Bolehkah material muzik yang durasinya tidak sampai setengah jam dipanggil album? Adakah patut artis meletakkan harga album penuh untuk sebuah material yang hanya layak digelar EP? Paling penting, sanggupkah peminat membayar harga yang mahal untuk material yang hanya mengandungi tiga ke enam lagu?
Penulis yakin, ramai di kalangan pengumpul material fizikal (kaset/ CD/ Vinyl) yang resah dengan trend terbaharu yang semakin menular kebelakangan ini di mana artis atau band tempatan dan luar negara meluncurkan material dengan durasi yang sangat pendek tetapi dengan yakin memasarkannya sebagai album penuh dan meletakkan harga tinggi; sebagai contoh dari RM 30 ke RM40 untuk keluaran tempatan dan dari RM 45 ke RM 60 untuk keluaran antarabangsa bagi medium CD.
Namun, adakah keresahan tersebut berada di landasan betul, atau sebenarnya artis memang berhak sepenuhnya menunggang fanatisme peminat-peminat mereka dan menjadi kapitalis secara sedar?
Persoalan ini perlu dibincangkan secara serius sebelum ia menjadi barah dan merosakkan pasaran secara total suatu hari nanti. Bayangkan, apabila peminat tanpa soal membeli apa sahaja material yang dikeluarkan artis/ band kegemaran mereka tanpa mengambil kira langsung tentang ratio durasi = harga yang sepatutnya, ia akan mempengaruhi artis-artis lain untuk mengikut jejak yang sama.
Strateginya mudah: Cetakan pertama diiklankan sebagai sangat terhad dan hanya boleh dibeli di majlis pelancaran album tersebut sahaja.
Maka berbondong-bondonglah peminat fanatik yang risau tidak berpeluang memiliki kaset/ CD/ Vinyl cetakan pertama tersebut selain mahu menghebahkan bahawa mereka sebahagian daripada sejarah iaitu yang paling awal memilikinya kepada khalayak.
Jadi, sebelum kita pergi lebih jauh, ketahui dahulu perbezaan antara kedua jenis format.
Perbezaan EP Dan LP
Selari dengan perkembangan teknologi terkini di mana kebanyakan pemuzik lebih memilih untuk menerbitkan material baharu seperti single melalui platform digital seperti Youtube, Spotify, Tidal, Apple Music, Bandcamp dan sebagainya, terma-terma seperti Extended Play (EP) dan Long Play (LP) semakin dilupakan, malah tidak kurang juga yang terkeliru.
Single, EP, LP, B-Side dan mini album adalah format yang sangat popular sewaktu zaman kegemilangan piring hitam, lebih tepat lagi sekitar tahun 60-an sehingga 80-an. Selepas lahirnya CD, terma-terma ini semakin kurang kedengaran kerana LP lebih sering dipanggil sebagai album.
Bagaimanapun, komuniti punk rock yang memperjuangkan budaya Do It Yourself (DIY) pada era tersebut lebih banyak merilis EP dalam medium piring hitam 7 inci berbanding CD. Begitu juga dengan gerombolan pemuzik metal ekstrim yang lebih gemar melancarkan demo/ album dalam medium kaset.
Kepada pemuzik veteran dan pengumpul material fizikal, format-format ini mungkin tidak asing lagi kepada mereka. Tetapi bagi golongan lebih muda yang lebih banyak mendengar muzik di platform digital, terma-terma ini mungkin kedengaran agak asing.
Evolusi muzik mungkin berubah daripada rilisan fizikal kepada digital, namun format seperti single, EP dan album masih kekal sehingga kini. Ini kerana durasi setiap format tersebut nyata ketara antara satu sama lain.
Berikut adalah perbezaan antara format EP dan LP. Untuk format lain, akan diterangkan di hantaran lain selepas ini.
Extended Play (EP)
Secara mudahnya, EP adalah rilisan muzik yang terlalu panjang untuk dipanggil sebagai single, namun terlalu pendek untuk dipanggil album. Kebiasaannya, sebuah EP mengandungi tiga hingga enam lagu dan durasinya tidak lebih daripada 30 minit. Bagi band-band yang memainkan lagu keras dan laju seperti grindcore, durasi setiap lagu mereka selalunya pendek maka jumlah trek dalam setiap EP sudah tentu lebih banyak daripada biasa.
Kata kuncinya di sini adalah ‘durasi.’ Katakanlah sebuah band mahu mengeluarkan enam lagu baharu dan durasi setiap lagu tidak lebih daripada empat minit. Secara kasar, keseluruhan produk akan berdurasi 24 minit. Sudah tentu format EP adalah yang paling tepat untuk dipilih.
Baru-baru ini, kita ada satu situasi unik di mana Green Day telah meluncurkan album terbaharu mereka, Father of All… dan keseluruhan produk hanya berdurasi 26 minit dan 16 saat. Tetapi, ia layak digelar album kerana dalam album ini, Green Day menyajikan 10 buah lagu secara keseluruhan. Jadi, mengambil kira daya kreativiti, usaha, proses rakaman dan pasca produksi, maka ia layak diangkat sebagai sebuah album penuh.
Long Play (LP)
Rasanya, semua orang tahu apa itu album. Ia merupakan himpunan lagu-lagu dari artis/ band yang dikeluarkan dalam medium kaset/ CD/ vinyl atau platform digital. Boleh jadi juga himpunan lagu daripada pelbagai artis atau lebih dikenali sebagai kompilasi.
Kebiasannya, durasi album adalah dari 30 hingga 50 minit dan mengandungi lapan hingga 12 buah lagu. Namun, ia tidak semestinya mengikut spesifikasi yang ditetapkan.
Sebagai contoh, pada tahun 1970, band prog rock US, Sweet Smoke melancarkan album pertama mereka, Just a Poke. Album ini hanya mengandungi dua trek tetapi setiap satu trek berdurasi 16 minit 24 saat.
Kemudian pada tahun 2003, band stoner rock US, Sleep mengeluarkan album Dopesmoker dan album tersebut hanya mengandungi satu trek tetapi berdurasi 63 minit! Jauh lebih panjang daripada album-album lain yang mengandungi 10 trek di bawah 60 minit.
Contoh terakhir adalah band mincecore dari Belgium, Agathocles yang meriliskan album Humarrogance pada tahun 1997. Walaupun hanya berdurasi 38 minit, produk ini mengandungi 20 buah lagu!
Jelas di sini bahawa untuk mengeluarkan sebuah album, durasi perlu diambil kira terlebih dahulu sebelum jumlah trek.
Berbalik kepada persoalan asal, adakah berbaloi membayar harga lebih mahal untuk produk yang tidak setanding dengan harganya semata-mata kerana faktor hype?
Bagi penulis, ia bergantung kepada obligasi moral sang artis dan penerimaan peminat itu sendiri. Adakah artis/ band sanggup memperdaya peminat-peminat mereka dengan cara meletak harga tinggi untuk produk yang tidak setimpal dengan harganya? Sanggupkah peminat menjadi pak turut membeli apa sahaja produk artis kegemaran mereka tanpa banyak soal?
Ironinya, ada sesetengah produk yang dikatakan album ini apabila dimuatnaik ke Spotify, ia diletakkan di seksyen EP. Adakah peminat sedar akan perkara ini? Jika ya, bagaimana kalian memproses realiti tersebut?
Solusi
Sebenarnya, ada satu cara paling tepat untuk menyelesaikan masalah ini, tetapi ia bergantung kepada keputusan artis dan label itu sendiri.
Pada dekad 80-an, trend mengeluarkan mini-LP atau mini-album sangat popular dan selalunya, ia dicetak dalam format vinyl 10 inci (selepas itu LP 12 inci atau CD) dengan harga lebih murah berbanding album sebagai respon kepada peminat-peminat yang keberatan untuk membayar harga penuh sebuah album. Durasi material biasanya dari 20 minit sehingga 35 minit dan mengandungi enam hingga lapan trek.
Antara mini-album popular yang diterbitkan ketika itu adalah U2 – Under a Blood Red Sky (35:29 minit, lapan trek), Pixies – Come On Pilgrims (20:29 minit, lapan trek) dan Throwing Muses – The Fat Skier (25:32 minit, tujuh trek).
Pada tahun 2018, Kanye West mengulang trend ini dengan mengeluarkan lima mini-album daripada lima artis hip hop dalam masa lima minggu. Kesemua mini-album tersebut adalah Pusha T – Daytona, Kanye West – Ye, Kids See Ghosts (self titled), Teyana Taylor – K.T.S.E dan Nas – Nasir. Di Malaysia pun, ada banyak artis/ band yang mengeluarkan material mereka dalam format mini-album.
Dalam satu temubual MAMY bersama Aru Koffin Kanser pada acara Tempatan Fest 2019, beliau turut memetik format mini-album untuk material terbaharunya nanti.
Kesimpulannya, penulis sedar artikel ini akan mengguris hati banyak pihak, namun ia adalah topik perbincangan yang sangat kritikal ketika ini.
Penulis tidak memaksa artis/ band untuk tidak memanipulasi material mereka dengan format yang salah, tidak pula memaksa peminat-peminat untuk berhenti membeli produk-produk artis kesayangan mereka selepas ini.
Apa yang merisaukan adalah apabila artis/ band itu sebenarnya sudah mempunyai lebih 10 buah lagu yang sedia dirakam tetapi memilih untuk mengeluarkan separuh sahaja dahulu dan menjualnya sebagai album penuh kerana yakin peminat akan tetap membelinya tanpa banyak soal.
Jadi, adakah kalian bersetuju dengan trend ini dan tidak kisah ia berterusan di masa akan datang atau lebih bersetuju jika artis/ band kegemaran menggunakan format mini-album dengan harga lebih murah? Berapa harga maksimum yang kalian sanggup bayar untuk sebuah material berdurasi kurang setengah jam yang mengandungi empat ke enam lagu?
Nota kaki: Penulis sertakan infografik di bawah untuk memudahkan lagi kalian memahami perbezaan antara EP dan LP serta evolusi muzik dunia dari zaman analog sehinggalah ke digital.
Rujukan:
1.www.medium.com:
https://medium.com/…/ep-vs-mixtape-vs-lp-vs-album-the-diffe…
2.www.musicianwave.com:
https://www.musicianwave.com/difference-between-single-ep-…/
3.drummingreview.com:
https://drummingreview.com/difference-between-lp-and-ep/
4.www.easel.ly:
https://www.easel.ly/blog/209863songs1image/
5.bykaryrikat.schmidt-grafikdesign.com:
https://bykaryrikat.schmidt-grafikdesign.com/evolution-of-m…
6.Wikipedia:
https://en.wikipedia.org/wiki/Mini-LP