Merealisasikan persembahan pentas dalam durasi panjang memang diakui mencabar, lebih-lebih lagi apabila artis tersebut telah menginjak usia emas masing-masing. Namun, Kembara yang dibarisi Dato’ M. Nasir (vokal), Zoul (gitar utama/vokal), Rahman Suri (bass), Shahrum Basiron (dram) dan Md Shah Othman (keyboards) berjaya menepis persepsi canggung tersebut menerusi persembahan magis, memukau dan bertenaga di Konsert Kembara: Panorama Jingga 1444 Hijrah di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 31 Julai lepas.
Mempersembahkan 30 buah lagu selama tiga jam tanpa henti, generasi kedua Kembara selepas trio M. Nasir, A. Ali dan S. Sahlan ini lebih cenderung memilih repertoire dari album keempat mereka, 1404 Hijrah hingga album ketujuh, Lagu-Lagu Dari Filem Kembara Seniman Jalanan yang kebanyakannya adalah lagu-lagu langka yang tidak pernah dimainkan di mana-mana sebelum ini.
“Kembara ada tujuh buah album dengan keaseluruhan 70 buah lagu. Kalau kita main semua, zohor esok baru habis.” – M. Nasir
Satu perkara menarik tentang sosok yang sering dipanggil ‘sifu’ ini pada malam itu adalah tiada sesiapa pun nampak beliau meneguk walau segelas air. Gila! Di usia 65 tahun, M. Nasir langsung tidak berehat dan kekal berdiri di atas pentas lebih tiga jam dengan vocal delivery yang boleh dikatakan perfect pitch! Bagaimana beliau melakukannya?
Konsert dimulakan dengan trek dari album Duit, Panorama Jingga disertai visual mentari senja menghiasi skrin LED. Ini mungkin petanda dan ‘kesedaran’ mereka sendiri bahawa usia masing-masing sudah menjangkau senja di mana majoritinya sudah berumur lebih 60 tahun. Menurut M. Nasir pula,
“Kita (Kembara) lahir zaman Dayabumi didirikan dan dalam gelombang kerakyatan dan politik pada waktu itu, kita lahir era itu. Kita rasa sesuai kembalikan nostalgia itu. Dan mungkin ada persamaan dengan gelombang orang masa kini.”
Seleksi lagu-lagu seterusnya menghimpunkan nostalgia lagu-lagu popular Kembara seperti Duit dan Kepada Mu Kekasih serta lagu-lagu yang penulis percaya, ramai yang tidak pernah dengar atau tidak dapat menghafal bait-bait liriknya seperti Tarian Hidup, Rindu, Di Manakah Dikau, Rozita, Putar Alam, Bunga Bakawali, Perwira dan Gadis Berpurdah Hitam.
Mungkin sudah jadi trend, artis atau band yang membikin konsert di fasa endemik ini nampaknya lebih selesa memilih, dalam masa sama ‘mendidik’ peminat untuk lebih menghargai pustaka lagu mereka yang kurang dikenali. Seiring dengan kemajuan teknologi, tiada lagi alasan untuk tidak ‘mengulangkaji’ kutub khanah artis kegemaran jika benar-benar mahu menggelar diri sebagai peminat setia.
“Kembara tidak pernah isytihar bila ditubuhkan dan bila dibubarkan.” – M. Nasir
Seperti yang semua tahu, Kembara tidak pernah terlekat di satu takuk genre tertentu kerana muzik mereka seringkali berevolusi dan boleh dikatakan agak eksperimental kerana dalam beberapa lagu permulaan tadi sahaja, mereka sudah meneroka ke segenap ruang muzikal termasuk folk, reggae, psychedelic rock, progressive rock malah nasyid! Lirik-liriknya juga bervariasi, ada yang abstrak dan ada pula yang sarat dengan komentari sosial dan politik. Komen M. Nasir tentang lagu Gadis Berpurdah Hitam;
“Lagu ni kalau kita keluarkan sekarang, dah tentu kena kecam!”
Segmen seterusnya adalah sesi penghormatan buat Allahyarham A. Ali yang menurut M. Nasir adalah seorang pemuzik hebat dan telah menulis lebih 500 lagu sepanjang kariernya sejak tahun 60an. Penulis sukakan vibe sesi ini kerana ia merayakan kerja seni arwah A. Ali, bukan sekadar sesi rintihan mengenang insan yang telah pergi. Ada Sepasang Mata, Di Perhentian Puduraya, Impian Seorang Nelayan dan Kiambang dimainkan secara medley dan M. Nasir kelihatan bijak menukar teknik nyanyian di lagu Impian Seorang Nelayan yang agak tinggi korusnya dengan stail tenor beliau yang lebih tenang. Ini baru betul penghibur yang bijak dan ada kelas! Apa pun, akhirnya penulis dapat juga melihat sendiri bagaimana lagu country pertama Malaysia (?), Ada Sepasang Mata dipersembahkan secara langsung. Puas hati!
Buta Kerana Cinta, Kutu, Kolar Biru, Impian Anak Jalanan (favourite!), Mencurah Janji di Daun Keladi, Kupu-Kupu, Musim, Keroncong Untuk Ana 1 & 2 serta Nyanyian Jiwa menyerikan lagi persembahan Kembara pada malam itu sambil diselang-selikan dengan jenaka hambar M. Nasir yang kita kenali. Sempat juga beliau bergurau untuk mendendangkan lagu Tiara.
“Nak versi P. Ramlee ke versi Tamil?”
Pentas Plenary tiba-tiba ‘dirampas’ tokoh penyair Kuala Lumpur, Pyanhabib sambil penonton disajikan dengan visual dari filem Kembara Seniman Jalanan. Ini adalah momen epik yang pastinya mengimbau kenangan rata-rata peminat setia M. Nasir, Kembara malah Pyanhabib sendiri kerana persona-persona yang berada di atas pentas ketika itu adalah simbol semangat zaman yang mewakili era 80an! Apa lagi yang penonton mahu?
Balada Osman Tikus, Siapa Orang Kita, Rupa Tanpa Wajah, Harapan Terakhir dan Sesat di Kuala Lumpur dinyanyikan dengan penuh karisma bagi memperkasakan lagi zeitgeist 80an dengan Pyanhabib masih keliru mahu turun atau kekal di pentas. Sungguh berharga sesi ini! Sewaktu trek Sesat di Kuala Lumpur, visual Kembara versi terkini dipapar sedang berjalan di lokasi-lokasi ikonik Kuala Lumpur dengan mood yang mengundang sayu kerana saat itu, semua penonton sedar bahawa idola mereka ini sudah tua dan tidak pasti berapa lama lagi mereka mampu kekal menghibur kita semua. Hargailah mereka selagi ada!
Persembahan ditutup dengan encore empat buah lagu paling popular Kembara; Ekspress Rakyat, Hati Emas, Perjuangan dan Gerhana dan peminat ketika itu tidak lagi duduk diam. Semuanya bangun dari kerusi dan menari bersama-sama Kembara, menikmati saat-saat indah mereka yang hampir sampai ke penghujung.
Apa yang pasti, konsert Panorama Jingga anjuran Shiraz Projects Sdn. Bhd. ini berjaya menghanyutkan emosi 2,600 orang pentegar sisi rugged M. Nasir dalam Kembara serta membuka mata mereka bahawa katalog Kembara terisi 70 buah lagu yang kini sedia untuk dimainkan di persembahan seterusnya, bukan sekadar lagu-lagu biasa yang pernah berkumandang di corong radio. Sekarang adalah masa ulangkaji!
Sesuai dengan konsep marhaen mereka pada era 80an, mungkin selepas ini penganjur boleh mempertimbangkan untuk membikin konsert open air pula untuk Kembara? Pastinya berbunga hati-hati yang pernah digelut panik moral dan politik serta ikhtiar hidup di zaman emas tersebut!