Kolar Hijau adalah sebuah kugiran pop/ rock alternatif yang terdiri daripada empat orang pemuzik iaitu Syahidil Aizat (vokal/ gitar), Adeep Nair (gitar), Ishak Maulan (bass) dan Raja Farizal (dram).
Bermula sejak 2014 dengan nama pentas Box For Letters, mereka mengambil keputusan untuk menukar nama kepada Kolar Hijau pada tahun 2019. Setakat ini, mereka telah menghasilkan beberapa single termasuk Set Eyes to the Goal (2015) dan Raya Kita (2016) serta sebuah Demo/ EP berjudul Demo 2014, Cerap (2016) dan Kolar Hijau (2019).
Gemar mengambil inspirasi dan semangat cintakan alam, kugiran ini mengekspresikan karya-karya muzik mereka melalui pelbagai variasi rentak dan rasa yang menghubungkan konteks mesej dan muzik yang segara. Melalui pentas muzik juga, mereka cuba menyampaikan mesej-mesej terkait pelbagai aspek kehidupan dan pemikiran yang menjalinkan perhubungan jiwa dan minda.
Tentang Raya Kita
Mengimbau kembali lima tahun lepas, tepatnya pada tahun 2016, lagu Raya Kita merupakan cetusan ilham kugiran Box For Letters yang kini dikenali sebagai Kolar Hijau. Lagu ini tercipta sewaktu sesi latihan di bulan Aidilfitri di Studio Merah, sebuah studio DIY yang turut menghasilka karya-karya terdahulu seperti EP Cerap.
Single ini juga pernah dimuatnaik di platform YouTube serta diputarkan di corong-corong radio khususnya RAKITA FM pada tahun-tahun sebelum ini. Atas permintaan ramai, pada tahun ini Raya Kita diberi sentuhan baharu dan segar melalui suntingan video lirik minimalis yang memberikan mood santai dan ceria untuk sambungan Aidilfitri tahun ini. Menurut mereka:
“Raya Kita adalah sebuah karya yang diilhamkan bagi menzahirkan rasa kesyukuran selain meraikan hari kemenangan tatkala bulan Syawal menjelang. Ia juga sebuah ekspresi rasa kebahagiaan dan keindahan melalui garapan susunan muzik dan bait-bait lirik yang sesuai dengan adat budaya turun-temurun masyarakat timur yang pasti menggamit memori dan keterujaan para pendengar.”
Komen penulis adalah, lagu Raya Kita mungkin relevan pada tahun 2016, tetapi untuk versi baharu ini, sepatutnya liriknya ditukar agar lebih bersesuaian dengan situasi pandemik yang berlaku kini. Sedih woi bila ada bait lirik “Yang jauh dan dekat pulanglah ke desa // Sambut tangan ibu dan ayah di rumah.” Semua orang tahu ini adalah kepalsuan semata-mata kerana sudah dua tahun kita tidak dapat menyambul Syawal secara normal! 🙁
Ikuti Kolar Hijau di: