kuasa besar terlalu tamak demi kepentingan sendiri.
Menurut vokalis (Radzi) dan pemain drum (Nasrul) pula, mereka sependapat bahawa:
“Muzik mungkin tidak boleh mengubah apa yang sedang dan telah berlaku di dunia ini, tetapi pasti dapat mengubah individu kerana sejarah telah membuktikan bahawa muzik banyak mempengaruhi gerakan-gerakan yang memberi kesedaran terhadap keamanan sejagat dan secara total menolak kekejaman dari peperangan.”
Bagi penulis, lirik lagu ini adalah satu perkara yang perlu dihayati pendengar dengan baik dan diberi pujian kerana maksud tersirat di dalamnya. Tetapi, susunan lagu dan kawalan suara perlu dilakukan dengan lebih baik terutamanya di bahagian yang menggunakan note vokal yang tinggi.
Kiiyas ditubuhkan pada tahun 2017 dan dianggotai serpihan band sludge, Blood Of Sara dan grunge Jaywalkers – kedua-dua band aktif sekitar 2000-2001 sebelum berpecah.
Sebelum rakaman lagu ini, Kiiyas pernah membuat persembahan benefit untuk binatang jalanan di Ipoh sekitar Januari 2020. Mereka juga pernah terlibat dalam menghasilkan kompilasi Tribute To The Bollocks keluaran Broken Noise Production pada September tahun lepas.
MV Kemanusiaan Sedang Bermimpi kini boleh ditonton di laman YouTube FGI PRODUCTION dan ia juga boleh dimuat turun di semua aplikasi pengstriman muzik sedia ada.
Dengarkan juga Kemanusiaan Sedang Bermimpi di platform-platform lain:
Ikuti Kiiyas di: