Sekiranya anda pengikut tegar clubber-clubber atau scenester-scenester Dugem pasti akan terdengar lagu ini yang berentak psy-trance.
Kaki-kaki Private Party (PP) yang selalu mengusung MP3 player jika diteliti dalam playlist, pasti akan mengandungi remix lagu ini selain banger-banger kelab yang lain.
Psalms 23:4 Though I walk in the valley of the shadow of death, I fear no evil, for You are at my side. Your rod and Your staff, They comfort me
גם כי אלך בגיא צלמות לא אירא רע כי אתה עמדי שבטך ומשענתך המה ינחמני
Lagu ‘Gam Gam‘ oleh DJ Marnik & SMACK ini sebenarnya berasal daripada nyanyian tradisi bangsa Yahudi yang mana liriknya mengandungi ayat-ayat di atas yang dipetik dari kitab hebrew lama Zabur (dalam kristian merujuk kepada rangkap Psalm 23:4).
Ia dikatakan ucaptama kebesaran Nabi Daud (King David) kepada Tuhan, iaitu mesej walaupun berhadapan dengan kepayahan dan kejahatan, baginda tidak berasa takut kerana tahu bahawa Tuhan sentiasa membantu dan menemani di sisi:
Gam gam gam ki eleh (Though, though, though I walk), Be be Gey tzalmavet (In the shadow of death), Lo lo lo Eira Ra (I will fear no evil), Ki ata Imadi (For You are with me), Shivteha umishanteha (Your rod and your staff), Hema yi nahamuni (They comfort me)
Lagu ala marhaban ini biasa dinyanyikan oleh kanak-kanak Yahudi sebagai nyanyian kebebasan dan antem tanda ingatan kepada mangsa-mangsa ‘Holocaust’ iaitu pembunuhan berama-ramai sistematik semasa era kekejaman rejim Nazi.
Melodi lagu ini dicipta oleh Elie Botbol iaitu pengasas koir kanak-kanak Les Chervatim sejak 1979 di Perancis yang telah mencipta banyak lagu popular dalam komuniti Yahudi. Anehnya, beliau meninggal dunia di Israel pada 4 November 2018, iaitu 7 hari selepas Marnik mengeluarkan lagu ‘Gam Gam’ ini ke You Tube. Marnik turut bersedih dan merakamkan ingatan belasungkawa menerusi Instagram.
Ia dimuatkan dalam satu drama ‘Jonah Who Lived in the Whale’ (Années d’enfance) arahan Roberto Faenza tahun 1993 yang mengisahkan tentang seorang kanak-kanak yang merasai kehidupan di sebuah kem konsentrasi semasa holocaust.
Jadi, siapakah Marnik? Adakah dia DJ Israel? Ejen Konspirasi? TIDAK. Marnik ialah DJ duo asal Itali dalam genre progressive EDM yang pernah juga bekerjasama secara ‘remix‘ dengan DJ-DJ superstar seperti Don Diablo, KSHMR dan Steve Aoki.
Lirikal Zabur dalam Muzik Moden
Sebenarnya, bukan Marnik sahaja yang telah memasukkan elemen kitab Zabur dalam karya, banyak artis popular antarabangsa sendiri telah mengabadikan lirikal Psalm 23:4 dalam lagu-lagu mereka. Antaranya:
i) Tupac Shakur – So Many Tears (album ‘Me Against the World’)
ii) Coolio – Gangsta’s Paradise
iii) Marilyn Manson – In The Shadow Of The Valley Of Death
iv) Cavalera Conspiracy – Killing Inside
v) Megadeth – Shadow of Deth (album ‘The System Has Failed’)
v) Good Charlotte (feat. Synyster Gates A7X) – The River
vi) Bring Me The Horizon – Don’t Go (antara antem terbaik BMTH yang berbaur agnostik)
Yahudi Bengang dengan Marnik
Sebenarnya, beberapa segmen kalangan masyarakat Israel juga bengang dan tidak menyukai lagu ‘Gam Gam’ bawaan Marnik ini. Mereka menganggap ia tidak sesuai kerana Marnik sengaja menerbitkan lagu ini semasa Halloween 2018 seolah-olah mempermainkan sejarah bangsa mereka, manakala beberapa pengkritik di bawah label Armin Van Bureen juga berpendapat lagu ini sejenis remix Psy-Trance yang agak buruk dan ‘hasil kerja DJ pemalas’.
Namun demikian, ia tidak menghalang Gam Gam daripada terus merebak, viral dan didengar serta dirayakan oleh jutaan orang seluruh dunia termasuklah di pelusuk Nusantara ini, lantaran iramanya yang sangat ‘catchy‘ dan sedap didengar. Dengan medan Tiktok yang menjadi saluran utama hiburan kini, banyak kandungan video telah mengambil lagu remix ‘Gam Gam’ ini sebagai muzik tema dan menjadikannya antara yang paling popular dan terbesar.
Sekarang, cuba kita ubah senario. Bagaimana jika ada DJ-DJ luar yang sample nyanyian tradisi kita seperti marhaban atau alunan zanji? Atau Joget Pahang dan zapin secara psy-trance (sambil layan acid atau MDMA)? Adakah kita akan berasa marah? Berbangga? Atau terhibur? Mungkin sukar dijelaskan kerana penerimaan setiap orang berbeza-beza, bergantung kepada sikap keterbukaan. Namun, ini serba-sedikit menunjukkan bahawa sikap prejudis masih berlaku dalam bidang seni dan budaya. Perlu diingat, muzik dan lagu adalah perlambangan keindahan dunia secara melodi.
Dan bagi Gam Gam, ia hanyalah sebuah lagu nyanyian yang mempunyai raut melodi yang sangat indah, sedap dan mudah ‘jinak’ di telinga, apatah lagi unsur kesedihan, melankolik dan menyayat hati yang menjadi resipi kehebatannya. Dan jika diperhalusi, terdapat juga pengaruh kemelayuan mendayu-dayu yang biasa didengar dalam melodi lagu ini.
Ulek Mayang dan Lathi yang kedua-duanya pernah dijadikan ‘remix’ ala Trap/EDM juga berasal daripada sumber ritual dan mitos tradisional Melayu nusantara. Oleh itu, fenomena pluralisme dalam muzik ini tidak perlu dpandang negatif kerana lazimnya, kita mendengar muzik untuk luahan emosi dan perasaan berkasih sayang, bukan untuk menyebar kebencian atau prejudis.
#ChivasAlexandria