Kehadiran Semula
Sebuah band yang telah mengalami fasa hiatus bertahun lamanya selepas kemunculan mereka belasan tahun dahulu, ConflictCrisis kini bakal hadir dengan material fizikal pertama, sebuah EP berjudul Comeback.
Dianggotai oleh Papa Alex sebagai pelontar suara, Ary (Lasso) sebagai pemain gitar, Apai (Lasso) sebagai pemain bass dan Ancik (Lasso) sebagai pemain dram undangan. Juga dibantu oleh Ery yang menyandang jawatan sebagai penerbit muzik. Selain itu ConflictCrisis 2023 turut dibantu oleh Odie (gitaris asal) dan Aleim sebagai pemain dram.
Kugiran yang ditubuhkan di Perak pada 2004 ini memperjuangkan genre Oi!/Street Rock dan sesuai dengan kehendak mereka untuk kembali beraksi, EP mengandungi lima buah lagu ini dipertaruhkan bagi memeriahkan kembali sub-budaya yang sangat dahagakan material baharu sebegini.
Pra-dengar
Sebagai tanda promosi ConflictCrisis, penulis telah diberi peluang untuk sesi pra-dengar dua buah lagu daripada EP Comeback. Berikut adalah ulasan kedua-dua lagu tersebut:
1 Word: Fight
Lagu dimulakan dengan riff dan marching drums yang menarik. Intro yang diinspirasikan daripada lagu Kemegahan Negaraku menjadi hook untuk lagu ini. Secara lirikal, lagu ini berkisar tentang amarah kelompok berlawanan yang berpegang kuat dengan pendirian masing-masing. Sebati dengan jati diri dan lumrah sub-budaya Skinhead selama ini yang sering dijadikan inti sari lagu-lagu bergenre Oi!. Mendengar bait-bait lirik dan alunan melodi terutamanya di bahagian chorus mampu membuat adrenaline pendengar naik terinjak-injak. Boleh mencetuskan semangat juang yang membara. Lagu ini pastinya boleh diangkat menjadi anthem ConflictCrisis.
From the River to the Sea
Dengan mengambil peduli keberadaan negara Palestin yang dijajah rejim Zionis, sebuah lagu digubah oleh ConflictCrisis untuk menzahirkan sokongan terhadap perjuangan rakyat Palestin dalam mempertahankan tanah air mereka. Lagu yang laju berisi dengan mesej yang keras, lirik yang tepat melawan penindasan yang berlaku. Terdapat sampling “suasana perang” diselitkan di dalam lagu ini untuk memberikan rasa yang cukup. Dari segi susunan lagu, 3-4 chord formation yang dihasilkan adalah amat baik, bertepatan dengan genre asli Oi! itu sendiri.
Penulis juga sempat menemubual AzamRhadio aka Papa Alex, vokalis yang juga tunjang utama ConflictCrisis berkenaan dengan EP yang bakal dirilis tidak lama lagi ini.
Bila akan rilis EP Comeback? Ada rancangan untuk acara peluncuran?
Dijangka akan rilis pada Januari 2024. Sesuai dengan situasi pembuka tahun baru ibarat kami membuka kembali pintu yang dah lama kami sendiri tutup satu ketika dulu. Untuk acara peluncuran, perancangan awal dalam gaya borak bebas tu ada cuma kami perlukan perbincangan lebih serius untuk merealisasikannya pada masa terdekat nanti. Nantikan pengumuman berita baik dari kami tidak lama lagi.
Apakah konsep pembawakan muzik ConflictCrisis dalam EP ini?
Secara jujurnya, bila kami mengalunkan irama-irama yang bergenre Oi! ni, kami sendiri diulit dengan semangat perlawanan yang berkobar. Kebetulan waktu kami decide untuk kembali tu seiring dengan situasi geopolitik yang tegang di Palestin kebelakangan ini. Jadi, kami tumpang semangat tu untuk hasilkan karya yang terdapat dalam EP Comeback ni dan boleh dikatakan hampir kesemua lagu didedikasikan untuk semangat perjuangan rakyat Palestin.
Siapa artis/pengaruh untuk ConflictCrisis dalam bermuzik?
Banyak jika untuk kami senaraikan di sini. Apa yang kami boleh katakan rata-ratanya memang terdiri daripada band-band Oi! tanah air dan juga negara-negara bersebelahan. Tapi 3 yang paling kuat untuk pengaruh kami adalah The Official, The Offside & The Bois.
Pada masa artikel ini ditulis, preview lagu-lagu yang terdapat di dalam EP Comeback ini boleh didengari di laman Instagram mereka.
Nantikan peluncuran EP ini tidak lama lagi dan dapatkannya secara fizikal dengan menghubungi mereka secara terus di Instagram.