Konsert Memori Berkasih Siti Nordiana 25 Tahun: Malam Raya Buat Peminat Setia!

oleh Khaliq G
1.1K bacaan

Kredit: Icon Entertainment

Meraikan sambutan Jubli Perak keberadaan figura bernama Siti Nordiana dalam lapangan seni, penyanyi ini hadir bersama konsert sulungnya sebagai hadiah istimewa buat peminat setia. Bertempat di Zepp Kuala Lumpur, Konsert Memori Berkasih Siti Nordiana 25 Tahun menjadi saksi betapa beliau memasuki gelanggang seni bukan saja-saja atau sekadar menyinggah. Penyanyi kelahiran Negeri Sembilan ini ternyata masih kekal relevan.

11 Mei 2024 menjadi saksi dalam lipatan sejarah karier seni beliau apabila konsert tersebut dipenuhi dengan peminat setia, yang ada pada jatuh dan bangkit seorang persona bernama Siti Nordiana.

Konsert dimulakan pada jam 8.25 malam, satu perkara yang cukup penulis puji buat pihak penganjur. Selalunya, konsert bermula sedikit lewat daripada jadual, tapi kali ini, konsert Nana bermula 5 minit awal! Memilih Amaran sebagai lagu pemanas pentas, kehadiran Nana diiringi barisan penari sebagai hint kepada penonton yang konsert sulung Nana bakal berlangsung cukup happening. Tapi, entah kenapa, seperti ada kelam-kabut sedikit pada upacara pembukaan. Tapi, kita perlu memaafkan Nana, ini konsert sulung beliau, pasti perasaan nervous menguasai diri ketika itu.

Malam itu diteruskan dengan medley Tak Upaya Menangis Lagi dan Seribu Setia. Kalau bukan peminat setia yang mengikuti kembara muzik Nana dari tahun 1999, pasti saja yang hadir pada malam itu tidak boleh menyanyi bersama (penulis termasuk dalam kategori tidak mampu menyanyi bersama). Segmen pertama malam itu menjadi medan buat Siti Nordiana mendendangkan lagu-lagu lama dari album terdahulu, yang jarang dia persembahkan.

Pelukanmu, Cinta Hanya Sandaran, Bukan Mengungkit Tapi Membangkit dan Kasihmu Seakan Berubah antara barisan lagu lama yang Nana pilih pada segmen pertama. Penulis sedikit terganggu dengan kekerapan Nana membetulkan ear monitornya, selang 30 saat boleh dikatakan Nana akan mengusik telinga. Penulis faham gangguan teknikal seperti itu tidak dapat dielakkan pada acara live, namun entahlah, penulis sedikit rimas bila perkara itu terjadi terlalu kerap. Pengalaman lama di atas pentas sepatutnya membantu Nana untuk cover sedikit dari make it too obvious.

Pemilik nama penuh Siti Nordiana binti Alias kemudian hilang sebentar dari panggung dan kembali siap bertukar busana. Kali ini, dia kelihatan lebih selesa dan bebas bergerak dan Nana tampak lebih yakin untuk terus mengemudi malam indah buat peminat setianya. Kali ini, giliran lagu-lagu pasca kemenangan beliau di pentas Gegar Vaganza pula untuk dipersembahkan. Sempat beliau membuka cerita bahawa teruk dia dikecam akibat persembahan vokal yang tidak berapa molek pada pentas AJL menerusi lagu Angkara. Nana pecahkan rahsia bahawa selesai persembahan, apabila dibuat test, dia dijangkiti Covid lagi, tak tahu untuk ke berapa kali.

Arah Cinta, Nisan Cinta, Angkara, Terus Mencintaimu, dan Hatiku Milikmu adalah barisan lagu balada moden yang menjadi pelengkap katalog album muziknya. Kita dapat lihat, evolusi suara Nana yang terkenal dengan lagu ‘leman’ dan leleh, tapi bila berada di tangan jentera muzik yang betul, beliau punya kredibiliti untuk mendendangkannya dengan cukup baik. Suara Siti Nordiana seperti kita ketahui, lembut dan halus. Tidak dia memaksa diri untuk menyanyi pada notasi yang di luar keupayaan, tapi kemerduan nyanyian dan lenggok lembut suaranya ternyata menjadi senjata utama.

Sekali lagi, Siti Nordiana menghilangkan diri ke belakang panggung. Kali ini, dipaparkan klip video sepanjang 7 minit, imbas semula babak-babak kemenangan beliau dalam banyak acara dan juga aktiviti-aktiviti yang Nana dan peminat jalankan bersama-sama. Di sini penulis sedar, kuatnya Siti Nordiana bukan pada jumlah ramainya penyokong, tapi pada betapa kuatnya sokongan peminat setianya. Sebagai bukti, lantai Zepp pada malam itu tidak penuh dengan penonton. Ada banyak lompong kosong pada ruang penonton, tetapi yang hadir pada malam itu, energy mereka luar biasa. Jerit pekik tanda sokongan mereka buat penyanyi kesayanga bergema kuat pada malam itu. Mereka tidak ramai, tetapi wajah mereka jugalah yang ada pada setiap acara yang Nana sertai, yang ada menunggu hingga ke parking kereta untuk berjumpa dengan penyanyi pujaan mereka. Major respect to Siti Nordiana Fans Club!

Segmen ketiga mejadi favourite personal penulis. Siti Nordiana pada zaman kegemilangannya bersama recording label FMC, tidak hanya hadir dengan deretan lagu leman dan jiwang leleh. Tapi, beliau juga mempunyai koleksi lagu irama tradisional. Walaupun kita tahu, lagu-lagu itu dihasilkan berdasarkan trend industri muzik pada masa itu, namun keupayaan Nana menyanyikan irama tradisional dengan baik sewajarnya diberikan kredit.

Benang Emas dipersembahkan, membuatkan peminat bertambah teruja. Nana tampil solo saja pada malam tersebut. Penulis masih terbayang rendition asal lagu ini dinyanyikan bersama Allahyarham Achik Spin pada pentas Separuh Akhir Muzik-Muzik, cukup lemak cukup perisa. Segmen ketiga diteruskan dengan barisan lagu Zapin Pak Ngah Balik, Bakawali, Joget Pilihan Jiwa, dan Tragedi Cinta. Bakawali dan Benang Emas menjadi favourite penulis dalam segmen kali ini! Peminat bebas untuk bangun dan berjoget beramai-ramai dalam segmen ini.

Apalah nikmatnya menonton Siti Nordiana, kalau tidak mendengar lagu-lagu killer pada zaman mudanya. Mana datangnya keseronokan persembahan Siti Nordiana, kalau lagu ‘leman’ tidak dia keluarkan. Seperti biasa dalam setiap konsert, lagu cari makan pasti disimpan pada penghujung acara. Orang kata, save the bes for the last. Membuka segmen terakhir pada malam itu, Resepi Berkasih disajikan dengan sorakan riuh dari peminat beliau. The whole arena menyanyi bersama, seperti dalam bilik karaoke! Walaupun segmen ini kesemua lagunya merupakan lagu duet bersama Allahyarham Achin Spin, namun Nana memilih untuk tampil solo tanpa penyanyi jemputan, malah Nana bilang, penyanyi jemputan pada malam tersebut ialah kesemua peminat setianya. Gurauan Berkasih dan Memori Berkasih terus saja mengimbau kenangan kesemua hadirin di dalam dewan. Masing-masing mungkin teringat zaman cinta monyet mereka agaknya; memberi surat cinta yang ditabur bedak, atau membawa syiling segenggam untuk menelefon buah hati pengarang jantung.

Siti Nordiana memberi ucapan perpisahan dan mengucapkan terima kasih atas kesetiaan dan sokongan tidak berbelah bahagi dari peminatnya sepanjang kembara Nana 25 tahun dalam dunia seni. Peminat terus saja tidak berpuas hati, kerana lagu keramat masih lagi tidak dikeluarkan. Kehilangan Nana ke belakang pentas, disambut dengan teriakan peminat yang mahukan lebih lagi.

Seperti biasa, itu merupakan usikan nakal saja dalam konsert. Mana mungkin penyanyi membiarkan peminatnya tersiksa tanpa mempersembahkan lagu yang cukup ditunggu-tunggu. Nana muncul semula, mendendangkan Mainan Cinta dan Paling Comel. Kali ini, penonton semua sudah berdiri dan mengerumuni hadapan pentas. Semuanya mahu mengambil gambar dan video secara dekat dengan penyanyi sopan santun yang satu ini. Paling Comel semestinya menjadi anthem song buat Siti Nordiana Fans Club. Kesemuanya menyanyi sambil menari, tanda mereka cukup menantikan persembahan seperti ini dari Siti Nordiana. Sorakan dan jeritan penonton cukup menjadi bukti bahawa mereka puas dengan Konsert Memori Berkasih Siti Nordiana 25 Tahun.

Mana mungkin sebuah konsert berjalan gemilang tanpa kemudi dari pemuzik di belakangnya. Diketuai oleh Johan Travolta selaku Music Director, persembahan malam itu juga diiringi oleh Eddie Slam, Ujang Exists, Wan Gigi, Kabung, Rizal dan juga Paang. Yuaz dan Eja mengiringi Siti Nordiana sebagai backup vocal. Turut kelihatan Datuk Syafinaz Selamat, Tomok, dan juga Nubhan, hadir memberikan sokongan moral buat rakan seni mereka.

Malam Sabtu, 11 Mei 2024 penulis simpulkan sebagai hari raya buat Siti Nordiana Fans Club. Hari di mana mereka berkumpul dan berhibur, sambil meraikan ulang tahun 25 tahun Siti Nordiana kekal utuh dalam arena seni. Malam itu seperti malam cinta dari Nana buat peminat setianya, hadiah mega dari beliau tanda kasih dan sayang atas sokongan tanpa henti sepanjang jatuh, bangun, naik dan turun figura bernama Siti Nordiana.

Tinggalkan Komen Anda

Anda juga mungkin meminati

Ala... Ada pasang Adblocker Eh?

Support la kitorang dengan benarkan ads di pelayar web korang. Kitorang faham memang sakit mata tengok ads ni. Tapi, kasi chance lah. 😅