Malam Intimasi Jazz Bersama Zahid Ahmad

oleh Rahmat Mohd Did
2.4K bacaan

Pemuzik-pemuzik yang menjayakan majlis Intimate Jazz from Zahid Ahmad Project. Dari kiri: John T R Long (saxophone), Mohd Ritman (gitar), Zahid Ahmad (dram), Michael Veerapen (piano) dan Fly Halizor (upright bass).

Baru-baru ini, penulis telah dijemput oleh saudara Muhammad Nazreen, pengasas rumah penerbitan Bukuku Press untuk menghadiri sesi pelancaran buku autobiografi pemain drum tersohor Malaysia, Zahid Ahmad bersekali dengan jam session beliau bersama rakan-rakan seperjuangan di Liberal Latte, Bukit Damansara pada 10 Februari 2022.

Sebenarnya buku berjudul Tuk Tak : Cerita Zahid Ahmad Tentang Muzik Malaysia, Dram dan Proses Bikin Lagu tersebut telah mula dicetak sejak November tahun lepas lagi, namun baru kali ini mereka dapat mengadakan majlis pelancarannya. Kepada yang berminat, bolehlah buat pembelian di laman web mereka sekarang.

Buku Tuk Tak : Cerita Zahid Ahmad Tentang Muzik Malaysia, Dram dan Proses Bikin Lagu. 210 muka surat. RM45.

Tepat jam 8.30 malam, sesi bermula dengan saudara Alif Basri memberi kata-kata aluan mewakili Muhammad Nazreen yang tidak dapat hadir kerana terpaksa berkuarantin sebelum pulang ke Oman Jumaat lepas. Antara petikan menarik dalam teks ucapannya adalah:

P. Ramlee dan Alfonso Soliano adalah maestro ‘muzik’ negara yang telah membentuk perjalanan muzik Malaysia dengan karya-karya mereka. Sejarah mereka adalah sebahagian daripada sejarah negara. Mereka adalah muqaddimah kepada sejarah muzik tanah air.

 

Tetapi sayang sekali, negara kita amat kurang bahan mengenai pemuzik dan kisah mereka. Apatah lagi kisah yang ditulis sendiri oleh maestro yang saya sebutkan di atas.

 

Saya ingin mengulang kembali persoalan yang pernah dilontarkan oleh produser terkemuka, Roslan Aziz tentang hal ini.

 

“Tiada siapa yang tahu bagaimana P.Ramlee mendapat ilham untuk menghasilkan lagu Getaran Jiwa..sehingga sekarang.”

 

Persoalan ini perlu difikirkan semula dengan serius.

Penulis akui, dokumentasi pemuzik-pemuzik tempatan tentang proses cambahan idea dan penulisan lagu amat kurang sekali diterbitkan di negara ini. Walaupun banyak juga autobiografi yang terdapat di pasaran, tetapi majoritinya tidak menyentuh tentang hal teknikal seperti di atas yang boleh dijadikan rujukan generasi seterusnya.

Pemuzik kita harus lebih banyak menulis tentang “music making” dan kehidupan profesional mereka. Tulisan mereka penting untuk dijadikan rujukan kepada pelapis muzik tanah air. Biarlah generasi muda dapat belajar daripada kesilapan pemuzik terdahulu dan lebih bersedia untuk berkecimpung serius di dalam dunia muzik. – Muhammad Nazreen

Zahid Ahmad

Saudara Zahid Ahmad kemudian mengambil alih pentas dan bercerita serba-sedikit tentang bagaimana bermulanya projek dokumentasi ini dan sedikit susur galur perjalanan profesionalnya sebagai anak seni. Penulis sempat bertanyakan kepadanya apakah beliau masih punya impian yang belum tercapai?, jawab beliau dengan bersemangat, “Saya nak main dengan big band.”

“Saya dah puas main semua jenis muzik. Daripada pop, rock, jazz hinggalah ke muzik yang pelik-pelik. Jika ada satu impian yang belum tercapai, saya nak main dengan big band atau jazz orchestra yang benar-benar bagus.

Tambahnya, jika perkara tersebut menjadi realiti, sudah pasti beliau akan mencapai tahap kepuasan maksimum.

Lebih kurang jam 9 malam, bermulalah jam session yang ditunggu-tunggu peminat dan media yang hadir. Sekumpulan maestro muzik Malaysia yang terdiri daripada Michael Veerapen (piano), Zahid Ahmad (dram), Mohd Ritman (gitar) dan Fly Halizor (upright bass) mengambil tempat masing-masing dan memulakan ‘bicara’ dengan trek Green Dolphin Street, saduran daripada Miles Davis. Set mereka kemudian diteruskan dengan tiga buah lagu dari album Zahid Ahmad Project – Tuk Tak : Mana Melayunya iaitu Stories, Rahasia dan Tuk Tak (instrumental). Zahid turut menjemput palo-saxophonist, John T R Long dalam dua buah lagu sebelum menutup persembahan mereka dengan trek eksplosif, Caravan yang pernah dipopularkan oleh Buddy Rich.

Ini merupakan kali pertama penulis melihat kesemua maestro ini beraksi di hadapan mata dan mungkin majoriti penonton lain yang hadir juga. Tak terucap dengan kata-kata betapa profesional dan ketatnya permainan mereka. Setiap lagu dipersembahkan dengan berkaliber dan penuh karakter. Personaliti setiap anggota juga memainkan peranan penting dalam menghidupkan lagi mood pada malam itu. Penulis yang sudah bertahun tidak melayan persembahan jazz secara langsung amat berpuas hati. Dua ibu jari tegak kepada mereka!

Michael Veerapen (kiri) dan Zahid Ahmad (kanan).

Sesi Intimate Jazz with Zahid Ahmad Project adalah sebuah kenangan yang mengasyikkan. Zahid Ahmad sendiri seperti biasa, walaupun sudah boleh dianggap pemuzik legenda, tetap merendah diri. Dalam ucapannya tidak henti-henti menyebut nama Michael Veerapen, Roslan Aziz dan abangnya, Allahyarham Yazit Ahmad sebagai inspirasi dan guru yang mencorak perjalanan kariernya sebagai anak seni.

Akhirulkalam, sesi pada malam itu bukan sekadar mengisi pengalaman menonton lima maestro beraksi, tetapi lebih kepada mengenali karakter seorang Zahid Ahmad yang sentiasa tunduk ke bumi dan mensyukuri setiap ruang dan peluang yang diberikan kepadanya untuk terus memperbaiki diri seiring dengan waktu. Intimasi yang ditunjukkan juga mampu mendekatkan masyarakat untuk lebih mendekati muzik jazz yang sering dikaitkan dengan golongan kelas atasan.

Sekali lagi, ingin penulis tegaskan bahawa usaha yang dilakukan Bukuku Press untuk menghidupkan bara api dalam pendokumentasian jalur hidup pemuzik-pemuzik legenda perlu disokong dan dijadikan inspirasi kepada pemuzik-pemuzik muda agar lebih cakna menyimpan segala kenangan dan pengalaman hidup mereka dalam sebuah naskah bertulis agar dapat dijadikan rujukan dan pedoman kepada pemuzik-pemuzik generasi akan datang.

Beli buku Tuk Tak : Cerita Zahid Ahmad Tentang Muzik Malaysia, Dram dan Proses Bikin Lagu DI SINI.

Tinggalkan Komen Anda

Anda juga mungkin meminati

Ala... Ada pasang Adblocker Eh?

Support la kitorang dengan benarkan ads di pelayar web korang. Kitorang faham memang sakit mata tengok ads ni. Tapi, kasi chance lah. 😅